Loading...
Tuesday, December 17, 2013

Julia Ziegler nak kawin gak tahun depan

“Melihat teman-teman artis lain menukar status daripada bujang menjadi isteri dan suami orang hati saya juga teringin untuk mendirikan sebuah keluarga" itulah kata-kata pelakon berwajah Pan Asia ini, Julia Ziegler yang berhasrat mendirikan rumah tangga tahun depan.

Julia berkata mungkin tiba waktunya untuk dia mendirikan rumah tangga, namun dia harus menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.

“Kalau jodoh saya sampai awal jadi awal la saya berkahwin. Siapa yang tidak teringin hendak berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Sebelum ni saya merancang untuk berkahwin tahun ni tapi nampaknya rancangan saya bakal di bawa ke tahun depan. Sebab kita merancang tapi ALLAH yang menentukan.

“Umur saya semakin tahun semakin meningkat jadi tiba masanya saya memikirkan untuk mendirikan rumah tangga dan menguruskan rumah tangga,” katanya.

Mengakui sudah mempunyai calon pilihan, Julia bagaimanapun enggan mendedahkan identiti lelaki tersebut. Pernah dikatakan bercinta dengan seorang usahawan yang juga merupakan kenalan sejak lapan tahun lalu, Julia berkata, dia sangat
mengharapkan sesuatu yang indah dalam hubungannya bersama si dia yang sedang bertakhta di hatinya.


The Red Warrior The Movie
Beralih mengenai karier seninya, akui Julia, meskipun tidak serancak dulu, namun dia masih menerima tawaran lakonan.

Terbaru, pelakon Jangan Tegur ini bakal membintangi filem The Red Warrior The Movie, terbitan U2 Media.

"Apa yang saya nampak, filem ini sangat menarik dan saya percaya pengaruh TRW itu sendiri akan membuatkan filem ini mendapat sambutan nanti.
“Setakat ini, saya belum dapat skrip untuk watak yang bakal saya lakonkan kerana masih di peringkat awal, jadi apa-apa pun saya buat yang terbaik untuk filem ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem itu di Hotel Hilton petaling Jaya, semalam.

Filem yang mengisahkan perjuangan  dan jatuh bangun pasukan TRW dalam mengharungi kancah bola sepak di Malaysia ini turut  dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti  Fizo omar, Kamal Adli, Intan Ladyana, Along Raja Lawak, Angah Raja lawak, Amir (I’m sorry), Sabri Yunus, Datuk Ahmad Tamimi Saregar dan juga barisan pemain The Red Warrior.

Ketika ditanya sejauh mana penglibatannya dalam industri seni ini, Julia berkata, dia juga akan terus berkecimpung dalam bidang lakonan selagi mana khidmatnya masih diperlukan.

“Selagi saya masih diperlukan dalam bidang ini, saya akan terus berjuang. Memang saya sangat minat dalam bidang ini jadi saya tidak kisah kalau kena kerja lebih sikit dan pulang ke rumah lewat malam.

"Apa pun saya sangat berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong saya dan ini merupakan tonik kepada saya untuk terus kekal dalam bidang seni,” katanya.


Tegur artis baharu

Dalam pada itu, Julia turut mengulas mengenai kebanjiran muka-muka baharu dalam industri tanah air. Menyifatkan ia sebagai petanda yang positif, Julia bagaimanapun tidak menganggap ia sebagai ancaman untuknya terus bertahan dalam dunia seni.

“Sebenarnya dalam bidang seni ini tidak perlu ada ada rasa terancam kerana makin lama umur makin meningkat dan sampai bila pelakon-pelakon yang dah lama dalam bidang ni mampu untuk bertahan.

“Lama-kelamaan mereka ini bakal menyambung kesinambungan dalam bidang hiburan. Sebagai contoh permintaan untuk lakonan filem dan drama sangat tinggi jadi pelakon-pelakon baharu mampu menampung permintaan ini,” katanya.

Julia turut mengingatkan agar segelintir pelakon-pelakon baharu menjaga disiplin mereka dan nama baik industri ini supaya tidak dipandang serong.

“Ada sesetengah pelakon baharu ini saya lihat langsung tidak menjaga disiplin sehingga sesetengah pihak mencemuh keseluruhan artis.

“Jadi saya berharap sesetengah dari mereka peka dan sensitif dengan perbuatan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang orang di luar sana,” ujarnya

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP