Loading...
Thursday, December 19, 2013

Rita Nak Yang Matang :)





HAKIKATNYA, perceraian merupakan satu peristiwa yang cukup pahit untuk ditelan. Namun ia merupakan langkah terakhir buat sesebuah pasangan yang tidak mampu lagi hidup sebagai suami isteri.
Pelakon Rita Rudaini Mokhtar yang baru bercerai dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak sejak September lalu setelah berhadapan dengan masalah rumah tangga yang berlarutan selama bertahun-tahun, kelihatan cukup kental memegang status sebagai ibu tunggal.
Bertemu dengan pelakon tersebut ketika majlis pratonton filem Balistik baru-baru ini, Rita menyatakan bahawa kehidupannya sekarang lebih bertumpu kepada kerjaya dan membesarkan kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna, 2
.
Enggan memberikan sebarang komen tentang kisah bekas suaminya yang dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis yang pernah digosipkan dahulu, pelakon yang berasal dari Kangar, Perlis itu menegaskan bahawa dia tidak mahu langsung mengambil tahu mengenai hal tersebut.
"Saya tidak dapat berikan apa-apa komen sebab kami sudah berpisah dan Aidil tidak ada kena-mengena dalam hidup saya lagi. Cuma, sekarang orang ramai sudah boleh menilai situasi yang pernah berlaku antara kami dahulu.
"Sebenarnya, saya langsung tidak terkejut apabila mendengar cerita dia akan berkahwin. Sekarang ini, Allah sudah menunjukkan kebenarannya, meskipun dia pernah berkali-kali menafikan cerita berkenaan," ujarnya dengan nada serius.
Memandangkan bekas suaminya itu sudah menemui pengganti dan bakal mendirikan rumah tangga, Rita turut ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berkahwin lagi.
Menurut pelakon berusia 37 tahun itu, buat masa ini, dia masih belum terfikir untuk kembali berkahwin memandangkan dia baru sahaja habis edah serta sedang bergiat aktif dalam bidang lakonan.
"Sekarang ini, dalam fikiran saya mahu mencari duit untuk menyara anak-anak. Bukan mudah untuk mencari seseorang yang boleh menerima diri saya dan anak-anak, malah sehingga kini tiada mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya.

FIGURA jelita ini mengakui menyimpan segala keratan akhbar yang menampilkan kisah dan cerita yang membabitkan dirinya dan Aidil.









"Kalau ditakdirkan saya berkahwin lagi, saya tidak memandang pada usia pasangan sama ada lebih tua atau muda.
"Seboleh-bolehnya, saya inginkan seorang lelaki yang berfikiran matang dan mampu membuat keputusan sendiri serta bukan anak emak," jelasnya.
Berkenaan dengan permasalahan yang berlaku antara dirinya dan Aidil, pelakon itu berkata, dia tidak akan menyembunyikannya daripada pengetahuan kedua-dua anaknya itu dan akan menjelaskan segala-galanya apabila tiba masanya kelak.
Menurut Rita, dia sebenarnya banyak menyimpan keratan akhbar yang menyiarkan cerita membabitkan dirinya dan bekas suaminya itu untuk tatapan anak-anak dan terpulang kepada mereka untuk menilainya nanti.
"Buat masa ini, belum sesuai untuk saya menceritakan tentang masalah yang melanda kami memandangkan mereka masih kecil, dan sebagai ibu saya tidak akan menghasut mereka untuk membenci bapa mereka sendiri," ujarnya.
Nafkah anak
Mengenai tuntutan nafkah anak sebanyak RM5,392 yang dirasakan tidak munasabah oleh Aidil serta mendapat kritikan ramai, Rita menegaskan, tuntutan tersebut wajar memandangkan ia nafkah untuk dua orang anak.
Pelakon itu berkata, tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan tuntutannya itu pula seolah-olah tidak merasai sendiri situasi yang dialaminya untuk menyara kehidupan dua orang anak yang semakin besar.
"Apabila Rayyan dan Rafqa meningkat usia, pastinya belanja untuk mereka akan bertambah. Lagipun apa yang saya tuntut itu adalah hak anak-anak dan dia sebagai bapa perlu menjalankan tanggungjawab.
"Kalau diikutkan saya malas hendak membuat tuntutan ini kerana masih mampu menyara anak-anak saya, tetapi semuanya ini saya lakukan kerana ingin memberikan yang terbaik buat mereka," luahnya seakan-akan tidak berpuas hati.
Rita turut mempertikaikan tindakan Aidil yang beranggapan tuntutan berkenaan tidak munasabah. Ini memandangkan bekas suaminya itu mempunyai pendapatan yang tinggi sebagai pemain bola sepak.
"Apa salahnya dia membayar jumlah tersebut kerana itu semua adalah untuk anak-anaknya sendiri dan rasanya bayaran yang dia berikan kepada peguam lagi tinggi berbanding apa yang saya tuntut. Lebih baik duit yang digunakan membayar peguam diberikan kepada anak sendiri," jelasnya.

RITA berikrar tidak akan menghasut anak-anaknya membenci bapa mereka sendiri.



Tidak halang
Meskipun sudah ditakdirkan tidak lagi menjadi isteri kepada Aidil, ujar Rita, dia tidak pernah menghalang sekiranya bekas suaminya itu mahu berjumpa dengan anak-anak.
Mengakui kali terakhir Aidil berjumpa dengan kedua-dua anaknya itu pada bulan Jun lalu, pelakon berkenaan turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap Aidil yang jarang bertanya khabar.
"Mengikut perkiraan saya dalam dua minggu sekali dia akan menghantar pesanan khidmat ringkas bertanyakan khabar anak-anak. Itupun sikapnya seperti tidak bersungguh-sungguh.
"Sebelum ini, memang pernah ada dia memberitahu ingin berjumpa dengan anak dan saya izinkan. Namun begitu, apabila saya suruh datang ke rumah, dia pula yang menolak," ujarnya yang meminta supaya bekas suaminya itu menjadi seorang bapa yang lebih bertanggungjawab.
Menjelaskan Rayyan dan Rafqa lebih rapat dengan dirinya berbanding Aidil, tetapi sebagai wanita dia tidak akan sesekali memutuskan hubungan yang terjalin antara bapa dan anak.
"Saya pernah mengalami situasi yang sama apabila ditinggalkan bapa semasa berusia dua tahun, tetapi saya masih tetap menerima beliau sebagai bapa sewaktu saya berusia 17 tahun.
"Dalam hal ini, saya tidak kisah dan memberikan kebebasan kepada Aidil untuk berjumpa anak-anak, cuma saya meletakkan syarat yang mereka hanya boleh bermalam dengan Aidil ketika masing-masing sudah berusia tujuh tahun memandangkan selama ini mereka membesar bersama saya," jelasnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP