Loading...
Sunday, April 13, 2014

Mamat Khalid Promosi filem terbantut!


ARTIS MELETOP

Mamat Khalid Promosi filem terbantut!


Mamat Khalid

BUAH tangan terbaharu Mamat Khalid, Apokalips X telah mula dimainkan di pawagam seluruh negara bermula 3 April lalu.

Namun, filem ini menerima nasib yang sama dengan filem sebelumnya, Zombi Kilang Biskut (ZBK) iaitu kekurangan promosi dan hebahan lantaran tragedi yang menimpa negara.

Tayangan kedua-dua filem ini dilancarkan betul-betul di saat orang ramai sedang bersedih atas tragedi kehilangan pesawat MH370, disusuli pula dengan insiden enam maut akibat penyalahgunaan dadah di Future Music Festival Asia (FMFA).

Masyarakat turut mempersoalkan industri seni yang dikatakan tidak sensitif dengan musibah yang menimpa jika terus mempromosikan aktiviti hiburan.




Akur dengan perkara tersebut, pengarah terkenal ini tidak menyalahkan keadaan sebaliknya reda dengan promosi Apokalips X yang diperlahankan bagi menghormati situasi.

“Saya terima saja qada dan qadar yang ditentukan. Kita kena peka dengan keadaan sekeliling dan jaga sensitiviti masyarakat.

Lagipun saya faham waktu tayangan Apokalips X, orang masih terkesan dengan tragedi MH370. Jadi tak patutlah saya teruskan promosi besar-besaran dalam keadaan sebegini,” katanya.

Ditanya mengenai tindakannya untuk mengatasi masalah kekurangan promosi itu, Mamat mengakui dia tidak mempunyai sebarang strategi khusus selain mengharapkan hebahan daripada mulut penonton sendiri.

“Saya memang tak ada apa-apa strategi dalam hal ni. Cuma saya harap orang ramai yang dah menonton di pawagam boleh sebarkan dari mulut ke mulut dan ajak lebih ramai orang untuk tengok filem ni.

“Lagi-lagi sekarang ni zaman Internet. Orang boleh sebarkan melalui laman sosial, Insya-ALLAH respons baik yang mereka beri akan tarik lebih ramai penonton Apokalips X,” katanya.

Sungguhpun begitu, filem Mamat Khalid terkenal mengandungi mesej-mesej tersirat berunsur teladan yang menegur norma masyarakat kita.

Atas dasar itu, adik kepada kartunis terkemuka negara, Datuk Lat ini masih yakin untuk mengajak peminat filem tempatan menonton filemnya di pawagam walaupun di saat negara sedang dilanda tragedi.

“Saya buat filem ini bukan untuk hiburan semata-mata, tapi untuk ajak penonton berfikir.

“Kalau dalam ZKB mesej tersiratnya adalah matlamat tidak menghalalkan cara, dalam Apokalips X ditunjukkan kepentingan mengamalkan perpaduan bagi mengelakkan kehancuran,” jelasnya.

Apokalips X mempertaruhkan genre fantasi dan menggunakan 70 peratus teknik CGI dalam pembikinannya, ternyata filem ini menyajikan kelainan daripada filem-filem kebiasaan Mamat Khalid yang sebelumnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP