Loading...
Thursday, April 17, 2014

Dedikasi segmen khas BBTT 2014 buat MH370


ARTIS MELETOP

Dedikasi segmen khas BBTT 2014 buat MH370


BLUES Buat Teman Tour 2014 (BBTT 2014) yang merupakan konsert jelajah milik Datuk Ramli Sarip akan melabuhkan tirainya pada 2 Mei depan di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru.

TANGGAL 28 Mac lalu, penyanyi Datuk Ramli Sarip mengambil keputusan menunda salah satu persembahan konsertnya yang dijadualkan berlangsung di Persada Johor, Johor Bahru.

Menerusi konsert jelajah Blues Buat Teman Tour 2014 (BBTT 2014), penyanyi berusia 62 tahun itu terpaksa menangguhkan persembahan tersebut bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 bulan lalu.

Justeru, bagi menunjukkan rasa terima kasih kepada peminat yang masih setia menyokongnya selama ini, Ramli mengambil keputusan untuk menjadikan konsert yang ditundanya itu sebagai persembahan penutup bagi siri konsert jelajahnya itu.

"Konsert yang sepatutnya berlangsung pada akhir bulan Mac lalu akan diadakan pada 2 Mei depan di lokasi yang sama.

"Justeru, para peminat yang telah membeli tiket bagi persembahan itu boleh hadir pada tarikh tersebut dan sama-sama menonton konsert terakhir bagi siri jelajah (BBTT 2014)," katanya ketika ditemui di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.




Selain menghiburkan peminat dengan suasana santai, wang dana yang dikumpulkan sepanjang penganjuran konsert bakal diagihkan kepada beberapa individu menerusi satu sidang akhbar selepas konsert itu berlangsung.

"Sepanjang menjelajah Malaysia, saya telah melelong pelbagai barangan peribadi kepada peminat, antaranya gitar akustik.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Dana yang terkumpul akan diserahkan kepada Yazit Search, Hamid Black Dog Bone dan keluarga Allahyarham Samd Mian bagi meringankan beban mereka.

"Selain itu dana tersebut turut dimasukkan ke dalam tabung Yayasan Bandaraya Johor Bahru," katanya lagi.

Sementara itu, Ramli juga turut mendedikasikan sebuah segmen khas untuk memperingati mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi MH370.

"Banyak lagu yang berunsur ketuhanan bakal dinyanyikan pada segmen tersebut, antaranya Kau Yang Satu, Bukan Kerna Nama dan Hilang Gelap Terbit Terang.

"Saya memilih lagu-lagu berkenaan kerana ia sedikit sebanyak dapat dikaitkan dengan tragedi tersebut.

"Sementelah, lagu-lagu itu menceritakan tentang kehidupan," kata Ramli yang menyifatkan jelajah ini sebagai yang bakal dirinduinya.

Konsert terakhir BBTT 2014 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru pada pukul 8.45 malam.

Para peminat boleh mendapatkan tiket secara online di www.ilassotickets.com atau hubungi Rasamusic di talian 03-7773 0677 atau 013-263 3938.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP