Loading...
Monday, December 23, 2013

Artis Kaki Syabu

Sayang seribu kali sayang. Ada pendatang baru dan ada antaranya sedang mencipta nama terjebak dengan dadah. Hal ini cukup membimbangkan banyak pihak, khususnya penerbit kerana golongan muda ini hilang fokus hingga banyak melakukan kesilapan ketika penggambaran.

Sudahlah datang ke lokasi macam orang tak mandi, perangai pun macam mak lampir. Lain disuruh lain dibuat. Kalau ditegur lebih-lebih tahu pula marah walhal dia yang tidak bersedia. Ada juga yang bersemangat lain macam. Maaf cakap macam beruk kena belacan, terkinja sana-sini sampai orang sekeliling naik meluat. Bukan mereka tak tahu, artis ini terlebih tenaga kerana ‘barang’ yang diambil. Senario itu sudah biasa di mata mereka tetapi bagi penerbit sudah tentu risau kerana untuk hasilkan sebuah drama atau telefilem bajet bukan kecil. Mereka kena siapkan pada waktu yang dijanjikan kalau tidak ‘masak’ nak menjawab dengan stesen televisyen. Kerana hanyut dengan dadah, kebanyakan ada masalah disiplin terutama gagal hadir ke lokasi tepat pada masa dan ada juga langsung tak datang. Tak pasal-pasal produksi tergendala kerana individu itu pegang watak utama. Terbaru, pelakon yang namanya dikenali menerusi sebuah drama rantaian popular dan pernah dikaitkan dengan kontroversi mula jadi buah mulut dalam kalangan penerbit dan kru. Ramai yang takut ambil dia berlakon walaupun tahu dia berbakat kerana tidak mahu berdepan dengan masalah yang menyusahkan mereka kelak. Daripada rugi mereka sanggup cari pelakon lain. Biarlah penggantinya tak berapa popular asalkan kerja lancar dan orangnya tak bawa masalah kepada produksi. Rupa-rupanya bukan dia seorang, beberapa rakan artis yang rapat dengannya dan pernah berlakon sama pun ambil ‘barang’ sama. Tak hairanlah mengapa mereka sehati sejiwa dan sama-sama besar kepala. Sha dapat tahu ada seorang pengarah filem terkenal menggugurkan nama seorang pelakon muda selepas ada penerbit mengadu artis yang disenaraikan sebagai antara pelakon utama itu kaki syabu. Terbantut terus niatnya mengembangkan kebolehan pelakon itu. Kepada mereka yang makan cili terasa pedas itu bawa-bawalah muhasabah diri. Sayang dik, nama sedang meningkat. Jangan sia-siakan kepercayaan yang diberi pelbagai pihak selama ini, bimbang nanti anda sendiri gigit jari.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP