Loading...
Sunday, December 22, 2013

Ely suriati kene saman

SETELAH timbul kemelut dengan pelakon Sharnaaz Ahmad pada tahun lalu ketika pembikinan filem Darah Panas, kali ini penerbit sensasi, S. Baldev berhadapan pula kontroversi dengan pelakon dan pengarah filem Penanggal, Ellie Suriaty Omar.
Pada Disember tahun lalu, Baldev dilaporkan mahu menyaman Sharnaaz, gara-gara pelakon itu dikatakan meninggalkan set penggambaran filem Darah Panas kerana ingin bertemu kekasihnya ketika itu, Shila Amzah.
Kini, Baldev mahu mengambil tindakan terhadap Ellie pula yang didakwa tidak memulangkan wang pendahuluan serta menarik diri daripada berlakon dalam filem terbaharu terbitannya, KL Cinta Mandi Toq, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.
Laporan tersebut menyatakan, Ellie telah menerima wang pendahuluan sebanyak RM4,500 yang merupakan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan RM18,000 yang ditawarkan kepadanya oleh syarikat White Merpati Entertainment Sdn. Bhd.
Memandangkan Baldev sudah membuat kenyataan terhadap akhbar berkenaan, Kosmo! lalu menghubungi Ellie untuk mendapatkan maklum balasnya tentang kontroversi berkenaan.
“Kalau dikatakan saya menarik diri daripada membintangi filem itu, ia perkara yang tidak benar sama sekali. Sebenarnya, Baldev yang mengambil tindakan dengan memecat saya.
“Puncanya kerana saya tidak berpuas hati apabila tidak disediakan pengangkutan untuk mengambil pelakon ke lokasi penggambaran. Jadi, kalau dia sudah pecat, saya tidak boleh berbuat apa-apa,” luahnya.
Ketika diminta bercerita lebih lanjut berhubung permasalahan yang ditimbul, Ellie menceritakan semuanya bermula ketika dia hendak menandatangani kontrak perjanjian berlakon dalam filem berkenaan.
Jelasnya, pengurus produksi tersebut telah memintanya supaya terus menandatangani surat kontrak yang diberikan tanpa perlu membaca keseluruhan butiran yang terkandung dalam kontrak.
“Saya diberitahu oleh pengurus produksi itu bahawa terma kontrak itu sama seperti kontrak produksi lain. Jadi, atas kepercayaan terhadapnya saya terus menurunkan tandatangan.
“Kemudian pada hari penggambaran, saya terus menghubunginya dan bertanyakan tentang pengangkutan yang akan ambil saya di rumah, tetapi dia memberitahu pihak produksi tidak menyediakan pengangkutan,” ujarnya.
Menurutnya, akibat tidak berpuas hati dia lantas menghubungi Baldev untuk mendapatkan penjelasan. Malangnya, penerbit berkenaan terus memecatnya.
Penindasan
“Sepanjang saya bergelar pelakon, belum pernah ada produksi filem atau drama yang tidak menyediakan pengangkutan untuk pelakon kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka menjaga kebajikan pelakon seperti kami.
“Mungkin ada yang anggap saya ‘bodoh’ kerana tidak membaca terlebih dahulu kandungan kontrak, namun tindakan saya itu lebih kepada kepercayaan dan tidak sangka pula boleh jadi begini,” tegasnya.
Ujar Ellie, sebagai sebuah syarikat produksi mereka seharusnya bersikap dengan lebih telus dan tidak boleh bertindak menyembunyikan apa-apa agar tiada sebarang masalah yang berlaku di kemudian hari.
Mengulas lanjut mengenai tindakan Baldev yang ingin menyamannya kerana tidak memulangkan wang pendahuluan yang telah diterima, Ellie menyatakan dia telah membuat aduan kepada Biro Aduan dan Undang-Undang Seniman, Zahrin Ishak.
Jelasnya, biarpun ketika ini persatuan Seniman sudah dibubarkan buat sementara waktu, namun biro aduan persatuan terbabit masih lagi memainkan fungsinya.
“Sebenarnya, bukan saya tidak mahu membayar semula wang tersebut, tetapi dalam hal ini saya telah dipecat oleh Baldev dan bukannya menarik diri daripada berlakon dalam filem itu.
“Kalau diikutkan apabila tindakan sedemikian diambil terhadap saya, sepatutnya mereka yang perlu membayar keseluruhan jumlah bayaran lakonan kepada saya. Ia sesuatu yang wajar kerana saya terpaksa menolak tawaran berlakon yang lain,” tegasnya.
Berhubung dengan pemulangan bayaran wang pendahuluan itu, Elly menjelaskan semuanya akan diserahkan kepada Seniman untuk tindakan selanjutnya memandangkan syarikat produksi itu juga telah mengemukakan aduan yang sama kepada biro aduan persatuan itu.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP