ARTIS MELETOP
Siti Nurhaliza Lancar Album Sebelum Ramadan
Penyanyi ternama negara, Datuk Siti Nurhaliza menyatakan album solo terbarunya bakal menemui peminat selewat-lewatnya sebelum bulan Ramadan ini. Kali terakhir Siti muncul dengan album solo adalah pada tahun 2011 dengan album 'All Your Love'.
"Selepas saya sibuk dengan beberapa siri persembahan besar, selepas ini saya akan kembali semula ke studio untuk merakamkan baki dua atau tiga buah lagu untuk album terbaru. Saya menjangkakan album baru saya akan muncul di pasaran selewat-lewatnya sebelum bulan puasa tahun ini," ujar Siti ketika ditemui usai 'Minggu Setiausaha Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza' di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai perkembangan terbaru, Siti bakal meraikan ulang tahun ke 19 penglibatan dirinya dalam industri hiburan bersama-sama dengan peminatnya pada 27 April ini di Dataran Gemilang, Presint 4, Putrajaya. Dalam pada itu, single terbarunya, 'Jaga Dia Untukku' akan menemui peminat menerusi iTunes.
Gembira Dengan Zizan
Dalam pada itu, Siti mendedahkan dia berasa gembira apabila berpeluang bergandingan dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak menerusi persembahan eksklusif 'Minggu Setiausaha Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza' di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
"Ini merupakan tahun kedua saya menjemput Zizan untuk bergandingan dengan saya. Saya rasa gembira, pada masa yang sama berdebar. Semuanya berjalan lancar. Berbeza dari tahun lalu hanya satu persembahan sahaja, tahun ini persembahan diadakan selama dua hari. Saya sangat gembira atas sambutan menggalakkan ini," ujar Siti.
Dalam persembahan tersebut, Siti menyanyikan seleksi lagu-lagu popularnya iaitu 'Siti Situ Sana Sini', 'Jika Kau Tak Datang', 'Biarlah Rahsia', 'Joget Senyum Memikat' dan banyak lagi. Siti juga sempat berduet dengan Zizan menyampaikan lagu 'Memori Daun Pisang', 'Khayalan' dan 'Infiniti Cinta'. Siti mengakhiri persembahan dengan menyanyikan lagu hitnya, 'Lebih Indah'.
0 comments:
Post a Comment