Loading...
Friday, December 27, 2013

Agnes teruskan juang

Lepaskan lelah di Jakarta sempena sambutan Hari Natal sebelum kembali sibuk promosi album di Amerika Syarikat


Dua tahun berulang alik antara Jakarta dan Los Angeles (LA) untuk menggarap album antarabangsa perdanaya, Agnes Monica membanggakan Indonesia apabila single taruhannya, Coke Bottle dilancarkan Ogos lalu.
Serentak pelancaran single itu, harinya diisi dengan siri promosi di seluruh Amerika Syarikat selain menjelajah dari satu negara ke negara lain. 

i LA, saya terlalu sibuk dengan latihan. Tidak hanya nyanyian, latihan fizikal juga diberikan tumpuan. Sudah pasti, saya memilih cara hidup yang sihat kerana saya perlu sentiasa bertenaga di pentas," Agnes Monica

Kurang rehat

Sempat menjayakan persembahan di Jepun, akhir November lalu sebelum kembali ke Jakarta untuk rakaman konsertnya, penyanyi yang dilahirkan pada 1 Julai 1986 tidak menolak, dirinya mula disapa keletihan disebabkan kurang rehat.

Atas alasan itu, sebelum 2013 menutup harinya, anak bongsu pasangan Ricky Muljoto dan Jenny Siswono ini memutuskan untuk berehat.

Enggan lagi berkelana, Agnes memilih untuk bersama keluarga meraikan sambutan Hari Natal dan tahun baru sebelum kembali diasak kesibukan pada Januari. 
“Saya cuma mahu berehat kerana sudah terlalu penat mengembara. Lantas, sepanjang Disember saya memilih untuk bersama keluarga. Belum ada perancangan ke mana-mana.

Terlalu penat

“Biarlah saya di sini dulu, lagipun saya sudah terlalu penat berulang-alik dengan pesawat selama 18 jam. Perjalanan panjang itu cukup melelahkan,” katanya.

Selama berada di Jakarta, Agnes berkata, dia tidak akan berhenti berkarya. Kembali meneroka kemampuannya, Agnes menghadiahkan peminatnya dengan sebuah konsert sebelum pulang ke LA, Januari ini.

“Awal 2014, saya akan kembali ke LA untuk tempoh lebih lama. Jadi, kesempatan yang ada ini saya ingin habiskan bersama keluarga dan teman.

“Di LA, saya terlalu sibuk dengan latihan. Tidak hanya nyanyian, latihan fizikal juga diberikan tumpuan. Sudah pasti, saya memilih cara hidup yang sihat kerana saya perlu sentiasa bertenaga di pentas,” katanya.

Dikenali sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, keinginannya untuk menakluk pasaran antarabangsa tidak pernah bernoktah.

Berpegang kepada prinsip menjadikan setiap impian kenyataan, Agnes yang kini memakai nama komersial antarabangsa, Agnez Mo berusaha mewujudkan mimpinya.

Tidak hanya mempertingkatkan kualiti vokal, dia juga menitikberatkan penampilan supaya dilihat bertenaga di pentas.

“Saya sering bersenam. Dorongan yang kuat mendesak saya ke gimnasium setiap kali ada waktu terluang. Jika tidak terikat dengan apa-apa komitmen, saya akan bersenam dua kali sehari.

Suka olahraga

“Saya bukan berniat untuk memiliki susuk tubuh berotot, cuma saya suka olahraga,” kata gadis yang pernah beraksi di sisi aktor Taiwan, Jerry Yan dalam siri televisyen, The Hospital.

Sempat diberi liputan oleh majalah digital AS, Regard yang memberikan penghargaan terhadap single pertamanya, Coke Bottle, Agnes mengakui, kehadiran single itu adalah pencapaian terbesarnya selama aktif sebagai penyanyi.

Berbangga apabila dimaklumkan Coke Bottle sudah mula menembusi pasaran di sana dan beberapa negara lain, Agnes berkata, dia sudah bersedia serta yakin ketika single berkenaan dilancarkan.

“Melahirkan Coke Bottle adalah pencapaian terbesar. Bukan kerana saya bekerja dengan nama besar seperti Timberland, tetapi kerana ia mengisi muzik yang saya inginkan.

“Saya hanya ingin membuat muzik yang bagus. Ini adalah yang saya cari selama ini dan saya sangat mempercayainya,” katanya.

Tarik diri juri Indonesian Idol

Tampil dalam 16 halaman majalah itu, Agnes turut ditanya mengenai fesyen dan gaya hidup bersesuaian dirinya yang melancarkan koleksi jeans, Anye.

Masih belum bersedia memberikan fokus penuh dalam bidang itu, Agnes memberitahu, label rekaannya terus mendapat sambutan.

“Menekuni dunia fesyen adalah antara satu cabang yang paling digemari apabila bergelar penghibur. Selain menjadi fokus masyarakat, bidang itu juga membentangkan risiko besar.

“Fesyen adalah sesuatu yang tidak pasti. Mungkin sesuatu rekaan dilihat cocok digayakan seseorang, tetapi belum pasti kelihatan menarik digayakan orang lain.

“Sesuatu yang mungkin pada mata kita dilihat selesa, tetapi ia juga boleh menjadi ‘bencana’ bagi orang lain yang melihatnya,” katanya.

Jadi teka-teki

Mula bersiaran semalam menerusi RCTI, pencarian Indonesian Idol 2014 menimbulkan polemik apabila status Agnes sebagai seorang juri masih menjadi teka-teki.

Namun semua itu terjawab apabila penyanyi lagu Matahariku itu mengesahkan, dia menarik diri manakala tempatnya digantikan vokalis Kotak, Tantri yang menyertai Ahmad Dhani, Anang Hermansyah, dan Titi DJ.

Program realiti popular itu turut menghadirkan dua juri jemputan iaitu Indra Lesmana dan Raisa.

Pemilihan juri melalui proses yang panjang apabila Agnes tidak mampu memberikan komitmen kerana terikat dengan promosi album di AS.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP