Loading...
Monday, July 14, 2014

Enot tolak perubatan moden lawan kanser


ARTIS MELETOP

Enot tolak perubatan moden lawan kanser



MENGHIDAP kanser usus tahap dua, Enot hanya memikirkan masa depan dua orang anaknya. Justeru, dia kini bekerja keras untuk tabungan mereka.

Wajah ceria dan senyuman manis pelakon komedi Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 34, pada majlis pelancaran program raya Astro baru-baru ini tidak sedikit pun menggambarkan penderitaan yang sedang ditanggungnya.

Walhal ibu kepada dua orang anak, Andriana Balqis, 13, dan Ariana Qaseh Qistina, 7, itu sedang melawan penyakit kanser usus tahap dua. Bagaimanapun hatinya sedih apabila ada pihak yang mempertikaikan kebenaran penyakitnya itu.

“Perlukah saya berjalan dengan letak tag tertulis, ‘aku sakit kanser?’ Saya sedih apabila keluar rumah ada orang yang mempersoalkan benarkah saya ini sedang sakit kerana fizikal saya tidak banyak berubah.

“Jika saya terperap di rumah, saya akan lebih tertekan dan akan memudaratkan diri sendiri. Lebih baik saya keluar rumah, lagipun saya perlu mencari rezeki untuk keluarga saya,” katanya.

Disoal apakah yang bermain dalam fikirannya apabila disahkan doktor menghidap penyakit kanser usus tahap dua, jawab Enot dengan mata berkaca, hanya nasib dan masa depan dua anaknya yang difikirkan.

“Jika saya tiada, siapakah yang akan menjaga mereka? Bagaimana dengan masa depan mereka kelak? Itu yang membuatkan saya sedih kerana saya sendiri tidak ada jawapannya.

“Selepas keluarga saya tahu tentang penyakit saya, mereka banyak membantu. Saya juga tahu, siapa yang akan jaga anak-anak andai saya ditakdirkan pergi dahulu,” tutur Enot dalam nada perlahan.

Fokus Enot hanya satu, melawan penyakit kanser serta mencari rezeki untuk dua anaknya. Ujarnya, dia kini bekerja mengumpul wang untuk masa depan anaknya bukan untuk dirinya.

“Saya bekerja bukan diri sendiri tetapi anak-anak. Jika saya sudah tiada sekurang-kurangnya mereka mempunyai simpanan untuk sambung pelajaran dan meneruskan hidup. Saya tidak mahu mereka berhutang,” ucapnya.

Bercakap tentang penyakitnya, jelas Enot dia tahu ada sesuatu yang tidak kena tentang dirinya apabila tiga bulan buang air besar berdarah. Apabila melakukan pemeriksaan di hospital, dia disahkan menghidap kanser usus tahap dua.

Berita itu diketahui sebelum menyertai program Masterchef Selebriti musim kedua pada tahun lalu. Bagaimanapun, selepas mengambil ubat di hospital, Enot memutuskan dia ingin bertarung melawan penyakitnya hanya menggunakan ubat tradisional sahaja.

Selain merasakan perubatan tradisonal lebih sesuai dengan dirinya, keputusan itu dilakukan selepas Enot diherdik oleh doktor yang merawatnya dengan mengatakan lebih baik dia mati sahaja kerana menolak perubatan moden.

“Penyakit kanser bukan sesuatu yang mengejutkan buat keluarga saya kerana ada sejarah ahli keluarga menghidap kanser. Saya ada cuba ubat hospital tetapi saya enggan buat rawatan kemoterapi kerana ia akan merosakkan keseluruhan sel badan bukan sel kanser sahaja.

“Sekarang sudah beberapa hari saya mencuba ubat tradisional yang baharu. Tiga hari pertama pengambilan, berlaku pendarahan. Sekarang Alhamdulillah, ubat itu sudah mula bekerja dan saya sendiri tahu badan saya okey atau tidak.

“Saya akan mengambil ubat itu selama tiga bulan dahulu, kemudian akan buat pemeriksaan di hospital untuk melihat tahap kanser sama ada bertambah atau berkurang,” balasnya.

Minuman bergas akibat kanser

Cerita Enot lagi, kebiasaan pada bulan Ramadan, dia akan sibuk berniaga di bazar dan membuat kuih raya. Bagaimanapun tahun ini kesihatannya tidak mengizinkan, dia hanya membuat tempahan kuih raya mengikut kemampuannya sahaja.

“Kalau ikut hati saya ingin berniaga ikan dan ayam bakar, buat kuih raya tetapi saya tidak larat. Bahang panas pun boleh membuatkan saya pengsan apatah lagi berdiri berjam-jam di hadapan api.

“Saya juga cuba berpuasa pada hari pertama tetapi saya pengsan pada malam hari. Sejak itu saya tidak berpuasa kerana saya perlu makan ubat dan makan mengikut waktu,” katanya.

Sambung Enot, sejak mengambil ubat melawan kanser, hormonnya tidak stabil menyebabkan emosinya terjejas. Tekanan yang dihadapinya menyebabkan dia rebah beberapa kali di rumah.

“Apabila saya ambil ubat kanser, hormon saya tidak stabil menyebabkan saya cepat marah walaupun perkara kecil sahaja. Jika ada orang tersalah cakap, saya akan simpan dalam hati.

“Sampai di rumah, saya akan menjerit dan menangis seorang diri. Itu sahaja cara untuk saya lepaskan segala tekanan yang saya hadapi sehingga ada masanya saya pengsan di rumah,” tuturnya.

Walaupun sakit, Enot bersyukur kerana rezeki masih ada buatnya sekeluarga. Sungguhpun tidak mewah tetapi memadai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Sebenarnya sudah hampir dua tahun saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan. Hanya akhir-akhir ini saya dipanggil berlakon.

“Jika lokasi penggambaran di luar Kuala Lumpur saya akan meminta pihak produksi menyediakan dapur memasak kerana saya tidak boleh makan makanan luar. Saya juga tidak boleh terlalu lasak dan berdiri lama kerana badan tidak sihat seperti dahulu,” ujarnya.

Derita yang ditanggung Enot bukan sedikit, nasihatnya kepada orang di luar sana, jagalah kesihatan sebaik mungkin. Katanya minuman bergas juga menyumbang kepada penyakit tersebut.

“Selain genetik, saya juga ada salah kerana tidak menjaga pemakanan dengan betul. Sejak muda saya memang saya memang suka minuman bergas. Sehari saya akan minum sekitar dua botol besar.

“Terutama apabila saya menjalani penggambaran waktu malam hingga lewat pagi. Doktor memberitahu, waktu pagi sekitar jam empat pagi merupakan waktu kanser aktif ditambah pula dengan gula yang diambil dengan minuman bergas, ia akan membuatkan sel kanser bertambah aktif.

“Jika perlu berjaga sehingga lewat pagi tolonglah minum air kosong sahaja. Jagalah pemakanan kerana apabila sudah sakit sudah terlewat untuk menyesali tabiat pemakanan kita,” ujarnya yang akan pulang beraya di Perak, Johor dan Negeri Sembilan.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP