Rekod dicipta pelawak Nabil Ahmad, 30, yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2008 (ABPBH 2008) tetap dikenang dalam sejarah 26 tahun penganjuran anugerah berprestij ini.
Tahun pertama terpilih sebagai calon ABPBH, Nabil bolos senarai
Top 5. Tanpa disangka, impak dicetus jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini membolehkan Nabil merangkul trofi idaman selebriti iaitu Bintang Paling Popular menewaskan artis senior lain.
Kejayaan Nabil dianggap suatu fenomena yang jarang dilihat di pentas ABPBH. Sesetengah artis terpaksa menunggu sehingga berbelas tahun untuk mengungguli anugerah utama ABPBH. Sebaliknya, Nabil melonjak tangga populariti selepas menjuarai program realiti Raja Lawak 2008 di pentas ABPBH.
Pada pentas edisi ke-22 ABPBH 2008, Nabil turut diumumkan membawa pulang trofi Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.
Dulu mat despatch
Mencari upah sebagai ‘mat despatch’ sebelum mencuba nasib dalam bidang seni, Nabil mengakui ABPBH mengangkat namanya sehingga dia menjadi rebutan pengarah dan produser tempatan.
Nabil berkata, jatuh bangun artis dalam dunia seni banyak bergantung kepada populariti.
“Nama saya mula diangkat, daripada orang tidak tahu, jadi tahu. Saya akui kemenangan pada ABPBH 2008 ada kekurangan dan kelebihannya. Tapi lebih banyak keuntungan yang saya terima seperti nama serta bakat saya diangkat, orang ramai mula menyedari kemunculan saya. Tawaran kerjapun senang masuk.
“Selepas kemenangan itu, nama saya sering tercalon di ABPBH sampai sekarang. Saya berada dalam kalangan nama hebat, walaupun saya tidaklah sehebat mana.
“Saya menyifatkan kemenangan adalah lebih kepada rezeki. Sebagai contoh, ada penyanyi atau pelakon yang berkecimpung selama berbelas-belas tahun, baru berpeluang untuk menjadi Bintang Paling Popular. Ini berbeza buat saya, selepas enam bulan saja, saya dianugerahkan gelaran tertinggi itu,” katanya.
Nabil berkata, sebaik memenangi trofi Bintang Paling Popular ABPBH 2008, tawaran daripada pelbagai pihak termasuk penerbit drama, filem dan iklan bagai mencurah-curah.
Tak pernah ada kelab peminat
Lebih meninggalkan kesan, ketika memenangi trofi utama ABPBH 2008, bapa kepada Naira Mikayla hasil perkongsian hidup dengan Nazirah Ayub ini mendapat undian tanpa sokongan kelab peminat.
Andai segelintir artis mendapat sokongan daripada kelab peminat, Nabil rupa-rupanya sehingga hari ini tidak mempunyai kelab pemujanya.
“Siri jelajah ABPBH banyak membantu kerana kita dapat bertemu peminat yang menyokong kita. Ramai daripada mereka saya tidak kenal, tetapi merekalah yang mengundi saya hingga berjaya membawa pulang trofi kemenangan.
“Selama enam tahun nama saya tersenarai di pentas ABPBH adalah kerana sokongan peminat yang menilai diri berdasarkan bakat. Di sini, kita boleh nampak peminat menilai bakat sebelum mengiktiraf selebriti itu popular.
“Sehubungan itu, saya cukup berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan orang ramai biarpun hingga sekarang saya tidak ada kelab peminat,” katanya.
Lebih menumpukan tugas sebagai penyampai radio Era FM, Nabil kini komited dalam menjayakan program siaran langsung seperti Meletop, Maharaja Lawak Mega dan pementasan Lawak Ke Der.
Sehubungan itu, bidang lakonan terpaksa diketepikan sementara waktu dek jadual yang padat. Terbaru, Nabil akan mengikuti penggambaran drama terbitan Astro Ceria ke Paris, Mac depan.
PROFIL: Ahmad Nabil Ahmad
Umur: 30 tahun
Asal: Mambau, Seremban, Negeri Sembilan
Kerjaya: Pelawak, pelakon, pengacara dan penyampai radio
Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik
Filem: Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Sifu & Tongga, Bujang Terlajak, Berani Punya Budak, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee... Hantu, Momok The Movie dan Pisau Cukur.
0 comments:
Post a Comment