KALAU diikutkan rasa hatinya, tentu sahaja dia mahu segerakan rancangan untuk bernikah dengan wanita pilihan hati. Namun sebagai anak lelaki, dia tahu kuasanya agak terbatas jika berdepan dengan permintaan seorang ibu. Mahu tidak mahu, dia perlu merelakan ibunya membuat keputusan agar tidak melukakan hati wanita yang melahirkannya itu.
Menurut Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif Asâari, 27, jika ibunya Datin Firdaus Abdul Kader, 56, tidak merestui hubungan cinta itu sehingga akhirnya, keputusan untuk tidak berkahwin itu adalah sesuatu yang pasti dari dirinya.
Kata Johan, kedudukan ibu terlalu tinggi dalam hatinya ketika ini dan tiada siapa dapat menolak hakikat itu.
"Kami akan berusaha untuk menyakinkan ibu. Ini bukanlah bermakna ibu saya tidak merestui hubungan ini. Bagi saya mana-mana ibu juga mempunyai perasaan yang sama, iaitu untuk memastikan anaknya memilih seorang isteri yang mampu membahagiakan dirinya.
"Sebenarnya keluarga tidak membantah. Cumanya apa yang ayah saya minta adalah untuk kami dan keluarga lebih saling mengenali. Mungkin masih terlalu awal sekarang ini," katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Skrin 2013 di Shah Alam baru-baru ini.
Melihat apa yang berlaku sebagai satu cabaran dalam hubunganya dengan pelakon Lana Nordin, Johan percaya naluri lelakinya cukup yakin bahawa Lana bukan wanita biasa.
Walaupun masih ada yang mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu sebagai tergesa-gesa, bagi Johan, tiada salahnya untuk memberi peluang buat cinta mereka bercambah selepas bernikah.
"Mengenali Lana baru saya tahu siapa dia sebenar. Bukan seperti yang orang lain sangkakan. Saya tidak cakap hubungan ini akan merubahnya secara keseluruhan. Namun saya sudah lihat ada usahanya ke arah itu. Mungkin dia perlu bekerja lebih keras untuk menyakinkan ibu saya, kerana pada mata saya, Lana adalah wanita yang baik.
"Selagi kami tidak mendapat restu daripada kedua belah pihak, tiada sebarang tarikh untuk diumumkan kerana apa yang penting kini adalah restu. Jika sudah dapat restu mungkin saya akan terus berkahwin sahaja," katanya jujur.
Sudah bersedia untuk bergelar seorang suami, Johan memberitahu dia tidak pernah memaksa Lana untuk berubah demi dirinya.
Namun sebagai lelaki yang mahu memiliki Lana,dia tahu melatih dari awal juga bakal membantu perancangan hubungan mereka pada masa hadapan.
"Lana seorang yang matang, apabila dia buat keputusan saya tahu dia buat untuk dirinya sendiri dan bukan atas desakan sesiapa.
"Bagaimanapun saya tidak menafikan ada memberi beberapa nasihat, contohnya dari segi pemakaian. Alhamdulillah ini sebagai permulaan. Dia juga tidak membantah, mungkin benda sebegini juga memang datang dari sanubarinya," ujarnya.
Tiada hubungan istimewa dengan Shila
Dalam kenyataan yang sama, Johan masih kekal dengan pendirian bahawa antara dia dan penyanyi Shila Amzah hanya sebatas rakan biasa. Dalam keadaan umur Shila yang baru menjangkau 23 tahun, Johan melihat pasti penyanyi itu melalui fasa kehidupan biasa seorang remaja.
"Saya anggap dia seperti seorang adik dan juga rakan baik. Saya masih sayangkan dia, sama seperti dulu juga," kata Johan.
Spekluasi mengatakan Shila amat terpukul dengan pilihan Johan yang mahu memperisterikan wanita lain dan banyak âmenyindirâ dirinya di laman sosial.
"Kalau benar apa yang ditulis di laman Instagram Shila itu ditujukan kepada saya, saya boleh faham kenapa dan mengapa itu berlaku. Mungkin dia kini sedang melalui fasa kehidupan seorang remaja.
"Seperti yang kita tahu dengan sejarah cintanya sebelum ini, saya fikir ia pasti memberi sedikit kesan kepada dirinya," katanya.
Terkejut apabila mengetahui Shila seolah-olah tidak lagi berminat untuk bersahabat dengannya, bagi Johan seharusnya hubungan dengan Lana tidak mengubah apa-apa memandangkan hubungan itu lebih bersifat peribadi.
Johan memberitahu, sekurang-kurangnya ibu Shila, Fauziah Sarman, 45, sudah diberitahu mengenai niatnya untuk memperisterikan Lana.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku tentang Shila. Kami tidak pernah mempunyai sebarang hubungan yang lebih sebagai rakan. Sekarang dia sudah buang saya. Malah turut menyekat saya dari mengikutinya di laman Instagram.
"Sebenarnya saya turut menelefon ibu Shila untuk memberitahu mengenai niat saya untuk berkahwin. Ibu Shila sendiri menerima berita ini dengan gembira. Saya tak nafi, ada kata-kata nasihat yang diberikan tetapi semuanya bersifat positif," katanya.
Berharap agar Shila pulih dari situasinya kini, Johan sempat menyampai pesanan agar Shila meneruskan impian orang tuanya yang mahu melihat dia berjaya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga terkenal di seluruh dunia.
"Umur Shila masih muda, perjalanannya masih panjang, mungkin buat masa ini dia patut fokus pada kerjayanya yang pada saya sedang berada di puncak.
"Selain itu mungkin dia perlu melupakan sejarah lalu, dan menjadi seorang yang pemaaf. Mungkin dengan cara itu dia akan jadi lebih tenang," katanya yang tidak menolak kisah cinta Shila sebelum ini mungkin menjadi faktor kepada perkongsian beberapa kata-kata menjurus perasaan hati penyanyi tersebut yang sedang kecewa.
0 comments:
Post a Comment