Meskipun pernah terpalit dengan beberapa siri kontroversi hebat dan dua perceraian, penyanyi terkenal Britney Spears terus mencipta nama dalam industri muzik menerusi kemunculan album kelapan berjudul Britney Jean.
Dilancarkan baru-baru ini, Spears menyifatkan Britney Jean sebagai album peribadinya berikutan terbabit sebagai penulis lirik selain menggunakan nama tengahnya sebagai tajuk karya itu.
Lagu terbaik album berkenaan berjudul Perfume, nukilan Sia Furler mengisahkan seorang wanita yang bimbang kekasihnya curang meninggalkan ‘tanda’ dengan menyembur minyak wangi pada lelaki itu.
Selain itu, Britney turut bekerjasama dengan adik perempuannya Jamie Lyn untuk menghasilkan lagu Chillin With You tentang perhubungan mereka sebagai adik beradik.
Selain itu, Britney turut bekerjasama dengan adik perempuannya Jamie Lyn untuk menghasilkan lagu Chillin With You tentang perhubungan mereka sebagai adik beradik.
Terkenal menerusi lagu Hit Me Baby One More Time 14 tahun lalu, ibu tunggal kepada dua anak itu kini sibuk dengan persembahan Britney: Piece of Me di Hotel Planet Hollywood Resort, Las Vegas.
Britney, 32, berkata, dia mahu melangkah lebih jauh serta mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam kerjaya sebagai penyanyi berbanding dengan apa dihasilkan dalam album sebelum ini.
“Terlalu banyak yang saya lalui sepanjang kerjaya ini yang menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk menulis lirik yang boleh dikaitkan dengan semua pihak.
“Saya melalui perasaan cinta dengan setiap kekasih yang pernah bersama, Kini saya sedang melalui percintaan yang menakjubkan,” katanya.
Kini bercinta dengan David Lucado, penyanyi itu memberitahu dia ingin berkongsi kehidupannya sebagai penyanyi, ibu, dan seorang rakan dengan peminatnya.
Album Britney Jean turut mendapat perhatian penyanyi terkenal Lady Gaga yang meluahkan hasrat ingin bekerjasama dengan Britney.
Cadangan itu timbul dalam satu sesi perbualan peminat sebelum Gaga menyampaikan hasratnya itu kepada Britney menerusi laman sosial Twitter.
“Saya akan berduet dengan Britney dan merasakan kerjasama ini akan menjadi seronok. Saya berpendapat dia seorang yang berbeza dan menarik,” kata Gaga.
Mahu anak lelaki
Meskipun sudah mempunyai dua anak lelaki dengan bekas suami Kevin Federline, Britney baru-baru ini mendedahkan ingin menimang anak perempuan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya mahu kehidupan seharian sibuk untuk beberapa tahun sebelum merancang untuk melahirkan anak lagi.
“Mempunyai anak perempuan boleh menghilangkan kesunyian hidup dan dia mungkin membesar menjadi seperti saya,” katanya.
Menurutnya, dia sering berasa disisihkan kerana tidak mempunyai ramai rakan yang berumahtangga untuk berkongsi masalah.
“Banyak perkara yang saya melalui sebagai ibu dan kadang-kadang memikirkan jika situasi dilalui adalah normal. Secara jujurnya saya ingin mempunyai ramai rakan yang ada anak,” katanya.
Silap besar sertai Britney & Kevin : Chaotic
Britney turut mengakui pembabitannya dalam program realiti Britney & Kevin: Chaotic adalah satu kesilapan besar.
“Program mengenai kisah percintaan bersama bekas suami Ferdeline itu adalah perkara paling teruk berlaku sepanjang kerjaya saya dan tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Program bersiri lima episod itu turut memaparkan rakaman video sendiri pasangan berkenaan yang mendapat kritikan hebat sehingga kehilangan sebanyak 1.6 juta penonton.
Sebelum ini, Britney pernah menggemparkan dunia hiburan dengan mencetuskan beberapa kontroversi bermula dengan perkahwinannya dengan rakan zaman kanak-kanak, Jason Alexander di Las Vegas pada Januari 2004.
Malangnya, perkahwinan mereka cuma bertahan selama 55 jam sebelum pasangan itu bercerai selepas Britney dikatakan memfailkan pembatalan.
Pada September tahun sama, Britney berkahwin dengan Federline dan melahirkan anak sulung Sean Preston pada September 2005 diikuti dengan anak kedua, Jayden James September 2006.
Namun perkahwinan itu tidak bahagia dan mereka sah bercerai pada Julai 2007.
Britney mencetus kontroversi apabila bertindak membotakkan kepalanya berikutan bimbang sekiranya mahkamah mengarahkan rambutnya diperlukan menjalani ujian dadah seterusnya berpotensi kehilangan hak penjagaan anaknya.
Bagaimanapun, kontroversi penyanyi itu tidak berhenti di situ dan diikuti dengan beberapa siri kekecohan selepas menjadi kawan baik kaki sosial popular, Paris Hilton.
0 comments:
Post a Comment