ARTIS MELETOP
Lia Natalia Susah Payah Berbaloi
Lia Natalia
"SUATU ketika dulu, saya pernah berasa hidup susah apabila beberapa kali ditipu.
"Bukan itu saja, saya juga tidak mendapat tawaran berlakon untuk tempoh tiga bulan berturut-turut," kata pelakon yang sedang meningkat naik, Lia Natalia sepanjang empat tahun keterlibatannya dalam dunia seni.
Meskipun begitu, bekas peserta Pilih Kasih musim kedua ini tidak pernah kenal erti putus asa untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang seni.
Setelah lebih empat tahun berhempas pulas dan bersusah payah, usaha bekas peserta Gadis M2 ini ternyata berbaloi apabila namanya kini semakin dikenali sekali gus menjadi rebutan ramai pengarah dan penerbit.
"Walaupun saya tidak bergelar juara dalam kedua-dua program berkenaan, namun banyak ilmu berharga yang saya dapat pelajari.
"Malah, selepas Gadis M2, saya semakin berani mengasah bakat lakonan sedia ada," katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.
Bersyukur dengan perhatian yang diterimanya itu, anak kelahiran Tawau, Sabah ini, tidak langsung terkilan apabila memerlukan masa yang panjang untuk namanya dikenali ramai.
"Saya ingin orang kenal saya menerusi bakat yang ada.
"Sebab itu, setiap watak diserahkan sama ada karakter utama atau pembantu, saya pasti akan cuba membawanya dengan sebaik mungkin, sekali gus dapat meninggalkan kesan mendalam pada penonton,” katanya.
Tambahnya lagi, demi minatnya itu, dia tidak kisah diberi apa saja watak sekali pun.
"Sebagai orang baharu, saya tidak kisah bawa apa saja watak termasuklah watak pembantu kerana ingin mencari pengalaman dalam bidang lakonan.
Berguru dengan Ellie Suriati
Bukan itu saja, pelakon utama drama bersiri Dan Bila Esok ini juga turut berterima kasih kepada pengarah berkaliber, Michael Ang di atas peluang dan ruang yang diberikan.
Antara drama lakonannya di bawah arahan pengarah berbakat adalah Pontianak Beraya Di Kampung Batu, Tanggang Ayu dan Dendam Sundel Bolong yang semuanya untuk saluran Astro.
"Saya sangat terhutang budi pada Michael yang banyak beri peluang berlakon dalam drama arahannya, sekali gus membimbing dalam bidang lakonan," katanya yang juga seorang model.
Dalam pada itu, bagi memantapkan lagi mutu lakonannya, pelakon filem Azura 2011 ini juga bercadang untuk berguru dan mengambil kelas lakonan dengan pelakon dan pengarah berbakat besar, Ellie Suriati.
Dalam perkembangan terbaharu, Lia kini baharu saja tamat penggambaran super telefilem iaitu Takhta di samping Erra Fazira dan Ellie Suriati.
Selain itu, wajah Lia juga dapat dilihat menerusi drama rantaian, Aku Isterinya (TV3), Jodoh 2 (Maya HD) dan Perempuan Dalam Pasungan yang kini sedang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang di Astro Prima (saluran 105) & Maya HD (saluran 135).
0 comments:
Post a Comment