Loading...
Wednesday, April 16, 2014

Cara pemuzik 'cari makan'


ARTIS MELETOP

Cara pemuzik 'cari makan'



MASIHKAH anda ingat lagi akan zaman kegemilangan industri muzik pada era 80 hingga 90 an? Ketika itu, kebanyakan album yang dijual mampu meraih keuntungan berlipat ganda hasil daripada penjualan.

Malah, ada sesetengah album berjaya melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya dijual lebih daripada 100,000 unit sehingga melayakkan artis berkenaan menerima anugerah platinum.

Antara penyanyi yang berjaya meraih anugerah platinum ini termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan adik-beradik, KRU.

Kebanyakan daripada pemuzik dan penyanyi lebih tertumpu kepada penjualan album untuk menjana pendapatan mereka sebagai anak seni.

Namun, pada hari ini, usahkan 100,000 unit, untuk mendapatkan jualan album sebanyak 10,000 pun ibarat bermimpi di siang hari.

Mana tidaknya, perkembangan teknologi yang kian canggih ini menyaksikan masyarakat lebih selesa menggunakan khidmat di 'hujung jari' untuk mendapatkan muzik pilihan serta menjadikan penjualan album sudah tidak relevan lagi.

Malah, laman perkongsian video, YouTube, juga merupakan salah satu platform yang digunakan untuk mendapatkan bahan-bahan berkenaan dengan cara yang mudah.

Jika diperhatikan, jumlah penonton laman perkongsian ini juga mencecah lebih jutaan pelayar, bukan sahaja lagu-lagu antarabangsa, malah lagu tempatan juga.

Ini membuktikan bahawa masyarakat lebih selesa mendapatkan hiburan dengan cara berkenaan tanpa memikirkan kaedah lain yang lebih sukar seperti mendapatkan album dan sebagainya.

Namun, persoalannya, adakah platform ini memberi keuntungan kepada pemuzik sedangkan ia boleh didapati secara percuma tanpa dikenakan apa-apa bayaran?

Walaupun penjualan cakera padat (CD) sudah tidak relevan lagi di zaman serba canggih ini, namun kita sendiri tertanya-tanya, medium apakah yang digunakan untuk meraih keuntungan lain selain persembahan pentas.

Jika dilihat dari pandangan mata kasar, ianya hanyalah bentuk promosi 'kosong' yang digunakan untuk 'memancing' penonton terhadap lagu-lagu terbaru dan bilangan tontonan akan menentukan adakah lagu itu akan popular atau sebaliknya.

Hal ini turut disuarakan kepada Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim dan beliau tampil menjelaskan mengenai perkara ini.




Apa pandangan anda mengenai perkembangan teknologi kini?

Sejujurnya, industri muzik tempatan sedikit terlambat untuk menyesuaikan diri dengan arus perubahan berbanding antarabangsa.

Pada era 90 an, penjualan album sangat memberangsangkan kerana rata-ratanya masih belum terdedah dengan perkembangan dunia digital. Seiring dengan zaman di alaf baharu, Internet bukan lagi medium asing dan rata-rata menggunakan kaedah ini kerana lebih mudah.

Apakah perkongsian di Internet ini boleh memberi kebaikan kepada pemuzik ataupun penyanyi?

Internet khususnya YouTube merupakan satu medium perkongsian yang sinonim dengan industri. Malah, ramai dalam kalangan syarikat rakaman menjadikan YouTube sebagai platform untuk mempromosikan lagu-lagu terbaru sebagai tontonan.

Sebenarnya, ramai yang masih tidak tahu mengenai pengendalian di YouTube dan menganggap ianya seakan 'menjual' karya secara percuma. Seiring dengan perkembangan digital yang serba canggih ini, kita perlulah menyesuaikan diri dengan peredaran semasa.

Adakah perkongsian di YouTube mampu memberi keuntungan kepada pemuzik?

Saya tidak mengatakan ia sebagai satu platform untuk menjana pendapatan besar, namun ia adalah salah satu cara yang boleh memberi royalti kepada pemuzik.

Namun, buat masa ini, perkara itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan pengumuman dan penjelasan akan dibuat pada Jun ini. Namun, ada beberapa syarikat rakaman sudah melaksanakan kaedah pemberian royalti melalui YouTube kepada pemuzik.


Bagaimanakah ia akan dilaksanakan? Siapa pula yang akan membayar royalti berkenaan?

Saya boleh katakan, YouTube bukanlah satu medium percuma. Malah, YouTube juga adalah platform yang dilesenkan oleh industri.

Namun, jumlah bayaran atau royalti itu bukanlah dalam kuantiti yang banyak. Cara pengiraan juga masih belum terperinci lagi, namun kemungkinan besar, dalam setiap sejuta tontonan, hanya sekitar RM3,000 sahaja. Jumlah itu akan dibahagikan kepada syarikat rakaman dan pemuzik yang terlibat.

Bayaran pula akan dilakukan oleh syarikat Internet seperti Google. Namun, secara komersial, media baru memainkan peranan penting dalam memberi pulangan lumayan kepada pemuzik dan industri menerusi nada dering.

Kiranya, pemuzik perlu memikirkan cara lain untuk menjana pendapatan?

Sejak zaman 80 hingga 90 an lagi, penyanyi termasuk saya dan KRU, menjana pendapatan melalui persembahan pentas.

Penjualan album juga tidak menentu dan kami tidak boleh mengharapkan medium lain ketika itu selain persembahan. Sehingga ke hari ini, perkara itu tetap tidak berubah di mana pemuzik perlu menggunakan medium yang sama.

Dalam situasi ini, syarikat rakaman perlu membuat pelaburan untuk penyanyi mereka, tidak kira di pentas, mahupun di televisyen atau di radio. YouTube itu sekadar imbuhan kecil dan janganlah hanya mengharapkan YouTube semata-mata.

Bagaimana pula dengan laman perkongsian haram?

Walaupun YouTube mampu menjana pendapatan, namun perkongsian yang tidak diiktiraf akan memberi kesan buruk kepada industri.

Ia juga merosakkan industri dan merugikan artis menerusi muat turun lagu secara haram. Oleh itu, RIM turut mengharapkan kerjasama dan penguatkuasaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membanteras gejala cetak rompak digital ini.

Saya juga berharap Akta Digital pindaan daripada Akta Hak Cipta 1997 diluluskan Parlimen kerana ia sangat diperlukan bagi melindungi hak cipta hasil karya dan lagu pemuzik dan artis tempatan.

Sekiranya Akta Digital diluluskan dan dilaksanakan, ia dapat menangani masalah muat turun lagu secara haram yang berleluasa. Dengan ini, hanya laman web atau portal hiburan berdaftar dan yang diberi kelulusan boleh membuat penjualan lagu secara digital di Internet.

Akhir sekali, adakah pelaksanaan ini akan dituruti oleh syarikat rakaman?

Tiada pilihan, mereka tidak boleh menafikan hak pemuzik dan penyanyi. Sekiranya perkara ini tidak diikuti, penyanyi dan pemuzik boleh membuat aduan ke Persatuan Karyawan Malaysia. RIM sentiasa mengadakan perbincangan bersama Karyawan dan membincangkan mengenai masalah industri muzik.

Dengan cara itu, kita akan dapat mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh pemuzik tempatan. Bukan sahaja dalam pelaksanaan royalti menerusi YouTube, mereka juga boleh membuat sebarang aduan kepada Karyawan dan kami akan mencari jalan penyelesaiannya.

REAKSI ARTIS

"Sebelum ini, saya diberitahu bahawa perkongsian di laman sosial juga turut menerima bayaran, namun sehingga ke hari ini, saya masih belum mendapatkan apa-apa bayaran lagi. Saya sendiri tidak tahu perincian mengenai perkara itu dan pihak manakah yang akan membayar kami.

Namun, bagi saya, perkongsian ini ada baik buruknya. Mungkin ia boleh mempromosikan lagu baharu dengan cepat, namun pada masa sama, ia seakan 'membunuh' karier kami. Bagi pihak yang tidak bertanggungjawab, mereka akan gunakan platform ini untuk memuat naik sebarang lagu atau video secara percuma.

Ia sangat merugikan kami sebagai pemuzik yang bertungkus lumus menyiapkan lagu berkenaan. Saya sarankan agar lagu baru hanya dikongsi separuh atau sebahagian sahaja di YouTube. Tidak perlulah untuk meletakkan kesemua lagu berkenaan sebagai tontonan percuma." - Black -

"Sejujurnya, perkongsian di YouTube tidak memberi apa-apa keuntungan kepada penyanyi seperti saya. Namun, ia tidak menjadi masalah besar buat saya adakah ianya dibayar mahupun tidak. Lagipun, ini bukanlah satu-satunya kerjaya saya dalam industri.

Namun, sekiranya diberi bayaran, saya akan terima. Bagi saya, YouTube adalah laman perkongsian yang relevan memandangkan dunia kini lebih moden dan canggih. Malah, melihat kepada bilangan viewers di laman itu, saya turut bangga kerana saya masuk dalam industri menerusi pentas komedi.

Namun, percaturan dalam nyanyian juga mendapat sokongan. Lagipun, jika kita tidak masukkan video atau lagu di Internet, pasti akan ada golongan yang tidak bertanggungjawab akan masukkan juga. Jadi, lupakan soal untung rugi asalkan ianya memberi kepuasan kepada kita sendiri.

Lagipun gejala cetak rompak ini sukar dibendung walau di laman maya sekali pun. Sepatutnya, masyarakat perlu lebih kesedaran mengenai perkara ini." - Zizan Razak -


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP