Loading...
Wednesday, December 25, 2013

Rosyam Nor Kembali Kuarkan Filem

Tahun 2013 sudah hampir berlalu dan beberapa hari sahaja lagi kita bakal menyambut kedatangan 2014 dan pastinya, sebagai individu kita akan mengenang kembali perkara yang berlaku pada tahun ini dan berharap tahun hadapan membawa sinar baharu.
Jelas pelakon, pengarah dan juga penerbit Rosyam Nor, kehadiran 2014 bakal menyingkap episod baharu dalam perjalanan seni dirinya apabila filem terbitan dan lakonannya iaitu Balistik bakal menjengah pawagam pada Januari hadapan.
Ujar Rosyam, dia amat teruja untuk menantikan impak yang terhasil daripada filem Balistik kerana kali terakhir dia melibatkan diri dengan penerbitan filem adalah pada 2006 melalui filem Castello.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sudah tidak berani hendak mengeluarkan filem kerana melihatkan kepada kesuraman industri perfileman tempatan.
“Kali terakhir saya berbuat demikian adalah pada 2006 lalu, kini saya kembali sebagai penerbit filem adalah untuk menyahut cabaran yang diberikan kepada saya oleh sutradara, Datuk Yusof Haslam,” ujarnya.
Selain Rosyam, filem Balistik yang bertemakan aksi itu turut melibatkan Adi Putra, Rita Rudaini dan beberapa pelakon Cina antaranya Jack Lim, Gan Mei Yan, Jason Phang dan Jeff Chin dalam usahanya untuk menembusi pasaran kaum tersebut.
Filem bermodal keseluruhan sebanyak RM2.5 juta tersebut diarahkan oleh pengarah yang tidak asing dalam industri perfileman tempatan iaitu Silver Cheung.
Tambah Rosyam, filem tersebut sepatutnya dikeluarkan lebih awal lagi namun dia tidak berani berbuat demikian kerana pada waktu tersebut, kekuatan filem itu hanya bergantung kepada dua watak utama iaitu Adi dan Rita.
“Saya memang sengaja menunggu untuk mengeluarkan filem ini selepas tamat tayangan KL Gangster 2 kerana saya yakin, selepas filem tersebut ditayangkan, populariti saya akan turut dapat membantu penjualan filem Balistik.
“Ternyata percaturan saya menjadi kerana setelah filem KL Gangster 2, saya menerima sambutan yang amat memberangsangkan khususnya daripada peminat-peminat muda yang sebelum ini tidak berapa mengenali siapa diri saya,” ujarnya.
Sungguhpun mengatakan bakal kembali bergiat sebagai penerbit filem bermula 2014, namun Rosyam mengatakan ketakutan untuk membuat filem tetap ada kerana industri tersebut tidak menjanjikan keuntungan.
“Bidang ini tidak menjanjikan pulangan atau keuntungan, namun sebagai orang lama dalam industri, saya sedar saya juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam membantu meningkatkan lagi imej perfileman tanah air.
“Disebabkan itu, filem Balistik menggabungkan pelakon Melayu dan Cina bagi meningkatkan lagi kuasa jualan filem tersebut agar hanya tidak fokus kepada peminat filem Melayu sahaja,” jelasnya lanjut.
Tahun 2013 bukan sahaja tahun mencabar buat Adi, kerana umum juga tahu dan peminat industri hiburan tempatan pastinya mengikuti perkembangan pergolakan rumah tangga aktres jelita iaitu Rita Rudaini.
Ujarnya, selama kira-kira dua tahun, hidupnya banyak dihabiskan dengan naik turut mahkamah berhubung perselisihan antara dirinya dan bekas suami kini iaitu pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd. Razak.
Sungguhpun pasangan tersebut telah berpisah, namun kedua-duanya masih perlu hadir ke mahkamah berhubung tuntutan nafkah anak pasangan itu yang dituntut oleh Rita.
“Saya akui dua tahun kebelakangan ini saya kerap ke mahkamah, saya lakukan perkara tersebut kerana yakin saya berada di pihak yang benar, tetapi bermula 2014, saya juga mahu kembali fokus untuk mengukuhkan nama sebagai seorang pelakon.
“Ini kerana beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai artis wanita muncul dan pastinya ini merupakan satu saingan yang sihat, tetapi saya tidak mahu ditenggelami oleh mereka.
“Disebabkan itu juga, untuk 2014 nanti saya mahu lebih memberi fokus kepada perjalanan karier seni selain turut mencari rezeki untuk menjaga anak-anak,” tambahnya.
Rita juga menjelaskan dia amat teruja untuk bekerjasama dengan pelakon daripada masyarakat Cina kerana melalui usaha tersebut, industri perfileman tempatan dapat meningkat ke tahap lebih tinggi.
“Selain daripada itu, filem Balistik ini juga seperti pengumuman yang mengatakan saya sudah bersedia untuk kembali berlakon dalam filem kerana kali terakhir saya berbuat demikian adalah pada 2007 melalui filem Cinta.
“Namun saya tidak akan berlakon dalam mana-mana filem kerana saya akan melihat siapa gandingan saya terlebih dahulu bagi memastikan keserasian itu wujud,” jelasnya yang mengaku menerima banyak tawaran filem sebelum ini.
Nama Adi Putra pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi kepada masyarakat Malaysia, apatah lagi dengan kontroversi yang melibatkan dirinya dengan seorang wanita yang juga isteri orang yang berakhir dengan perpisahan wanita tersebut dengan suaminya.
Pada ketika Adi dihimpit dugaan tersebut, dia tetap tenang dan mahu melihat situasi daripada sudut positif kerana baginya, apa yang berlaku bukanlah kontroversi tetapi ujian dan dugaan buat dirinya.
“Saya melihat perkara yang berlaku ini sebagai suatu ujian dan bukannya kontroversi, ini kerana ujian itu memang akan hadir dan sebagai manusia, inilah ujian yang diberikan kepada diri saya.
“Saya mengambilnya dengan sikap positif dan bagi saya, ujian ini banyak membantu saya untuk bersikap lebih matang dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,” jelasnya yang berusia 32 tahun kini.
Baru-baru ini Adi dan isterinya Zuhaidah Yusof, 38 telah mengadakan satu sidang akhbar yang menjelaskan bahawa kes terhadap dirinya telah digugurkan dan tiada tindakan selanjutnya akan diambil.
Namun sehari selepas itu, pihak wanita tersebut iaitu Nooraida Abdul Mutalib, 30, dan kini bekas suaminya, Amiruddin Othman, 59, pula mengadakan sidang akhbar bagi membuka semula kertas siasatan terhadap aktor itu.
Jelas Adi yang menganggap perkara itu sudah selesai, dia berharap 2014 akan membawa perkara-perkara yang lebih baik dalam kehidupannya sama ada secara peribadi dan juga karier lakonan.
“Jika ditanya berhubung lakonan, pastinya saya masih belum puas, dan saya tidak akan pernah puas dan akan terus bergiat aktif sebagai seorang pelakon.
“Ini kerana jika saya mengatakan sudah berpuas hati dengan pencapaian saya, selepas itu saya akan hilang keinginan untuk berusaha dan melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik lagi,” ujarnya yang membawakan watak seorang anggota polis dalam filem Balistik.
Setelah menerbitkan filem Balistik, Rosyam melalui syarikat RK Screen bakal menerbitkan sebuah lagi filem berjudul Isyarat Cinta.
Rita Rudaini mengakui teruja apabila dia dikenali sebagai pelakon oleh masyarakat bukan Melayu.
Adi Putra mengakui selesa berlakon filem aksi tetapi tidak mahu terikat dengan satu-satu genre filem sebaliknya mahu melakonkan pelbagai watak.
Rosyam Nor mahu memastikan gelaran Hero Malaya masih kekal bersamanya melalui penglibatan dalam industri perfileman.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP