USIANYA dalam bidang seni boleh dikira masih lagi setahun jagung tetapi tidak bermakna pelakon Nur Risteena Munim Zainul Ilyas dapat mengelak daripada terpalit dengan kontroversi yang membabitkan dirinya.
Baru sahaja namanya mula menjadi sebutan kerana lakonannya dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, tiba-tiba timbul pula cerita kurang enak membabitkan disiplin dirinya.
Menerusi laporan sebuah akhbar baru-baru ini, timbul dakwaan yang mengatakan pelakon berkenaan sudah mula buat perangai serta bertindak membatalkan sesi fotografi sehingga mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak.
Dalam satu sesi fotografi yang diaturkan bersama Kosmo!, jelas terpancar riak wajah kesedihan terhadap pelakon muda yang baru mencecah usia 24 tahun itu apabila dituduh sebagai artis yang tidak berdisiplin.
"Sebagai pelakon baharu, sudah tentu saya perlukan publisiti yang lebih meluas terutama sekali cerita tentang diri dan kerjaya saya menerusi akhbar.
"Bagaimanapun, saya ingin jelaskan bahawa masalah yang timbul ini berpunca daripada salah faham sehingga sesi fotografi yang diaturkan terpaksa dibatalkan.
"Sepanjang setahun menjadi pelakon, saya sangat menjaga disiplin dan tidak pernah datang lambat ke lokasi. Apabila timbul cerita-cerita sebegini, pastinya ia membuatkan saya rasa begitu sedih," luahnya sambil meminta maaf kepada pihak yang berkecil hati dengannya.
Jelas Risteena, antara sebab utama dia berhadapan dengan masalah tersebut kerana tidak menggunakan khidmat pengurus, sedangkan jadual lakonannya kini semakin padat lantaran pelbagai tawaran yang diterima.
Ujar pelakon yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, memang ada yang mencadangkan supaya dia mencari pengurus yang boleh menguruskan kerjayanya dengan lebih teratur, namun dia merasakan masih lagi mampu bergerak sendiri.
"Apabila mengalami situasi sebegini, saya pernah menangis dan tidak menyangka terpalit pula dengan kontroversi memandangkan saya sangat memberi komitmen terhadap setiap pekerjaan yang dilakukan.
"Namun begitu, apabila difikirkan semula, tidak ada guna saya menangis sehingga memberikan tekanan. Saya anggap segala yang berlaku ini merupakan salah satu cabaran dalam usaha saya untuk mencipta nama dan segala kesilapan akan cuba saya elakkan agar tidak menyinggung mana-mana pihak," ujarnya.
Menurutnya, selaku seorang pendatang baharu, sudah tentu perkara yang paling mahu dielakkannya ialah terbabit dengan setiap isu kontroversi yang boleh mendatangkan persepsi negatif peminat terhadap dirinya.
Ujarnya, dia tidak mahu segala yang diusahakannya untuk menjadi seorang pelakon berjaya, menjadi sia-sia dengan imej yang terjejas serta kepercayaan peminat terhadap dirinya mula berkurangan.
"Pada masa ini, tumpuan utama saya hanya pada bidang lakonan dan tidak mahu masalah lain mengganggu tumpuan kerja saya. Selain itu, saya mengambil keputusan untuk mengelakkan diri daripada bercinta dan mempunyai komitmen dengan mana-mana lelaki.
"Sekiranya saya sudah ada kekasih dan timbul masalah dalam hubungan cinta, sudah tentu kisah peribadi saya lebih menjadi perhatian. Saya tidak mahu perkara tersebut berlaku dan biarlah cinta saya hanya kepada dunia lakonan sekarang ini," jelasnya.
Pelakon 'kayu'
Di sebalik kontroversi yang melanda dirinya itu, Risteena turut mendapat kritikan ramai apabila ada segelintir yang melabelkannya sebagai seorang pelakon 'kayu' ketika melihat kemunculannya dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku.
Bergandingan dengan seorang lagi muka baharu, Fattah Amin dalam drama berkenaan, pelakon itu mengakui tidak kisah apabila dilabel sedemikian oleh peminat menerusi laman sosial.
"Mula-mula membaca komen sedemikian menerusi laman sosial Twitter, saya rasa sangat kecewa memandangkan ketika itu penggambaran masih lagi berjalan. Ada kalanya sewaktu penggambaran sedang dilakukan, saya langsung tidak bersemangat.
"Kemudian pengarah banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar untuk memperbaiki lagi mutu lakonan kami.
"Selain itu, kami akan berhenti berehat ketika drama ini sedang ditayangkan di televisyen dan menerusi cara tersebut saya dapat melihat setiap kelemahan yang ada," ujarnya.
Mengakui tidak berpuas hati dengan lakonannya dalam drama bersiri berkenaan pada episod awal, kini dia dan Fattah yang turut mendapat kritikan berhasil memperbaiki lakonan masing-masing.
"Pada mulanya, kami memang agak sukar untuk mencari keserasian bersama kerana kali pertama bergandingan serta masing-masing pemalu dan buat hal sendiri, namun pengarah meminta kami lebih mesra di lokasi supaya mudah ketika berlakon," ujarnya.
Dalam pada itu, Risteena menyatakan selain Playboy Itu Suami Aku yang masih ditayangkan di kaca televisyen, terdapat sebuah lagi drama bersiri lakonannya iaitu Menjinak Ombak arahan Along Kamaruddin sedang ditayangkan sejak 6 Disember lalu di slot Zehra setiap hari Jumaat pada pukul 9 malam.
Tidak minat
Ketika dirinya sudah mula mendapat perhatian ramai serta menjadi pilihan pengarah untuk memegang watak utama, Risteena mendedahkan bahawa dia sebenarnya sebelum ini tidak minat menjadi pelakon.
Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya dalam dunia lakonan, pelakon berkenaan menyatakan, semuanya bermula apabila dia menjalani uji bakat untuk filem Mama Cupcake pada tahun lalu.
"Ketika itu saya bersama tiga orang rakan lain datang ke uji bakat, tetapi niat saya sekadar untuk menemani rakan-rakan. Bagaimanapun, apabila sampai ke tempat uji bakat, mereka mengajak saya untuk turut serta.
"Akhirnya, dalam uji bakat berkenaan hanya saya seorang yang terpilih. Walaupun saya sekadar membawakan watak sampingan dalam filem berkenaan, namun itu merupakan langkah awal saya terjun ke dalam bidang ini," ujarnya.
Selepas beberapa bulan menjalani penggambaran filem berkenaan, Risteena kemudiannya mendapat tawaran untuk berlakon drama bersiri berjudul Sahara yang disiarkan di Astro Prima.
Sejak itu, dia membuat keputusan untuk serius dalam lakonan.
"Kalau diikutkan, saya lebih berminat dalam bidang pengacaraan tetapi dunia lakonan lebih memihak kepada diri saya sekarang.
"Dengan pelbagai tawaran berlakon yang diterima, rasa rugi pula kalau peluang yang diperoleh ini saya tolak," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1224&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2oKv0iHPO
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment