ARTIS MELETOP
Lebaran Noh, Mizz Nina
TIDAK seperti tahun-tahun sebelum ini, Aidilfitri tahun ini bagi pasangan romantis, Noh Salleh dan Mizz Nina cukup sederhana.
Tidak bermakna tidak menyambutnya, sebaliknya pasangan serasi ini memilih untuk lebih memuliakan Ramadan berbanding Syawal.
"Ramadan adalah bulan untuk lebih berfokus kepada beribadah dan ia diteruskan sampai bila-bila agar terus membentuk menjadi lebih baik.
"Apatah lagi bagi mereka yang terlibat dalam industri hiburan, masa inilah aktiviti seni menjadi kurang sekali gus ia menjadi tumpuan untuk lebih beribadah," kata Noh atau nama sebenarnya Muhammad Noh Salleh.
Lebih membanggakan lagi apabila isterinya Nina atau nama sebenarnya Shazrina Tan Sri Azman kini sedang melalui fasa perubahan dalam hidupnya.
"Saya akui saya kini lebih berfokus pada Ramadan.
"Alhamdulillah, sejak beberapa bulan lalu saya lebih mengutamakan untuk menjalani ibadah dan menghadiri banyak kelas agama.
"Bahkan, kini saya juga sudah tidak aktif dalam sebarang aktiviti seni sebaliknya kini lebih memberi tumpuan pada bisnes seterusnya membina kehidupan berkeluarga kelak," celah Nina pula.
Beraya di Ampang
Menceritakan serba sedikit mengenai sambutan Syawalnya, kata Noh, tahun ini adalah tahun ketiga dia dan Nina menyambut lebaran bersama-sama.
Biarpun disambut secara bersederhana namun pasangan ini bersyukur kerana mereka sekeluarga dapat berkumpul sama pada hari raya tahun ini.
Malah, kedua-duanya menjadikan pertemuan kali ini sebagai peluang untuk mengeratkan silaturahim di antara ahli keluarga.
"Tahun ini raya pertama kami adalah di Ampang lantaran tahun ini adalah giliran beraya di rumah Nina.
"Biasanya, jika beraya di Ampang, kemeriahannya hanyalah sekejap.
"Oleh sebab itu, malam raya kami akan pulang ke kampung halaman saya di Miri, Sarawak," kata Noh.
Perkara itu turut diakui oleh Nina.
"Beraya di Ampang sangat senang dan mudah.
"Sebab itu, saya tidak kisah untuk beraya lama di rumah keluarganya," katanya.
Berdasarkan kepada pengalaman lalunya, Nina mengakui beraya di Miri, Sarawak sangat meriah berbanding di Ampang,
"Jika di Ampang, kemeriahannya hanya terasa di hari raya pertama. Raya pertama saja, kami sudah habis menziarahi semua rumah sanak saudara. Pada raya kedua pula, kami sudah tidak melakukan apa-apa perkara.
"Tetapi, jika di rumah keluarga Noh, ia cukup meriah. Suasana meriah itu berlanjutan sehingga tujuh hari.
"Malah, dalam tempoh tujuh hari itu, kita boleh lihat cara mereka berpakaian masih lengkap berbaju Melayu siap bersamping," kata Nina dengan teruja.
Dalam pada itu, Noh dan Nina turut berkongsi mengenai juadah raya mereka.
Malah, Nina tanpa segan silu mengakui yang dia tidak pernah memasak untuk juadah hari raya kerana hidangan tersebut akan disediakan oleh saudara-maranya.
"Setiap tahun di rumah emak saya, hidangan seperti rendang, lontong, ketupat dan sambal lontong akan disediakan manakala di rumah Noh pula setiap tahun menunya berbeza-beza.
"Kadangkala mertua saya akan menyediakan spageti atau laksa Sarawak termasuklah pelbagai jenis kek lapis dan biskut.
"Biasanya, hidangan itu disediakan mengikut pada selera mertua," kata Nina sambil dijeling Noh.
Teringin cahaya mata
Tidak lagi aktif dalam bidang seni, Nina mengakui fokusnya kini adalah kepada perniagaan busana Muslimah, Madeena yang dijalankan secara atas talian.
Merancang untuk mengembangkan lagi bisnesnya, Nina turut berhasrat membuka butik dan kafe di Galeri Empire Damansara, tidak lama lagi.
Selain itu, Nina kini turut sibuk menyertai kelas-kelas ibadah bagi mempertingkatkan lagi ilmu agamanya.
Pada masa sama, Noh dan Nina kini baru saja berpindah ke rumah baru mereka yang terletak di Ampang.
"Saya agak sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti menyertai kelas-kelas agama dan menguruskan bisnes.
"Berpindah pula ke rumah baru, kami perlu menyusun atur barang-barang di kediaman baru ini.
"Semoga semuanya dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.
Dalam kesibukan dengan pelbagai aktiviti, pasangan ini juga sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Sudah mencuba sejak tahun lalu, bagaimanapun rezeki masih lagi tidak berpihak kepada pasangan ini untuk memperoleh cahaya mata.
"Rancangnya memang sejak dari tahun lalu, cuma masih tidak diberi peluang dan rezeki.
"Insya-ALLAH, dengan izin ALLAH juga mungkin selepas ini kami akan dikurniakan dengan cahaya mata," luahnya.
0 comments:
Post a Comment