ARTIS MELETOP
Fragmen Kisah Disebalik Kehidupan Dan Motivasi Datuk Siti Nurhaliza
Penghibur tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza kini kembali dengan album solo terbaru beliau yang berjudul Fragmen. Fragmen dijadikan judul album ini kerana beliau menyifatkan album yang menampilkan 9 buah lagu itu mempunyai sedikit sebanyak cerita mengenai perjalanannya di dalam karier dan juga kehidupan.
Datuk Siti Nurhaliza menyifatkan bahawa Fragmen adalah sebuah album yang berjalan seiring dengan kematangannya di dalam industri muzik. Penyanyi yang sudah berkecimpung selama 19 tahun sebagai anak seni itu amat menitik beratkan setiap sudut produksi album untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik.
Beliau secara peribadi telah memilih Aubrey Suwito sebagai penasihat album yang turut menjadi salah seorang penerbit dalam album tersebut.
“Alhamdulillah selepas setahun akhirnya album penuh ini dapat disiapkan dan diberikan suntikan baru daripada komposer yang tidak asing lagi Aubrey Suwito. Saya berhenti menyanyi selama 4 bulan ketika itu kerana menjaga suami dan ketika itu Aubrey dan Rozi memahami apa yang dirasakan oleh saya ketika itu maka terbitlah album Fragmen yang dinantikan ini,” ujarnya ketika majlis sidang media album ‘Fragmen’ kelmarin.
Fragmen sarat dengan nilai kasih sayang, semangat (motivasi) dan juga rasa kecintaan dalam perspektif yang lebih meluas. Beliau sendiri mahu menerapkan nilai-nilai positif supaya album ini bukan sahaja boleh didengar muzik atau lagunya tetapi dihayati menerusi pendekatan di dalam lirik-lirik yang ditampilkan.
“Apa yang ada dalam album ini adalah unsur-unsur semangat yang diterapkan, kasih sayang, motivasi supaya seseorang itu lebih kuat untuk menghadapi hari yang mendatang. Lagu-lagu dalam album ini banyak menceritakan kisah yang saya hadapi apabila suami saya mengalami kemalangan setahun yang lepas di New Zealand dan ketika itu hanya orang-orang yang terdekat mengetahui apa perasaan saya”
”Album ini juga turut menceritakan mengenai kehidupan selama saya berada 19 tahun dalam industri seni, di mana perjalanan karier seni saya,” ujarnya.
Album Baru Terjual Lebih 5,000 Dalam Minggu Pertama
Datuk Siti turut menjelaskan mengenai mengapa beliau memilih ‘Fragmen’ sebagai judul album tersebut kerana maksudnya yang tersirat dan agak jarang didengar tetapi moden di pendengaran orang ramai. Sebagai buah tangan terbaru daripada Dato’ Siti Nurhaliza pada tahun 2014, beliau dan Aubrey Suwito amat menitik beratkan susunan muzik dan ternyata garapan muzik yang lebih moden telah diterapkan dalam setiap lagu.
Pendengar khususnya peminat yang meminati nyanyian lagu balada Siti Nurhaliza pasti merasa sedikit janggal dengan bunyian ‘samples effect’ atau bentuk adunan sesetengah lagu yang tidak mirip lagu-lagu di awal karier beliau.
“Sepanjang proses pemilihan lagu sehinggalah ke proses rakaman saya dan Aubrey duduk berbincang mengenai pemilihan-pemilihan lagu yang terbaik untuk dimuatkan ke dalam album saya. Setakat ini ada lebih kurang 30-40 lagu yang telah dihantar kepada saya dan hanya 9 lagu yang terbaik dipilih. Saya berharap peminat dapat memberikan sokongan dan inilah hasilnya selama ini,” katanya sambil tersenyum.
Sementara itu, pada hari yang sama Siti Nurhaliza juga turut teruja apabila diumumkan bahawa albumnya yang telah berada di pasaran kini, telah mencecah jualan sebanyak 5000 unit dalam masa seminggu dan ini merupakan satu pencapaian yang positif lebih-lebih lagi dengan industri muzik yang kini sedikit suram dalam penjualan album.
“Alhamdulillah, mungkin ada di antara peminat ini telah melihat sedikit teaser yang saya rekodkan semasa saya menjalani proses rakaman lagu dan saya rasa daripada situ juga peminat-peminat sudah tertanya-tanya & tidak sabar untuk mendapatkannya lagi,” katanya.
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
0 comments:
Post a Comment