Loading...
Friday, April 18, 2014

Karl Shafek hargai pengalaman


ARTIS MELETOP

Karl Shafek hargai pengalaman



BULAT hati Karl Shafek memilih dunia penyiaran untuk mengembangkan kerjaya tidak pernah bertanda sia-sia. Bahkan, bekas kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS) ini langsung tidak menyesal dengan keputusannya meninggalkan kotak selesa itu kira-kira enam tahun lalu.

Apa tidaknya, dengan usaha yang ditonjolkan selama ini, tuan empunya nama, Khairul Shafek Ibrahim, 34, kini mampu tersenyum dengan pencapaiannya dalam bidang pengacaraan.

Walaupun berjaya mengutip banyak pengalaman berharga sepanjang mengemudi kariernya, tiada siapa sangka anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah dibayar gaji sebanyak RM 1,600 sebulan ketika mula-mula menjinakkan diri dengan dunia penyiaran.

"Saya mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya nekad meninggalkan pekerjaan tetap saya sebagai kru kabin untuk mengejar cita-cita dalam bidang penyiaran.

"Walaupun pada mulanya agak perih menjalani cara hidup yang jauh berbeza dan hanya berbekalkan gaji yang kecil tetapi kerana cinta saya terhadap bidang penyiaran, saya mampu meneruskan hidup sehingga hari ini," ujar Karl.




Hidup mewah

Disebabkan nekadnya itu, Karl tidak mengendahkan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan dia tidak lagi hidup secara mewah selepas kurang mendapat tawaran pengacaraan sejak akhir-akhir ini.

"Alhamdulillah, sejak mula memasuki industri (bidang pengacaraan) rezeki saya tidak pernah putus. Walaupun tawaran yang diterima tidak sebanyak dulu, sekurang-kurangnya, saya masih ditawarkan untuk mengacara atau mengendalikan acara setiap bulan.

"Saya bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, cuma apa yang saya peroleh sepanjang bergelar pengacara cukup untuk saya hidup secara sederhana," ujarnya lagi.


SELEPAS muncul menerusi filem Zaiton Ceritaku, Karl Shafek mengimpikan watak dalam filem yang menuntutnya bermain dengan sisi komedi.

Menegaskan kehidupannya bukanlah berpaksi pada erti kemewahan, Karl lebih mempercayai dengan harga pengalaman yang diperoleh serta kepuasan melakukan kerja-kerja yang diminatinya.

"Bagi saya, pengalaman yang saya kutip selama ini lebih berharga jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit. Lagipun, ia dapat digunakan dalam tempoh masa yang sangat panjang," tambah Karl yang menyifatkan rasa gembira perlu ada pada setiap pekerjaan yang dilakukannya.

Dunia lakonan

Selain rancak bergelar pengacara, Karl juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon. Pernah muncul di kaca televisyen dan layar perak, graduan Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) ini bercadang mahu memberikan lebih tumpuan terhadap bidang lakonan tahun ini.

"Pada tahun ini, saya bercadang mahu memberi fokus yang lebih terhadap bidang lakonan. Bukan tidak mahu bermula dari awal, cuma saya perlu berhati-hati dalam membahagikan masa untuk karier.

"Jadi, pada pendapat saya, selepas kedudukan saya kukuh sebagai pengacara, apa salahnya untuk saya mencuba bidang seni yang lain pula," katanya mengakui masih lagi bertatih dalam bidang tersebut.

Menurut Karl, sewaktu mula-mula beraksi di hadapan kamera, ramai yang memberitahu bahawa intonasi dan gaya percakapannya kedengaran seperti seorang pengacara.

Bagi mengelakkan perkara itu berulang, dia tidak teragak-agak untuk belajar tentang selok-belok dunia lakonan dengan menyertai pementasan teater secara kecil-kecilan.

"Ketika mula-mula berlakon, saya sering ditegur peminat kerana bercakap seperti seorang pengacara. Saya sedar, cara percakapan di dalam drama atau filem adalah lain dan perlu mengikut skrip.

"Justeru, apabila ditawarkan untuk berlakon teater Madu Ku Kalut pada tahun lalu, saya cuba menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin. Alhamdulillah, prestasi saya semakin lama semakin meningkat," katanya.


KARL SHAFEK menjadikan pentas teater sebagai platform untuk belajar selok-belok dunia lakonan.

Dua tawaran

Melanjutkan perbualan bersama jejaka berbintang Aries itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah drama bersiri 40 episod terbitan Suhan Movies berjudul Masihkah Ada Cinta.

Ternyata begitu teruja dapat bekerja dengan syarikat milik Rosyam Nor itu, Karl juga tidak menafikan bahawa dia sungguh gembira kerana berpeluang berlakon bawah pengarah ternama, Amy Maziah.

"Sejujurnya, pihak Suhan Movies telah beberapa kali menawarkan saya untuk berlakon dalam drama terbitan mereka. Namun, disebabkan kekangan masa, saya terpaksa menolak tawaran tersebut.

"Bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk memegang watak Johan dalam drama Masihkah Ada Cinta, saya terus bersetuju. Lagipun, saya sudah lama ingin bekerja dengan pengarahnya," ujar Karl yang begitu meminati nashkah-nashkah yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies sebelum ini.

Drama yang diadaptasi daripada novel yang pernah diterbitkan sekitar tahun 90-an itu bakal menemui penonton di saluran RTM tidak lama lagi.

Di samping itu, Karl baru sahaja memulakan sebuah lagi penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan tahun ini.

"Selain Masihkah Ada Cinta, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Rindu Awak 200 Peratus bersama Ayda Jebat dan Zul Ariffin," ujar Karl.

Ketika ditanya mengenai keputusannya menerima dua tawaran dalam satu masa, Karl memberitahu, dia telah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi Rindu Awak 200 Peratus terlebih dahulu sebelum menerima tawaran tersebut.

"Sebelum menerima tawaran ini, saya ada berbincang dengan mereka tentang drama yang sedang saya lakonkan dengan Suhan Movies. Jika mereka mampu mengikut jadual saya dengan Suhan, maka tidak menjadi masalah untuk saya menerima tawaran tersebut.

"Walaupun saya menerima tawaran berlakon yang berjalan secara serentak, namun saya akan pastikan bahawa saya tidak berkejar dari dua set penggambaran yang berbeza dalam satu masa," ujarnya.


SELAIN mengacara dan berlakon, figura ini juga bercita-cita mahu membuka sebuah restoran pada masa akan datang.

Buka cafe

Jika mahu diberi jolokan, status selebriti serba boleh mungkin tepat menggambarkan figura yang pernah membintangi drama muzikal Hotel Mania ini.

Sudah puas beraksi di hadapan kamera sebagai pengacara dan pelakon, Karl Shafek turut menunjukkan kemahirannya dalam bidang kulinari menerusi program pertandingan masakah MasterChef Selebriti dan MasterChef Celebrity All Stars.

Selepas muncul sebanyak dua kali dalam pertandingan memasak itu, bakat yang ada padanya sering menjadi bualan ramai. Justeru, tidak hairanlah jika kebanyakan daripada peminatnya begitu tertarik mahu mencuba masakan yang dimasak oleh Karl.

"Disebabkan oleh permintaan mereka, saya bercadang mahu membuka restoran atau kafe yang menampilkan menu-menu yang pernah saya masak ketika menyertainya MasterChef.

"Bagaimanapun, itu hanya perancangan awal sahaja. Jika saya ingin memulakan sebuah perniagaan, saya memerlukan modal yang besar. Insya-Allah, dalam masa dua tahun, mungkin cita-cita saya ini akan menjadi kenyataan," ujar Karl.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP