BAHAYANYA Wanita bukan sekadar menjual wanita-wanita cantik di lantai pentas. Juga bukan sekadar menjual komedi. Sebaliknya karya nukilan Erma Fatima ini merupakan sebuah karya berat yang mengangkat poligami sebagai isu.
Sebagaimana yang diketahui hidup bermadu bukan semata-mata manis, juga tidak semestinya pahit dan itu menjadi elemen utama yang diangkat oleh pengarahnya, Zamberi Shari.
Dan Bahayanya Wanita menceritakan kisah wanita-wanita yang hidup bermadu yang digarap dalam suasana komedi untuk tontonan serta hiburan penonton.
Menemui khalayak bermula 20 Disember hingga 30 Disember di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, Zizan Razak sebagai suami yang memiliki tiga isteri cantik, teater ini mampu memancing penonton dengan kolaborasi Datin Paduka Umie Aida, Erra Fazira, Nora Danish, Johan Asaari, Haliza Misbun dan Ziela Jalil.
Komedi Erma Fatima
UMUM mengetahui Erma Fatima sebelum ini tidak pernah terlibat dalam pementasan teater komedi. Banyak menghasilkan naskhah serius terutama bercorak Islamik kata Erma, idea untuk skrip ini terhasil selepas dia menjayakan segmen Madu Tiga sempena sambutan Hari SENIMAN yang lepas.
Sememangnya saya teruja untuk menerima reaksi penonton sepanjang teater ini berlangsung.
Naskhah ini berat tapi sedaya-upaya saya cuba hasilkannya dalam garapan hiburan yang menyenangkan semua penonton.
Namun dalam bergelak ketawa, saya juga berharap agar semua penonton dapat menangkap mesej yang saya cuba sampaikan menerusi pementasan ini," katanya.
Turut menjayakan karyanya dengan membawa watak sebagai Suti, dia yang sudah lama tidak berlakon mengaku tidak sabar untuk beraksi di pentas.
Saya anggap macam lepas gian sebab selama ini saya lebih banyak terlibat di belakang tabir apalagi ini sebuah teater.
Saya sebagai Suti ialah seorang janda. Meski tak punya suami, dia bagaimanapun seorang yang berprinsip," katanya.
Buka mata dan minda - Umie Aida
RAMAI yang bertanya tentang pengisian teater ini sama ada terarah untuk mempersendakan wanita-wanita yang dimadu.
Bertindak sebagai penerbit bersama kawan baiknya, Erra Fazira , Umie Aida tegas menyatakan pendirian.
Tiada niat menghasilkan naskhah untuk mempersenda dunia poligami, katanya aktres popular ini.
Dia yang turut berlakon memegang watak Sharifah Fatima Maruka ini, Bahayanya Wanita adalah sajian yang sudah sedia ada yang berlaku dalam masyarakat.
Karya ini katanya, berkisah tentang suka duka dunia poligami itu sendiri.
Ini bukan soal mempersenda. Itu bukan niat kita sebab mesej yang utama adalah bagaimana penonton menghayati dunia poligami itu daripada mata mereka.
Saya pasti ramai yang datang dengan persepsi mengenai isu poligami lalu menjadikan perkara itu sebagai satu isu yang sangat berat.
Saya tak mahu penonton sakit kepala fikir mengenai Bahayanya Wanita. Sebab itu teater ini digarap dalam jenaka supaya mudah difahami.
Saya harap, penonton datang tonton dengan minda terbuka," katanya .
Langkah pertama - Nora
MERUPAKAN langkah pertamanya dalam dunia pementasan teater, Bahayanya Wanita dianggap memberi satu anjakan baru dalam profil seni pelakon cantik Nora Danish.
Menurut Nora, Bahayanya Wanita mencetuskan debaran buatnya terutama dalam menerima reaksi penonton yang datang menyaksikan lakonannya secara langsung.
Selama ini sudah terbiasa di depan kamera. Teater dan lakonan biasa adalah tak sama. Banyak yang saya belajar sepanjang menjayakan teater ini daripada sesi latihan sehinggalah pementasan sebenar.
Pengalaman paling menarik, saya belajar menari dan menyanyi untuk teater ini. Bagi saya itu bukan sesuatu yang mudah sebab kena hafal lirik dan dalam masa yang sama nak hafal gerak tari.
Apa pun, saya cuba yang terbaik demi kepuasan penonton dan kepuasan semua tenaga produksi," katanya.
Dalam pada itu, Nora juga sudah bersedia dengan sebarang kritikan yang mungkin diterimanya memandangkan teater bukanlah bidang kekuatannya.
Saya tahu, saya tak akan dapat lari daripada kritikan. Tapi tak mengapa, saya cuba dulu dan tengok macam mana respons penonton.
Lagipun saya sedar saya ini bukan orang teater. Namun saya percaya dengan tunjuk ajar barisan pelakon hebat yang lain, Insya-Allah, Bahayanya Wanita tidak akan mengecewakan," katanya yang memegang watak isteri ketiga Syed Maadon Al-Sidek bernama Farhana.
0 comments:
Post a Comment