CUACA mendung pada pagi Isnin lalu tidak menjadi penghalang buat pelakon genit yang popular menerusi drama komedi bersiri Puteri, Nora Danish, untuk bercerita mengenai kisah peribadinya.
Walaupun dicuit dengan soalan-soalan panas, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda kurang senang. Malah, dibalasnya setiap soalan dengan tenang dan diiringi dengan senyuman.
"Saya sudah boleh agak bakal ditanya tentang hubungan yang terjalin antara saya dan Nadeem," ujar Nora dengan nada berseloroh ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta suplemen kecantikan Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor di Flora Terrace, Kuala Lumpur.
Pentingkan restu keluarga
Mengulas mengenai perkara tersebut Nora berkata, dia enggan menghebahkan kepada umum mengenai hubungan cintanya jika dia dan pasangan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
"Bagi saya, biarlah kami mengenali antara satu dengan lain terlebih dahulu. Jika saya mengumumkan kisah cinta dengannya terlalu awal, takut hubungan tersebut terputus di tengah jalan. Akhirnya, kedua-dua belah pihak akan menanggung malu.
"Lagipun, kami belum terfikir untuk meneruskan hubungan ke peringkat yang lebih istimewa. Jika saya dan Nadeem dijodohkan untuk berkahwin, baru saya akan membuat pengumuman," ujarnya.
Ketika ditebak mengenai dakwaan liar yang mengatakan bapa Nadeem tidak menyukai aktres berbintang Pisces itu, Nora menegaskan, dia sanggup untuk memutuskan hubungan cintanya jika dia tidak mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.
"Sudah menjadi keutamaan bagi saya untuk mendahulukan pendapat yang datang daripada ahli keluarga. Jika saya tidak mendapat restu daripada bapanya, tidak mustahil untuk saya memutuskan hubungan ini.
"Tetapi, selama berkawan dengan Nadeem, dia tidak pernah memberitahu saya apa-apa mengenai perkara itu. Saya juga pernah berjumpa dengan ibu dan bapanya. Mereka sungguh merendah diri dan begitu baik terhadap saya," ujarnya lagi.
Bukan cari VIP
Hubungan Nora dengan bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai pernah hangat diperkatakan seuatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, perkahwinannya dengan anak bekas Menteri Besar Perak itu akhirnya terputus di tengah jalan setelah Nora melahirkan Rayqal.
Sekali lagi, wanita berusia 31 tahun ini dikaitkan dengan anak lelaki orang kenamaan (VIP) sehingga menimbulkan cerita kurang enak yang mengatakan Nora hanya memilih individu berharta untuk dijadikan teman hidup.
Menafikan dakwaan tersebut, Nora berkata, tidak pernah terlintas di benak fikirannya untuk memilih pasangan dalam kalangan orang berada. Malah, sebelum mengahwini Jejai, dia pernah keluar dengan lelaki-lelaki biasa tanpa memikirkan status dan wang ringgit.
"Sejujurnya, saya bukan wanita materialistik yang gemar mengejar lelaki berharta. Sebelum mengahwini Jejai dan mengenali Nadeem, saya pernah keluar dengan lelaki biasa. Mungkin spekulasi itu timbul secara kebetulan," katanya.
Apabila ditanya lebih lanjut mengenai Nadeem, Nora memberitahu, walaupun nampak sombong dan sering dilabel angkuh, lelaki itu sangat baik terhadapnya dan langsung tidak menyamai sifat-sifat luarannya.
"Dia nampak snobbish (angkuh), tetapi dia merupakan lelaki paling baik yang pernah saya kenal. Mungkin disebabkan kontra peribadi dan penampilannya itu yang membuatkan saya ingin mengenalinya dengan lebih dekat," ujar Nora yang suka melihat keakraban Rayqal dengan Nadeem setiap mereka berjumpa.
Isu MLM 2013
Bercakap tentang pemilihannya sebagai salah seorang juri program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang pernah menjadi isu ekoran statusnya sebagai pelakon yang tidak punya pengalaman dalam bidang komedi, Nora mempunyai pendapat tersendiri.
Lebih mengeruhkan keadaan, pada minggu lalu, Nora dan juri-juri yang lain menerima tempias lawak sarkastik yang menyindir keempat-empat juri oleh peserta program tersebut.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Nora berkata, barisan penjurian MLM 2013 pada kali ini memang dipilih bukan dalam kalangan pelawak-pelawak ternama. Mereka dipilih kerana ingin memberikan kritikan ikhlas sebagai penonton biasa yang sama-sama menonton pertandingan tersebut.
"Pihak Astro memilih kami untuk mengkritik dan menjurikan pertandingan itu berdasarkan apa yang dilihat daripada kaca mata penonton. Kami akan memberikan markah berdasarkan apa yang dipersembahkan. Jika persembahan mereka bagus, kami memberikan markah yang tinggi. Jika apa yang ditampilkan kurang menarik dan hambar, maka markah yang diberikan haruslah setimpal.
"Saya berharap agar para peserta faham dengan konsep tersebut. Pada pendapat saya, jika kerusi penjurian itu diisi oleh pelawak-pelawak senior atau mereka yang lebih arif mengenai dunia komedi, pasti komen yang diberikan lebih teruk dan pedas," katanya.
Bantu mangsa banjir
Sementara itu baru-baru ini, beberapa negeri di Malaysia teruk dilanda banjir. Musibah itu memusnahkan beberapa kawasan di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor.
Terpanggil untuk memberikan bantuan, Nora melalui kumpulan Demorian tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.
"Saya dan ahli-ahli Demorian begitu sedih melihat mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir. Sebagai seorang ibu, saya begitu prihatin dengan anak-anak kecil yang terlibat dengan musibah itu.
"Justeru, sebagai inisiatif, saya mengumpulkan barang-barang keperluan asas dan sama-sama menghantarkannya ke Temerloh, Pahang untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir," ujarnya yang bergegas ke negeri itu usai tamat latihan pementasan teater Bahaya Wanita sehari sebelum temu bual ini dijalankan.
0 comments:
Post a Comment