Loading...
Monday, December 30, 2013

Kekasih Siti Saleha Jenis Tak Kesah

Biasanya bila sudah dilamun cinta, pasti pasangan kita akan mengambil berat tentang pasangannya dan sering sahaja bertanya apa yang akan dilakukan setiap hari.
Berbeza pula ceritanya dengan teman lelaki kepada pelakon, Siti Saleha yang lebih memberi kebebasan kepada kekasihnya untuk melakukan apa sahaja.
Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, biarpun kekasihnya itu jarang mengambil tahu tentang aktiviti sehariannya, itu tidak bermakna hubungan mereka dingin.
"Kalau saya balik lewat sekalipun dia jarang hendak bertanya mengapa kerana dia memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon dan saya sendiri senang dengan sikapnya itu.

"Lagipun dia bersikap terbuka dan tidak menghalang kerjaya seni saya. Alhamdulillah, sehingga kini, hubungan kami berada dalam keadaan baik," katanya yang ditemui di majlis pelancaran drama bersiri Aku Ada Wali di Pusat Pelancongan Korea, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Siti Saleha sebelum ini mengaku yang dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki Eropah sejak empat bulan yang lalu.
Ketika ditanya mengenai langkah seterusnya dalam hubungan cinta mereka, jelas Siti Saleha, dia mengakui masih belum terfikir untuk melangkah ke alam perkahwinan.
"Kalau pasal kahwin, bagi saya ia masih terlalu awal. Usia saya pun baharu 23 tahun dan masih banyak yang saya perlu lakukan dalam kerjaya seni.
"Tambahan pula, kami pun masih di peringkat bercinta dan di tahap mengenali antara satu sama lain. Bagi saya, masih terlalu awal untuk saya bercakap soal perkahwinan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siti Saleha yang memegang watak sebagai Syumaila dalam drama bersiri Aku Ada Wali mengakui banyak belajar tentang Islam dalam drama itu.
"Membawakan watak ini, saya perlu banyak menghafal terjemahan al-Quran dan fakta-fakta tentang Islam termasuk sunnah Rasulullah menerusi dialog saya.
"Perkara begini saya perlu hafal kerana ia adalah fakta dan tidak boleh ditambah-tambah dengan ayat sendiri.
"Tetapi itu adalah sesuatu yang bagus kerana saya sendiri dapat menambah lebih banyak pengetahuan saya tentang agama Islam," jelasnya.
Aku Ada Wali bakal ditayangkan setiap Selasa pada pukul 10 malam di saluran 114 (TV Al Hijrah) mulai 14 Januari tahun hadapan. Drama bersiri ini membariskan pelakon seperti Zahiril Adzim, Aida Jebat, Zoey Rahman, Sabhi Sadhi, Puteri Chi Chi dan ramai lagi.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP