JEJAKA kacak ini rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebut sahaja nama Izzue Islam pasti ramai tergila-gilakan anggota kumpulan Forteen yang diberi julukan âjambuâ.
Sejak melibatkan diri dalam dunia lakonan, Izzue sering sahaja diberikan watak protagonis dan yang pasti figura dengan nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, sebenarnya mendambakan watak seorang lelaki psiko.
"Sehingga hari ini saya masih belum berpeluang membawakan watak-watak sedemikian dengan sepenuhnya di dalam drama.
"Pernah dapat watak seperti itu tetapi sekali sahaja dan saya masih tidak puas untuk melakonkan watak itu. Kalau boleh membawa watak macam itu, memang saya tidak menolak dan sampai sekarang masih menunggu," katanya ketika ditemui dalam satu majlis pelancaran produk baharu Aura White & Aura Men yang diadakan di Hotel Aloft, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pelancaran produk tersebut, Izzue telah dilantik menjadi duta Aura Men yang dianggapnya sebagai tawaran pertama buat dirinya sebagai duta produk.
"Saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran ini kerana ia adalah yang pertama untuk saya. Saya amat bersyukur kerana diberi kontrak setahun untuk mewakili Aura Men ini.
"Lagipun saya memang pengguna produk Aura White bersama isteri sebelum ini. Bila sudah lama pakai dan pemilik Aura White tahu, dia melamar saya untuk menjadi duta produk baharu, Aura Men ini. Saya pun tidak kisah dan terus menerima pelawaan yang datang buat saya," ujarnya.
Masih bersama Forteen
Kami tidak akan berpisah! Itu jawapan Izzue ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu kumpulan Forteen yang dianggotainya. Walaupun berkumpulan, namun populariti Izzue diketahui melebihi ahli kumpulan Forteen yang lain.
Pernah juga wujud isu berbangkit mengenai Forteen ingin menyingkirkan Izzue kerana tidak dapat memberi komitmen penuh terhadap kumpulan tersebut. Bagaimanapun, akui Izzue, dia sedaya upaya akan cuba menghadiri sebarang acara yang memerlukan dia bersama Forteen.
"Sebagai sebuah kumpulan kami memang memahami tugas masing-masing. Sebenarnya tidak ada isu, malah sekiranya saya tidak dapat membuat persembahan bersama-sama dengan kumpulan Forteen saya akan memberitahu pihak penganjur terlebih dahulu.
"Pihak pengurusan saya sendiri sedia maklum mengenai jadual saya yang terikat dengan lakonan dan juga nyanyian. Mereka tidak ada masalah mengenai itu dan hormati kerja saya.
"Kami tidak akan berpisah dan hubungan kami sudah macam adik-beradik. Lihat sahaja, kami akan bersama ke mana sahaja. Dalam pelantikan saya sebagai duta pun mereka datang menyokong," ujarnya.
Dalam pada itu, Izzue meluahkan rasa sedih jika terpaksa keluar daripada kumpulan Forteen dan berharap perkara itu tidak akan berlaku kerana dia percaya akan terus bersama dengan kumpulan tersebut.
"Saya akan terus kekal dengan Forteen dan perkara disingkirkan itu tidak akan sesekali berlaku kerana saya begitu menyayangi kumpulan yang telah berjaya menaikkan nama saya di persada seni hiburan tempatan.
"Insya-Allah kami akan mengeluarkan album dalam masa terdekat ini. Pembikinan lagu dan rakaman sudah siap, kini hanya tinggal proses yang kecil-kecil sahaja sebelum album ini dipasarkan," katanya.
Menanti anak
Memandangkan sudah enam bulan Izzue mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, Awin Nurin, pastinya ramai yang akan bertanya tentang anak terhadap Izzue.
"Kami masih menantikan berita gembira, lebih rezeki daripada-Nya. Tolong doa-doakanlah ye. Sekarang masih belum ada tanda-tanda yang menunjukkan isteri saya sedang hamil.
"Tetapi memiliki seorang anak memang impian setiap lelaki yang bergelar suami," kata Izzue yang sudah berangkat ke Hong Kong untuk percutian bersama peminat.
0 comments:
Post a Comment