Loading...
Thursday, April 17, 2014

Miera Tiada cinta hanya kerjaya


ARTIS MELETOP

Miera Tiada cinta hanya kerjaya



SEBUT nama Miera Leyana pasti ramai akan menjurus ingatan terhadap bekas kekasihnya, Shahrizal Jaszle ataupun kontroversi gaun seksi yang disarung dalam sebuah majlis makan malam tiga tahun lalu.

Membuang segala kepahitan dan khilaf yang tidak disengajakan, kata Miera, dia kini dalam peringkat memulihkan kembali semangat dan kekecewaannya terdahulu.

Pencapaian tertingginya dalam industri hiburan tempatan menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) menerusi lakonannya dalam filem Pecah menandakan keseriusan Miera untuk bergelar artis.




"Cinta? Buat masa sekarang saya rasa kerjaya itu lebih penting. Memang dahulunya saya akui saya membuat kesilapan terhadap banyak perkara tapi sekarang setelah usia menginjak angka 21, pemikiran saya jauh berbeza.

"Biarlah saya berehat daripada memikirkan perkara yang menyerabutkan kepala. Kalau sudah sampai saya bercinta, biarlah cinta itu datang dengan sendirinya," ujarnya yang ditemui usai tayangan filem Apokalips X bersama media di Cathay Cineplex, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Qi Qi

Mungkin ramai yang tidak menjangka filem Apokalips X yang sedang hangat ditayangkan di pawagam kini telah dibikin empat tahun lalu.

Dalam filem itu, Miera menjayakan watak Qi Qi, seorang gadis daripada klan Sri Gala yang jatuh cinta dengan Aman Chai (Adam AF) daripada klan Merah Putih.


MIERA enggan membabitkan diri dengan hal yang boleh membuatkan fikirannya menjadi tidak tenang.

Bagaimanapun, cinta mereka terhalang kerana perbezaan dan pertelagahan dua klan yang tidak sefahaman.

Kata Miera, pentingnya peranan Qi Qi dalam Apokalips X kerana dia yang akan menggerakkan konflik dalam filem itu.

"Di sebalik pertempuran yang berlaku antara beberapa puak yang wujud ketika itu, watak Qi Qi melembutkan suasana dengan elemen cinta dan kasih sayang.

"Namun, hubungan itu malangnya tidak direstui oleh kedua-dua ketua klan Sri Gala dan Merah Putih sehingga Qi Qi hampir terbunuh apabila timbul kekacauan yang turut melibatkan klan Kala Jengking," ceritanya serba sedikit.

Menarik mengenai filem pertama lakonan Miera, dia diberikan peluang untuk mewarnakan karakternya mirip dengan karakter komik manga Jepun.

"Dari segi berpakaian dan babak berlawan, Mamat memberikan saya satu garis panduan dan sepenuhnya kebebasan untuk saya mencorakkan karakter Qi Qi.

"Saya cuma bayangkan semua karakter dalam filem ini tidak normal!" tambahnya.

Masuk ICU

Mengimbas kembali pengalaman menarik sepanjang penggambaran filem Apokalips X, kata Miera dia pernah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) gara-gara dihempap lebih 10 orang pelakon tambahan.

"Ketika penggambaran satu babak di dalam bilik kosong, keadaan hiruk-pikuk yang tidak terkawal telah menyebabkan saya terjatuh.

"Tidak cukup dengan itu saya dihempap pula lebih 10 orang pelakon tambahan yang kebanyakannya lelaki. Akibat dihempap, saya pengsan dan akhirnya terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Subang Jaya.


MIERA LEYANA banyak menempuh pengalaman menarik sepanjang berada di lokasi penggambaran filem Apokalips X.

"Doktor mengesahkan tisu kaki saya terkoyak dan saya pengsan kerana tidak cukup oksigen. Selepas dirawat beberapa jam saya kembali ke set penggambaran untuk menyambung baki babak yang tidak sempat siap.

"Memang lucu tapi pada masa yang sama saya rasa ia mengerikan. Mujur tiada kecederaan serius tapi pengalaman itu amat berharga buat saya," katanya.

Apokalips X mengisahkan peradaban manusia yang hidup selepas Perang Nuklear meletus pada tahun 2047.

Saki-baki manusia yang terselamat daripada perang itu hidup dalam keadaan kacau-bilau, hilang arah tujuan dan menjadi ganas.

Lalu, muncul beberapa puak yang berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain demi untuk kelangsungan hidup dan bergelar ketua.

Tiga orang pahlawan utama yang tinggal selepas peperangan tersebut ialah X (Farid Kamil), Sri Gala (Peter Davis) dan Kala Jengking (Jehan Miskin). Masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang begitu taat kepada mereka.

Selain itu, filem Apokalips X dibantu oleh Dazrin Kamarudin, Zoee Tan, Adam AF, Sarimah Ibrahim, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim dan Dayana Roza.

Menampilkan tema fantasi dan komik, filem ini telah mula ditayangkan di pawagam sejak 3 April yang lalu.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP