Loading...
Thursday, July 17, 2014

Yazid (Search) Semakin Uzur, Enggan Susahkan Teman


ARTIS MELETOP

Yazid (Search) Semakin Uzur, Enggan Susahkan Teman


Yazid Ahmad enggan menyusahkan teman-temannya yang bimbang tentang penyakit kegagalan buah pinggang yang dialaminya sejak enam tahun lalu.

Pemain drum kumpulan Search, Yazid Ahmad yang terkenal dengan aksi lincahnya ketika berada di pentas kelihatan semakin uzur dan tidak bermaya ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Clixster Mobile yang diadakan di Sri Hartamas dekat sini, malam Selasa lalu.

Ditemani oleh dua anaknya, Yazid yang kelihatan susut tetap mengagahkan diri untuk memeriahkan majlis berkenaan biarpun hadir dengan menggunakan tongkat malah sempat mengadu mengalami kesakitan pada bahagian belakang badannya yang membuatkan dia berasa tidak selesa.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

"Sekarang ini kalau saya bercakap sedikit mesti cepat penat dan akan batuk tanpa henti," luahnya ketika diiringi ke ruang pejabat Clixster Mobile untuk ditemuramah bersama media.


Yazid kelihatan lesu ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama Clixster Mobile pada malam Selasa lalu.

Jelas kelihatan pada riak wajahnya yang menanggung kesakitan akibat penyakit kegagalan buah pinggang sejak enam tahun lalu, namun dia yang berusia 52 tahun itu tetap melayan setiap soalan wartawan dengan baik biarpun suaranya tersekat-sekat.

Sesekali Yazid kelihatan sebak dan menitiskan air mata apabila mengenangkan nasib yang menimpanya namun terharu dengan sokongan daripada pelbagai pihak terutama keluarga, teman baik dan peminat di seluruh negara.

"Alhamdulillah, syukur apabila masih ramai yang bermurah hati dan tampil membantu mengurangkan beban dan tidak kurang juga sentiasa memberikan kata-kata semangat dan sebagainya.

"Sampai satu peringkat saya tidak mahu menyusahkan mereka dan saya menjadi seorang yang suka mengasingkan diri daripada orang lain," katanya.

Jelas Yazid, dia lebih suka menyendiri kerana tidak mahu orang lain melihat penderitaan yang sedang ditanggungnya dan apabila bersendirian ia memberikannya ketenangan.


Yazid memberitahu gemar mengasingkan diri sejak akhir-akhir ini.

Jelas Yazid lagi, setiap bulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,800 untuk menampung kos melakukan rawatan hemodialisis yang perlu dilakukan empat kali sehari selama empat jam pada setiap sesi di rumah.

"Setakat ini Alhamdulillah duit simpanan dan bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan membolehkan saya membayar kos rawatan tersebut tetapi saya tidak boleh selamanya menyusahkan mereka.

"Jika kesihatan mengizinkan saya ingin meneruskan projek Drum Clinic Tour bagi mengajar pelajar sekolah bermain drum dengan betul dan hasil daripada program tersebut dapatlah saya buat belanja perubatan," katanya.

Sementara itu, Yazid menganggap penderitaan penyakit buah pinggang yang dihidapinya itu sebagai satu bentuk penyucian dosa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Yazid, berkata, biarpun terpaksa menanggung kesakitan setiap hari namun dia reda dan tetap bersemangat meneruskan kehidupannya bagi melawan penyakit yang dihidapinya itu.


Pengerusi Ekskutif Kumpulan Clixster Mobile Group, Datuk Megat Razman Megat Khairuddin dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada Yazid.
"Dulu saya tertanya-tanya juga kenapa saya perlu menanggung penderitaan ini tetapi saya sedar ini adalah ujian dan sentiasa minta dikuatkan iman untuk meneruskan kehidupan dan melawan penyakit ini.

"Ia bukan mudah tetapi setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya dan saya perlu tabah mengharungi penyakit ini," katanya.

Dalam pada itu, Yazid berkata, kesihatannya setakat ini memuaskan namun adakalanya keadaannya itu menjadi tidak konsisten kesan daripada kerosakan buah pinggang yang dialaminya.


Gambar Yazid pada tahun 2012 yang kelihatan masih berisi.

"Kadang-kadang okey tetapi ada masanya saya kena sembelit, gatal seluruh badan, sesak nafas dan batuk berterusan hingga menyebabkan saya menjadi tidak selesa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulan Clixster Mobile Group, Nor Azlan Khamis berkata, pihaknya akan mengadakan Projek Harapan bertujuan untuk memberi bantuan kepada golongan artis yang memerlukan.
Jelas Nor Azlan, pihaknya menerusi Clixster Music akan menerbitkan sebuah album kompilasi melibatkan barisan artis terkenal dan jualan album itu nanti akan disalurkan kepada Projek Harapan.


Yazid (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulan Search pada tahun 80-an.
"Mana-mana artis yang ingin bersama-sama kami untuk projek ini boleh berjumpa dengan pihak kami tetapi dengan syarat mereka tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman," katanya.

Selain Yazid, pada acara tersebut, empat lagi artis menerima sumbangan daripada Clixster Mobile Group iaitu Aida Agil, Man Senoi, Zainal Rampa dan gitaris kumpulan Lefthanded, Samad Meon.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP