Bakal berangkat pada Januari depan, Neelofa terpaksa akur apabila perlu membiasakan diri tinggal berseorangan dan berjauhan daripada keluarga.
Heroin filem Azura 2012 ini juga mengakui disebabkan akan berseorangan di kota raya yang moden itu, dia sepakat dengan keluarganya membeli sebuah kamera litar tertutup (CCTV) yang mampu dipancarkan terus ke telefon bimbit bagi mengawasi keadaannya.
“Walaupun saya pernah tinggal di asrama tapi saya tak pernah tinggal sendirian di rumah, selalunya saya akan ditemani adik dan kakak saya. Saya takut kalau tinggal seorang diri, tapi saya kenalah biasakan juga. Sebenarnya saya seorang yang takutkan hantu!.
“Jadi dengan adanya kamera itu nanti, ia berfungsi sebagai CCTV dan boleh disambung pada telefon bimbit. Senang nanti sekiranya saya tidur, keluarga saya boleh memantau saya menerusi telefon mereka.
“Manalah tahu, kalau ada apa-apa berlaku masa saya sedang tidur,” katanya yang tidak berani sekiranya bersendirian di rumah sepanjang tinggal di sana nanti. Neelofa yang ditemui pada sidang media Anugerah MeLetop ERA, bagaimanapun berkata, dia harus mengetepikan perasan takut itu dan memastikan ia tidak akan menjadi halangan untuknya menimba ilmu di negara orang.
“Saya sangat teruja dan tak sabar mulakan kelas di sana. Walaupun bersendirian namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk ke sana.
"Saya ada bertanya serba sedikit kepada Diana Danielle tentang keadaan di sana kerana dia juga pernah belajar di sekolah itu. Dia ada beri sedikit gambaran bagaimana suasana keadaan dan pembelajaran di sana begitu juga dengan pihak sekolah.
“Saya harap bila balik nanti dapat bawa balik ilmu sekali gus mempertingkatkan mutu lakonan saya,” katanya.
Hos Anugerah MeLetop
Pengacara program MeLetop ini juga sangat gembira apabila diberikan tanggungjawab penuh untuk mengacarakan malam Anugerah MeLetop ERA di karpet merah bersama Nabil Ahmad dan Datuk AC Mizal.
Neelofa yang sangat gembira dengan kepercayaan yang diberikan pihak Astro padanya berharap, anugerah itu akan berlangsung dengan lancar.
“Memandang saya merupakan pengacara program Meletop, ia memberikan saya kelebihan kerana cara penyampaian saya pada malam itu tidak jauh beza dengan apa yang saya lakukan sewaktu mengendalikan program MeLetop, setiap minggu," katanya.
Dalam pada itu, Neelofa juga berkata, dia sudah bersedia sekiranya bakal menerima kritikan daripada semua pihak mengenai penyampaiannya pada malam itu nanti.
“Bagi saya, biasalah sekiranya ada kritikan. Ia diibaratkan seperti kita buat sepuluh benda baik dan satu nampak buruk, orang akan bercerita mengenai keburukan itu.
“Memang sukar untuk puaskan hati orang. Jadi saya akan terima sahaja segala kritikan yang yang bakal diperkatakan dan berusaha memperbaikinya,” katanya.
Neelofa turut tercalon dalam senarai awal kategori Fesyen MeLetop, pada anugerah yang akan berlangsung, pada 8 Februari 2014 itu.
0 comments:
Post a Comment