ARTIS MELETOP
Anak didik Ebby Yus bikin 'pecah perut'
MEMPERTARUHKAN idea ‘Masalah Rumah Flat’, Sumbu berjaya memikat hati juri dengan dialog yang bersahaja dan bahasa tubuh yang berkesan.
Watak orang tua yang digalas Kamal nyata mampu menggeletek penonton. Begitu juga dengan pasangan duonya, Ariff, yang mampu mengikut rentak sehingga keserasian mereka menjadikan sketsa tersebut benar-benar terkesan di hati penonton dan juri.
Maka, tidak hairanlah anak didik Ebby Yus ini dinobatkan juara minggu pertama bagi Kumpulan B dengan markah tertinggi iaitu 71.6 peratus.
Berjaya memikat hati juri dengan sketsa kisah masyarakat nyata beri kelebihan buat dua anak muda yang menggelari mereka sebagai kumpulan Sumbu.
Dianggotai Mohd Kamal Shah Saharuddin, 25, dan Mohammad Ariff Fardillah Mohd Rosni, 25, Sumbu bagaimanapun mengakui agak tertekan selepas dipilih sebagai juara minggu ini.
Menurut Mohd Kamal, walaupun markah persembahan mereka tertinggi tetapi kerisauan untuk berhadapan dengan juri setiap minggu membebankan mereka.
“Tidak dinafikan, tekanan lebih tinggi untuk saya dan Ariff pada minggu hadapan kerana penyokong Sumbu pastinya mahu kami lakukan yang terbaik.
“Biarpun markah yang diberi agak tinggi namun kami tidak berpuas hati dan mahu berikan yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya.
Jelas Kamal, persembahan mereka malam itu belum mencapai 100 peratus kerana masih ada lagi kelemahan yang belum diatasi.
Katanya, sehari sebelum persembahan genting itu, mereka mengalami masalah kerana tidak dapat fokus dengan topik yang ingin diangkat.
“Namun kami bernasib baik kerana sifu banyak beri semangat dan bantu perbaiki mutu lakonan kami.
“InsyaALLAH, selepas ini kami akan menghadiri kelas lakonan bagi mengasah lagi kemahiran-kemahiran yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Ebby Yus berkata, dia tidak menyangka Sumbu berjaya mengalahkan lima peserta malam itu kerana kebanyakan peserta lain sangat bagus dan kreatif.
Dia berkata, mulanya agak risau dengan prestasi anak didiknya itu kerana agak ‘lost’ dalam persembahan mereka ketika latihan.
“Saya hanya membantu untuk memantapkan lagi idea sahaja, selebihnya bergantung pada usaha mereka sendiri.
“Berpegang kepada prinsip, saya lebih suka mereka tidak terlalu bergantung dengan sifu dan mahu Sumbu berdikari,” katanya.
Ujar Ebby, sekiranya Sumbu ada masalah dengan konsep persembahan, barulah dia akan membantu untuk mengeluarkan idea.
Sementara itu, juri tetap Ogy Ahmad Daud memuji beberapa peserta seperti Sumbu dan MMMMM yang menggunakan keserasian sebagai satu kumpulan dengan baik, manakala GBOB pula sangat kreatif dari segi persembahan.
Pengarah tersohor, Ahmad Idham pula menyifatkan Sumbu sebagai genius dan menghiburkan penonton.
Dari segi susunan muzik pula, Waris selaku juri menegur GBOB supaya lebihkan latihan nyanyian agar tidak cepat pancit.
Selepas konsert pengenalan Bintang Mencari Bintang musim kedua (BMB2) minggu lalu, 23 bintang yang berentap secara solo atau berkumpulan mempamerkan kehebatan mereka menerusi sketsa dan nyanyian.
Dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B, persembahan mereka bersiaran secara bergilir-gilir pada Jumaat dan Ahad jam 9.00 malam di Studio Sri Pentas 2, Shah Alam.
BMB2 menampilkan enam sifu yang bukan calang-calang orang dalam industri hiburan seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail, Adlin Aman Ramli, Ebby Yus dan Saiful Apek.
Kedua kumpulan, A dan B akan berentap selama empat minggu tanpa penyingkiran dan peserta yang memperolehi markah terendah akan disingkirkan pada minggu kelima.
Hanya lima kumpulan layak ke peringkat akhir BMB2 untuk merangkul gelaran juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi.
Persembahan malam Ahad lalu menyaksikan Kumpulan B, Sumbu begitu cemerlang dengan sketsa yang penuh bertenaga dan menghiburkan juri dan penonton.
Markah peserta diikuti dengan GBOB (66), MMMMM (63.6), 2AZ (60.9), Kepoh (52.3) dan EHAH (49.8).
‘Mat Peluh’ jadi perhatian
Satu-satunya peserta solo malam itu, GBOB atau nama sebenarnya, Mohd Hamizi Hashim Ghani, 28, antara peserta yang agak menonjol.
Biarpun mengemudikan pentas persembahan keseorangan, tidak menghalang anak kelahiran Kuala Lumpur ini cemerlang dalam sketsa dan nyanyian.
Malah dia turut dipuji ketiga-tiga juri iaitu Ogy Ahmad Daud, Ahmad Idham dan Waris kerana persembahannya penuh dengan warna warni dan bijak menggunakan visual laut dengan baik.
Menurut GBOB, dia agak risau kerana berhadapan dengan peserta-peserta berkumpulan berbanding dirinya amat kecil dan tekanan lebih besar.
“Terasa diri saya lebih kecil berbanding rakan yang lain kerana segala-galanya bergantung pada saya.
“Tanpa bantuan orang lain, saya perlu lebih usaha, latihan dan doa untuk setiap persembahan.
“Namun saya berpegang kepada prinsip ‘Kun Fayakun’ supaya dapat lakukan yang terbaik,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika melakukan persembahan GBOB antara peserta yang mencuri perhatian bukan sahaja gelagatnya yang bersahaja tetapi ‘peluh’ yang membasahi tubuhnya turut menjadi tumpuan.
Jelasnya, sejak dari konsert pengenalan ‘trademark’ Mat Peluh menjadi kelebihannya kerana dia akan berpeluh setiap masa.
“Peluh menjadi masalah utama saya kerana mengalami situasi ini sejak dari kecil. Namun kelemahan ini menjadi saya lebih dikenali di kalangan penonton dan juri.
“Ia merupakan perkara normal kerana saya sememangnya kuat berpeluh. Pernah merujuk kepada pakar kesihatan, kelenjar peluh saya lebih besar berbanding orang lain menjadi puncanya,” ujarnya yang pernah membintangi puluhan drama dan filem sebelum menyertai BMB2.
0 comments:
Post a Comment