Loading...
Wednesday, December 25, 2013

kehebatan Lefthanded tak leh disangkal

KEHEBATAN kumpulan Lefthanded boleh dikategorikan sebagai legenda dalam muzik rock sebaris dengan kumpulan tersohor seperti Search, Wings dan Sweet Charity.
Di zaman kegemilangan kumpulan tersebut, tidak ada yang mampu menafikan kehebatan mereka beraksi secara langsung dengan lagu-lagu hits yang sering berkumandang di corong-corong radio.
Malah bagi peminat fanatik kumpulan tersebut, nyata masih terus utuh setiap kali sama ada Lefthanded, Wings, Search dan Sweet Charity membuat persembahan.
Dulu, di waktu usia muda mereka, kelincahan di pentas tidak dinafikan menjadi tarikan tetapi kini sebahagian besar anggota kumpulan tersebut sudah dimamah usia.
Biarpun zaman kegemilangan mereka dilalui pada tahun 80-an namun sentuhan mereka tetap seperti dulu cuma bezanya mereka tidak lagi selincah ketika di zaman puncak masing-masing.
Bagi kumpulan tersohor Lefthanded yang terkenal dengan lagu Tiada Lagi Kidung Mu, Cinta Tiga Dimensi, Ku Di Halaman Rindu dan Debunga Wangi masih tetap bertenaga.
Ahad lalu, di Hard Rock Cafe Melaka, Lefthanded yang dibarisi vokalis utama, Nash, Man Kidal (gitar utama) dan Man Dayak (dram) membuat persembahan di hadapan lebih 500 peminat kumpulan tersebut.
Walaupun usia kumpulan Lefthanded mencecah 36 tahun berada di persada seni selaku kumpulan rock tersohor, kelibat mereka beraksi di Melaka selepas 14 tahun masih sehebat dulu.
Kali pertama kumpulan itu membuat persembahan di Melaka 14 tahun dulu di Stadium Kubu (kini dikenali Stadium Hang Tuah).
Kemunculan kedua kumpulan Lefthanded sememangnya dinanti-nantikan peminat kumpulan itu di negeri ini dan peluang tersebut tidak disia-siakan.
Pentas di Hard Rock Cafe Melaka adalah aksi pertama kumpulan Lefthanded yang terdahulu kumpulan Sweet Charity turut membuat persembahan Oktober lalu.
Kemunculan Lefthanded dibantu oleh Fauzi NRG (bass), Tom (dram), Rosa (keyboard), Hafiz (dram) dan anak sulung Man Kidal, Elly (gitar kedua).
Penampilan Datuk Ramli Sarip, penyanyi utama kumpulan May, Mus dan juara Kilauan Emas, Silahuddin Ali atau lebih dikenali dengan panggilan Silah menceriakan persembahan Lefthanded malam tersebut.
Aksi Lefthanded hampir tiga jam nyata membuatkan rata-rata peminat kumpulan tersebut mampu tersenyum puas menghayati persembahan mantap Nash dan rakan-rakannya.
Sejak pukul 8 malam ruang hadapan pentas Hard Rock Cafe Melaka mula dipenuhi peminat-peminat Leftanded yang bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi juga dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
Peminat kumpulan rock tersohor itu kebanyakannya terdiri daripada orang veteran sudah mengambil tempat memenuhi ruang hadapan pentas menjadikan keadaan tidak menentu menantikan kemunculan Nash dan rakan-rakannya.
Tepat pukul 9 malam sebaik pengacara mengumumkan kemunculan Lefthanded, tepukan gemuruh berkumandang dan pekik sorak membuktikan mereka masih ada peminat walapun kumpulan itu sudah berusia 36 tahun berada di persada seni.
Bermula dengan lagu hit Alam dan Pencipta, peminat mula melayani kehebatan Lefthanded apa lagi dengan petikan gitar utama Man Kidal dan anak sulungnya Elly memukau peminat yang datang.
Ditambah pula dengan kelantangan suara Nash menambah keceriaan malam tersebut sebelum disusuli lagu Keadilan dan Kenangan Bersamamu.
Lagu hit, Lagenda Cinta menjadi tarikan apabila peminat bersama Nash turut menyanyikan lagu tersebut termasuk lagu Tiada Lagi Kidungmu, Cinta Tiga Dimensi, Debunga Wangi dan Ku Dihalaman Rindu.
Kemunculan penyanyi utama Sweet Charity, Ramli turut memukau peminat menyanyikan lagu Bayanganmu.
Begitu juga dengan juara Kilauan Emas, Silah mencuri perhatian dengan dua lagu Blues dan Black Night selain penampilan Mus di penghujung persembahan dengan lagu Arah Yang Hilang dan Semangat Lamina menambah kehangatan malam tersebut.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP