Loading...
Sunday, December 29, 2013

Akim Stacy kahwin?

Jalinan hubungan rapat selama lima tahun bukanlah jangka masa yang singkat. Begitu juga dengan hubungan ‘teman tapi mesra’ yang berputik di antara dua orang bintang Akademi Fantasia, Stacy dan Akim Ahmad.
Walaupun tidak secara terbuka membicarakan keintiman hubungan mereka, namun keserasian Stacy dan Akim cukup terserlah. Apatah lagi, pasangan artis remaja popular itu juga pernah beberapa kali merakam­kan lagu duet bersama.
Stacy yang ditanya me­ngenai perkembangan hubu­ngannya dengan Akim berkata buat masa ini, mereka masih lagi rapat seperti dulu. Bahkan, perjalanan hubu­ngan mereka juga lancar. 

“Kami masih rapat lagi, cuma masing-masing sibuk dengan komitmen pada karier. Apapun, sehingga kini saya selesa dengan hubungan kami. Namun, sejauh mana hubungan ini dan soal jodoh biarlah Tuhan tentukan.

“Saya juga sebenarnya tidak mahu terlalu terbuka berbicara mengenai hubungan kami kerana enggan mengguris hati sesiapa. Apatah lagi, apabila ia turut membabitkan perbezaan agama di antara kami.

“Bagaimanapun, jujur saya katakan daripada lubuk hati ini sangat kagum dengan agama Islam. Ditambah lagi, peminat saya pun ramai dalam kalangan masyarakat Melayu dan beragama Islam,” katanya. 

Menurut Stacy lagi, buat masa ini pun dia belum terfikir mahu bertukar agama daripada Kristian yang di­anuti sekarang kepada Islam. 

Enggan membicarakan lebih lanjut mengenai isu membabitkan agama, Stacy memohon maaf dan katanya berilah ruang untuk kerjaya nyanyiannya di ketengahkan juga. 

Ditemui pada maj­lis persembahan istimewa dan pelancaran album kedua kumpulan K-pop dari Indonesia, Sm*sh di Malaysia pada Jumaat lalu, Stacy berkata dia sangat berbesar hati dengan peluang diberikan kepadanya. 

Ujar penyanyi berusia 23 tahun itu, bekerjasama dengan Sm*sh mendendangkan lagu duet pertama mereka, Hello pada mulanya memang membuatkan dia bimbang. 

“Saya risau kerana terfikir mengenai keserasian kami. Apatah lagi, lagu Hello dirakamkan secara ber­asingan dan saya pula belum pernah bertemu dengan mereka. Saya sangat bimbang kami tiada keserasian. 

“Pun begitu, sangkaan saya meleset apabila ke­sempatan bertemu Sm*sh ketika mahu merakamkan klip video lagu Hello itu berlangsung dengan lancar dan kami gembira bersama. Nampaknya, sikap ‘gila-gila’ kami ada persamaannya. 

“Bahkan, pada saya ang­gota Sm*sh semuanya amat merendah diri. Walau pun mereka sangat popular di Indonesia, namun tiada seorang pun yang sombong. Jadi, barangkali disebabkan itu kami mudah serasi walau pun belum kenal rapat,” katanya. 

Stacy juga berkata, lagu Hello ciptaan komposer Audi Mok itu akan dimuatkan juga dalam album ketiganya yang dijangka berada di pasaran sekitar Februari atau Mac 2014 nanti. 


Tak boleh berjauhan dengan Bella 

Pernah popular dengan lagu seperti Kasanova, Bosan dan Pelangi Senja, Stacy yang kini memiliki seorang anak ang­kat perempuan, Bella Valentina berusia satu tahun 10 bulan berkata, dia sangat bahagia menjadi seorang ibu. 

Kata Stacy lagi, sambutan Krismas diraikan baru-baru ini juga sangat meriah dengan adanya Bella di sisi walaupun persiapan dibuat secara sederhana. Ujarnya, Bella amat bermakna dan sangat disayangi. 

“Melihat Bella semakin membesar sekarang, saya sangat gembira. Malah, hubungan kami juga sangat rapat kerana sejak bayi hingga kini, kami selalu tidur bersama. Bahkan, tidak pernah sekali pun saya meninggalkan Bella. 

“Termasuk juga, jika saya ada persembahan. Bella dengan ditemani ibu saya akan mengikut bersama ke majlis persembahan itu. Memang jujur dikatakan, saya tidak boleh berenggang atau berjauhan langsung dengan Bella,” katanya. 

Bercerita lanjut me­ngenai anak kecilnya itu, Stacy berkata melihatkan Bella semakin membesar kini dia sedar perlu memberikan perhatian sepenuhnya dan kasih sayang. 

Apapun, katanya, Bella adalah seorang kanak-kanak yang ceria, bijak dan mudah mesra dengan orang. Justeru, Stacy mengakui Bella adalah insan penting dalam hatinya dan penghibur pada setiap masa. 

Menyentuh mengenai hubungan Bella dan Akim, penyanyi lagu Aku Stacy ini berkata sikap anaknya yang mudah mesra dan didekati itu membuatkan Bella juga rapat dengan Akim. 

Menurut Stacy lagi, bukan dengan Akim saja tetapi dengan semua orang Bella ceria dan manja. Jadi, disebabkan itu Bella sangat disaya­ngi serta disenangi sesiapa saja yang beramah mesra dengannya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP