Loading...
Sunday, December 22, 2013

Hanez Suraya susah nak percaya org lagi

FESYEN merupakan perkara yang subjektif. Jika mahu dikatakan seseorang meniru fesyen, maka sukar untuk mentafsirkan bagaimana sebenarnya fesyen yang ditiru itu.
Perkara dibangkitkan itu membuatkan pelakon Hanez Suraya sedikit terkejut. Ini kerana ada gosip tentang seorang artis baharu meniru gaya fesyen seorang artis senior termasuk warna rambut, hangat diperkatakan baru-baru ini.
Bagaimanapun, dakwaan pelakon Hanez Suraya meniru fesyen selebriti lain, agak samar. Ini kerana kita boleh lihat ramai lagi orang lain yang berfesyen sedemikian - kemas, elegan dan ada kelas tersendiri.
Ketika ditebak soalan adakah Hanez atau nama sebenarnya, Hanez Suraya Abd. Aziz meniru fesyen selebriti lain, jawab wanita berusia 28 tahun ini dia terkejut dengan kenyataan seumpama itu.
"Saya tidak tahu mengenai perkara ini serta tidak tahu ia ditujukan kepada siapa. Setakat ini saya rasa tidak meniru sesiapa pun. Saya memang menjadi diri saya sendiri. Untuk pengetahuan, saya seorang yang ringkas dalam berpakaian.
"Saya akan bergaya jika ingin menghadiri sebarang majlis atau acara. Mungkin orang yang berkata begitu (meniru fesyen) tidak mengenali saya sebetulnya. Mungkin juga selebriti tersebut ada mengatakan dakwaan tersebut kepada orang lain, dan orang ramai membuat spekulasi bahawa artis itu ialah saya," jelas Hanez yang nyata terkejut apabila ditebak soalan seumpama itu.
Tambahnya, spekulasi sebegini mampu membuat sesama manusia bergaduh atau lebih khusus sesama artis, walhal hakikatnya tiada masalah yang timbul antara mereka.
HANEZ kini selesa menguruskan kariernya tanpa pengurus.


Tidak berdendam
Selain isu konon dikatakan dia meniru fesyen sesama rakan artis, Hanez juga hangat dengan kes samannya terhadap bekas pengurus peribadi, Dasha Sultan atau nama sebenarnya, Mohd. Fairus Mohd. Lazim kerana dikatakan telah memfitnah dan mengaibkan dirinya.
Tuturnya, ini bukan kali pertama pengurusnya itu membuat onar dengannya. Oleh kerana keterlaluan, dia bertindak membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.
"Saya kira, sebagai orang yang pernah rapat dengan saya, dia tidak patut melakukan hal itu.
"Walaupun saya telah meminta dengan baik supaya dia berhenti menyebarkan cerita tidak betul tentang saya, namun dia tetap melakukannya.
"Malah, dia pernah membuat pihak lain bergaduh dengan saya, namun saya mampu mengawalnya. Tapi, apabila dia canang cerita saya dalam media sosial, saya memang tidak boleh kawal lagi. Ini kerana ia melibatkan keluarga, peminat dan itu merupakan supaya dia berhenti menyebarkan fitnah," tuturnya yang enggan memberi komen terlalu banyak kerana dikhuatiri mengganggu kes.
Tambahnya, keadaan menjadi sulit dan berpanjangan kerana Fairus hadir ke mahkamah tanpa peguam.
Walau sedang berhadapan dengan kemelut tersebut, akui Hanez, perasaan dendam tidak pernah wujud dalam dirinya. Cuma terdetik sedih dalam hati kerana orang yang dipercayai dan sudah dianggap seperti keluarga selama ini sanggup mengkhianatinya.
Tuturnya lagi, jika dia memaafkan Fairus, kelak dia bimbang lelaki itu akan mengulang perbuatan yang sama kerana kejadian seumpama itu pernah berlaku beberapa kali.
BELUM bertemu cinta baharu, Hanez mahu lebih fokus terhadap kariernya yang semakin berkembang.


Namun, bukan niatnya ingin menakutkan serta bermegah diri tapi ini merupakan satu pengajaran kepada bekas pengurusnya itu.
Ekoran itu, walaupun mempunyai jadual yang semakin sibuk, Hanez nekad untuk menguruskan jadual kariernya sendiri.
Akuinya, setelah apa yang berlaku, agak sukar untuk dia mempercayai orang lain untuk menguruskan dirinya apatah lagi untuk rapat dengannya.
Katanya: "Semua orang tahu bila saya rapat dengan seseorang, saya akan setia pada seorang itu. Mengenai pengurus pula, saya dengan dia sudah lama dan jika boleh saya tidak mahu lepaskan dia.
"Setelah kejadian seperti ini berlaku, saya jadi takut. Tidak kiralah sama ada dengan kawan-kawan, atau orang lain. Kini saya uruskan diri sendiri. Saya memang rasa serik kerana pengurus peribadi merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Apa aktiviti kita semua dia tahu. Jadi saya kira buat masa ini, biarlah saya uruskan diri dan karier saya sendiri dahulu."


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP