Loading...
Thursday, April 17, 2014

Kes saman Hanez Suraya terhadap bekas PA selesai


ARTIS MELETOP

Kes saman Hanez Suraya terhadap bekas PA selesai


Hanez Suraya

Kes saman pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz terhadap bekas pembantu peribadinya berhubung kenyataan memfitnah menerusi laman sosial, hari ini diselesaikan secara baik.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng merekodkan penghakiman persetujuan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Harjit Singh yang mewakili pelakon itu, dan peguam K Rajasegaran mewakili Mohd Fairus Mohd Lazim selaku defendan.

Harjit ketika ditemui pemberita berkata kes itu akhirnya berjaya diselesaikan, namun beliau enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.




Hanez Suraya dan bekas pembantu peribadinya itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

Ketika ditanya mengenai perasaan Hanez Suraya berhubung penyelesaian kes itu, Harjit berkata: "Klien saya sungguh gembira".

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan Mohd Fairus bagi mengetepikan permohonan penghakiman ingkar yang diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Disember tahun lepas terhadapnya selepas beliau gagal memasukkan kehadirannya pada prosiding sebelum ini.

Pada November tahun lepas, Hanez Suraya, 29, yang popular dengan drama 'Love You Mr Arrogant' memfailkan saman itu terhadap Mohd Fairus, 29, dengan mendakwa bekas pembantu peribadinya itu telah memfitnah dan mengaibkannya menerusi laman sosial Instagram menerusi akaun 'DashaSultan' dan Twitter menerusi akaun 'Dasha_Sultan pada 30 September hingga 15 Oktober tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hanez Suraya mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau merupakan seorang pelakon yang sombong, kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, sering bermuka-muka dan tidak berfikiran matang.

Duta kepada produk kecantikan 'Aura White' itu menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah, injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyebarkan fitnah terhadapnya dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama



0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP