Loading...
Thursday, December 19, 2013

Kerana Keluarga Nora Danish Sanggup Putus

Sedalam manapun cintanya pada seseorang, pemilik nama sebenar Nora Danish Mohd Hanif, 31, ini tetap akan memastikan hubungan mereka direstui keluarga kedua-dua pihak sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.

“Terus terang, hubungan saya dan keluarga sangat rapat. Saya sanggup putuskan hubungan yang terjalin jika ia tidak direstui keluarga.


TAMPIL jelita ketika majlis pelantikannya sebagai duta Sure White Beauty Plus.

“Begitu juga dengan Nedim. Walaupun wajahnya nampak seperti ‘bad boy’ tapi sebenarnya, Nedim seorang yang baik dan penyayang. Dia juga sangat mementingkan keluarga dalam segala hal dan sama seperti diri saya.

“Saya juga sudah berjumpa dengan keluarga Nedim sebelum ini. Pada masa sama, saya sangat bersyukur mereka menerima kehadiran saya dengan baik dalam keluarga mereka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Nora yang berstatus ibu tunggal kepada seorang anak, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram,4, dia akui bukan mudah selebriti berstatus ibu tunggal sepertinya untuk diterima dalam keluarga golongan kenamaan.

“Pada pada zaman kegemilangan aktres Datin Sofea Jane dulu, golongan selebriti tempatan lebih eksklusif dan dihormati masyarakat.

“Pada zaman sekarang pula, ramai orang yang suka memandang serong pada golongan selebriti terutama yang berstatus ibu tunggal dan menganggap mereka sebagai pemusnah rumah tangga orang. Tidak cukup dengan itu, mereka juga nampaknya lebih suka pada artis yang ramai sudah berhijrah ketika ini. Apapun, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan golongan kenamaan yang merendah diri dan baik seperti keluarga Nedim,” katanya.

Nora ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Sure White Beauty Plus dan C Glow Factor yang berlangsung di Flora Terrace, Jalan Mayang Sari di sini, baru-baru ini.

Ditanya perancangan untuk berkahwin pula, kata Nora, dia dan Nedim selesa dengan hubungan mereka yang terjalin ketika ini.

“Setakat ini, Nedim adalah lelaki yang paling baik yang pernah saya kenal. Namun, kami belum berbincang soal kahwin kerana masing-masing belum bersedia untuk melangkah ke fasa perkahwinan lagi,” katanya.

“Mungkin kerana pengalaman lalu menyebabkan saya lebih berhati-hati kerana tidak ingin mengulangi kesilapan sama. Saya berharap jika ditakdirkan berkahwin buat kali kedua biarlah ia kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.


Agenda seni Nora padat

Beralih pada perkembangan karier seninya pula, ternyata, pelakon yang dikenali menerusi drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya bergandingan dengan Adi Putra ini padat memenuhi undangan berlakon drama dan filem. 

Malah, Nora yang tersenarai menerusi dua kategori Top 5, Pelakon Drama Terbaik dan Pelakon Filem Terbaik, Anugerah Skrin 2013 baru-baru ini mengakui agenda seninya padat sehingga Februari depan.

Buat masa ini, Nora sibuk menjalani latihan intensif pementasan teater Bahayanya Wanita arahan Zamberi Shari (Bombay) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula hari ini hingga 31 Disember ini.

Dalam pementasan itu, Nora bergandingan dengan barisan pelakon hebat iaitu Datin Paduka Umie Aida, Erra Fazira dan Zizan Raja Lawak selaku teraju utamanya.

Teater komedi ini terbitan dua sahabat baik iaitu Umie dan Erra menerusi produksi Frensis Sdn Bhd. Manakala, pengarah berkaliber Erma Fatima pula selaku penasihat produksi dan penulis skrip teater ini.

“Saya terima tawaran untuk beraksi dalam pementasan ini kerana ingin mencabar diri di pentas teater. Saya berani terima tawaran kak Erma kerana watak isteri muda iaitu Farhana itu tidak berat kerana ia diselitkan dengan elemen komedi. Apa yang menarik, saya juga perlu menyanyi dalam teater ini,” katanya.

Selain teater, Nora juga terbabit sebagai juri tetap dalam program Maharaja Lawak Mega 2013. Tidak ketinggalan, dia juga berlakon dalam filem genre seram Pengantin Malam.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP