Lihat sahajalah filem, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, ianya berjaya membawa nama Mamat Khalid di kelas yang tersendiri.
Walaupun kebanyakan filemnya adalah kesinambungan dari filem, Zombi Kampung Pisang, namun karyanya berjaya 'mengaut' penonton dalam kelompok yang besar.
Penuh dengan elemen satira dalam menyampaikan sesebuah karya, namun ternyata, masyarakat Melayu lebih sukakan pendekatan sebegini.
Walaupun kebanyakan filem Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd Khalid, 51, dilihat lebih 'merapu', namun ia bukanlah karya 'kosong' yang dipandang enteng begitu sahaja.
Di saat industri mengalami kemerosotan kutipan di pawagam, filemnya mampu menguasai carta dengan kutipan paling tinggi pada tahun lalu, menerusi filem, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, iaitu RM5.89 juta.
Tidak hanya terhenti di situ, adik kepada kartunis hebat, Datuk Lat, ini terus menyajikan tontonan hebat buat peminat karyanya.
Adakah filem ini dapat mengulangi fenomena Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah? Ianya terjawab menerusi temu bual khas bersama ikon seni ini.
Apakah perkembangan baharu karya anda?
Alhamdulillah, untuk tahun ini, saya akan membuka tirai arahan saya dengan filem, Zombi Kilang Biskut. Bakal ditayangkan di seluruh Malaysia termasuk Brunei pada 20 Mac depan, saya mengharapkan yang terbaik untuk filem ini. Ia adalah salah satu filem saya yang masih mengekalkan genre komedi untuk seisi keluarga. Saya yakin, ianya mampu mencipta fenomena seperti filem sebelum ini kerana ketika penggambaran lagi, saya sudah rasa ianya sangat menghiburkan. Seperti filem sebelum ini, saya menyasarkan segenap lapisan masyarakat iaitu seisi keluarga untuk menontonnya. Malah, saya menghasilkan filem ini adalah khas untuk peminat karya saya. Saya janji, anda tidak akan menyesal menonton filem ini!
Adakah ianya lebih kurang sama dengan filem, Zombi Kampung Pisang?
Sama sekali tidak sama! Walaupun ia mengenai zombi juga, namun zombi ini amat berbeza. Kami masih mengekalkan lokasi yang sama, iaitu di Kampung Pisang, namun kali ini ia melibatkan zombi yang ada di kilang biskut.
Malah, zombi ini juga lebih hebat dan ganas berbanding sebelum ini kerana ada beberapa babak yang menyaksikan zombi menyerang penduduk yang juga pekerja kilang biskut. Ia mengisahkan mengenai keadaan di kilang itu dan biskut yang dihasilkan mempunyai daya tahan penyakit. Namun, ianya gagal kerana selepas makan biskut itu, mereka berubah menjadi zombi.
Bagaimana pula dengan promosi filem?
Kini, kami sedang giat mengadakan promosi untuk filem ini, malah kami juga turut membuat promosi ke Johor Bahru. Pada 7 Mac ini, saya akan turun' ke Istana Budaya (IB) bersama pelakon, Awie untuk tujuan promosi juga.
Selain itu, kami akan mengadakan tayangan perdana khas untuk media pada 11 Mac depan dan pertandingan karaoke untuk lagu dalam filem ini, Yale Yale, nyanyian Awie. Pemenang bertuah akan menerima tiket filem dan beberapa cenderahati lain.
Anda sering menghasilkan filem bercorak seram komedi. Anda tidak terdetik untuk keluar dari kepompong ini?
Sebenarnya, saya lebih selesa menghasilkan filem untuk tontonan seisi keluarga. Malah, pada pemerhatian saya, filem sebegini lebih dekat dengan penonton dan masyarakat Melayu. Lagipun, jiwa saya sememangnya lebih ke arah komedi. Namun, tidak bermakna karya saya hanya tertumpu kepada genre komedi semata-mata. Dua minggu selepas filem ini ditayangkan, filem aksi terbaru saya, Apokalips, akan ditayangkan. Selain itu, filem yang turut ditayangkan pada tahun ini ialah, Amir & Lokman Pergi Ke Laut.
Ada segelintir pihak mendakwa filem anda adalah hiburan 'kosong' semata-mata, malah lebih kepada unsur tahyul dan tidak membina. Apa pandangan anda?
Jiwa saya lebih dekat dengan unsur humor, jadi setiap karya saya menggambarkan diri saya. Perkara sebegini tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia bukanlah karya yang menjengkelkan. Lagipun, filem antarabangsa juga, tidak terlepas dari konsep yang sama, malah mereka turut mempamerkan sisi humor yang berlebihan berbanding kita. Saya tidak memandang perkara itu dari sudut negatif kerana apa yang penting adalah cara pembikinan sesebuah filem. Perlu diingatkan, karya saya bukan kerja cincai dan menjengkelkan! Lagipun, penonton sekarang sudah bijak untuk menilai sesebuah karya. Sekiranya karya saya 'kosong', mengapa saya tidak diberitahu mengenainya. Malah, penonton juga menunjukkan reaksi positif untuk filem-filem saya.
Sejak akhir-akhir ini, kutipan filem di pawagam semakin menunjukkan kemerosotan. Adakah perkara itu tidak menghantui anda sebagai penggiat seni?
Ya, saya menyedari akan situasi itu di mana penonton mula menunjukkan rasa 'mual' terhadap filem-filem tempatan. Namun, pada tahun lalu, di saat ramai penerbit dan pengarah menghadapi cabaran teruk dari segi kutipan, filem saya mampu bersaing dengan jayanya. Saya yakin dengan penonton khususnya peminat yang sering menantikan buah tangan dari saya. Kekuatan saya adalah peminat dan mereka membuktikan bahawa kerja seni saya tidak sia-sia.
Bagaimana pula dengan sasaran kutipan untuk filem ini?
Keseluruhan filem ini menelan kos produksi sebanyak RM1.5 juta. Saya mengharapkan agar ianya berjaya memberi pulangan modal. Namun, saya tidak menetapkan sasaran sebenar kerana apa yang penting, masyarakat perlu menontonnya terlebih dahulu. Namun, saya yakin bahawa filem ini mempunyai pengikut yang tersendiri dan kalau boleh, biarlah lebih daripada kutipan sebelum ini.
Akhir sekali, apakah harapan anda untuk filem ini?
Saya berharap agar ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Saya jamin, anda akan ketawa tanpa henti melihat aksi-aksi yang dipaparkan pelakon filem ini. Kebanyakan dari mereka adalah pelakon untuk filem-filem terdahulu. Apa yang pasti, ianya adalah hiburan untuk seisi keluarga dan ia adalah penghargaan khusus saya untuk peminat setia.
0 comments:
Post a Comment