Loading...
Sunday, December 29, 2013

Siti dipuncak kerjaya

BERADA di puncak populariti dan meraih pelbagai anugerah sepanjang 18 tahun bergelar anak seni bukan perkara yang dimegahkan oleh Datuk Siti Nurhaliza. Meski pun kekal sebagai penyanyi nombor satu negara, Siti yang kini berusia 33 tahun tetap merasakan dirinya masih ‘hijau’. Mahu belajar dan terus belajar menjadi prinsipnya untuk kekal berjaya.
Malah pelbagai pengalaman yang dikutip sepanjang hampir dua dekad berada dalam industri menjadi antara rahsia untuk Siti terus unggul dan berada dalam kelasnya tersendiri.
Menganggap studio rakaman sebagai kelas vokal terbaiknya, Siti memperoleh banyak ilmu dan teknik nyanyian daripada komposer-komposer hebat tanah air sewaktu bekerjasama menghasilkan album sebelum ini.
Masih segar dalam ingatan sewaktu proses merakamkan album sulung berjudul Siti bersama syarikat rakaman Suria Records Sdn. Bhd. (SRC).
Bermakna
Di bawah pimpinan komposer Adnan Abu Hassan, Siti melalui pengalaman yang cukup bermakna.
Sebagai orang baru dalam industri pada 1996, Siti kekok untuk menyanyi seorang diri di studio. Lantas Adnan meminta Siti untuk menutup mata bagi mendapat penghayatan lebih sewaktu menyanyikan lagu ciptaannya.
Selain Adnan, Siti juga mempelajari teknik nyanyian daripada komposer berpengalaman seperti Datuk Shuhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah, Joe Flizzow serta Damian Mikhail sewaktu menghasilkan album-album sebelum ini.
“Siti bermula daripada kosong. Yang ada hanyalah pengalaman menyanyi di kampung, fun fair selain menyertai pertandingan nyanyian," kata anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang.
Malah kata Siti, dek terlalu minat menyanyi, sejak dari sekolah rendah dia sentiasa peka mengenai sebarang pertandingan nyanyian yang dianjurkan selepas berpindah ke Kuala Lipis.
Dia menjadi orang pertama yang menghantar penyertaan nyanyian jika ada pertandingan di sekitar kampungnya.
Kemenangan demi kemenangan yang berpihak kepadanya secara tidak langsung merangsang Siti untuk menanam impian bergelar penyanyi profesional satu hari nanti.
Tambahan pula mendapat dorongan daripada bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail dan ibu, Siti Salmah Bachik yang juga penyanyi lagu-lagu asli di daerah Kuala Lipis, membuatkan Siti yakin untuk mengorak langkah menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan pula.
“Pembabitan Siti secara serius (dalam pertandingan nyanyian) bermula sewaktu di tingkatan satu di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis, Pahang.
“Sehinggalah Siti menyertai Bintang HMI anjuran RTM pada 1995 dan Siti bertuah kerana abang (Saiful Bahri atau Ayie yang juga penyanyi) banyak membantu selepas Siti bergelar juara pertandingan itu," katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP