Loading...
Tuesday, July 22, 2014

Heliza Helmi tidak fikir persiapan raya


ARTIS MELETOP

Heliza Helmi tidak fikir persiapan raya


FIGURA ini sangat sibuk dengan kerja-kerja amal untuk membantu rakyat Palestin.

DISEBABKAN kesibukan mengendalikan program Gerak Gempur Tabung Kecemasan Gaza Aman Palestin, pelakon dan penyanyi Nur Heliza Helmi mengakui dia tidak sempat untuk membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Kata Heliza, dia menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menyediakan kelengkapan sambutan Aidilfitri kepada emaknya, Latifah Muhammad.

“Persiapan raya tahun ini tidak serancak tahun terdahulu dan saya menyerahkan semuanya kepada ibu saya termasuk untuk membeli baju raya.

“Jika tidak pun, saya akan memakai balik baju-baju yang sudah sedia ada atau baju raya tahun sebelum. Memang saya langsung tidak berpeluang untuk meninjau atau menjenguk bazar Ramadan untuk mencari kelengkapan hari raya.

“Begitu juga kuih raya, setiap kali menghadiri acara akan ada pemberian kuih raya kepada saya jadi rasanya tidak perlu membeli lagi, nanti membazir,” ujarnya yang ditemui pada majlis sambutan Nuzul Quran di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Heliza, dia lebih banyak meluangkan masa dengan aktiviti Usrah Fitrah bersama teman-teman artis lain yang menyertai kumpulan tersebut lebih-lebih lagi sejak Gaza, Palestin kembali diserang pertengahan Ramadan lalu.

“Saya agak sibuk dengan aktiviti dan apabila Gaza diserang sekali lagi. Selain gerak tempur untuk mengutip dana tabung keamanan Gaza, kebanyakan masa saya diluangkan untuk beberapa program lain termasuk bisnes Heliza Helmi Hijjab, Heliza Helmi Instant Telekung dan terbaharu, butik pakaian Muslimah, Falah Abiyana.

“Malah, saya cuma sempat berbuka puasa bersama keluarga saya pada hari pertama dan kedua Ramadan saja melainkan ada beberapa acara yang membolehkan pembabitan ahli keluarga saya maka, saya akan bawa mereka bersama-sama,” tambah peserta Akademi Fantasia musim kelima itu.

Dalam pada itu, sempena sambutan Nuzul Quran yang jatuh pada tarikh 15 Julai lalu, kumpulan Usrah Fitrah turut melaksanakan program menarik yang mengajak orang ramai berkumpul di masjid.

Kata Heliza sambutan Nuzul Quran yang berlangsung itu dimanfaatkan dengan beberapa program seperti forum Nuzul Quran & Ghuzwah Badar, halaqah al-Quran, kutipan derma kilat untuk mangsa kekejaman di Gaza, penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal dan pengagihan bubur lambuk kepada masyarakat setempat.

Bom satu kilometer

Sementara itu, berkongsi iltizam dan impiannya untuk kembali ke bumi bergolak, Gaza, Palestin, Heliza tidak putus mengutuskan doa kepada teman-temannya dan saudara Islam di sana.

Kesempatan untuk berhubung dengan beberapa orang kenalannya di sana sejak peristiwa pengeboman pertengahan Ramadan lalu memberikan kekuatan kepada Heliza untuk terus berjihad.

“Masih saya ingat ketika pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza dua tahun lalu, saya menyaksikan sendiri penduduk di sana sebelah tangan kanan mereka memegang al-Quran manakala tangan kiri mereka memegang senjata.

“Kekuatan mereka sebenarnya memberikan semangat kepada saya dan sejujurnya isu Palestin telah menjadi satu isu kemanusiaan seluruh dunia.

“Saya ada berhubung dengan teman saya di Gaza baru-baru ini, bayangkan sedang kami berbalas mesej dia memberitahu satu kilometer dari rumahnya sedang dibom.

“Di sini saya sudah menangis teruk tapi mereka sempat nasihatkan saya agar jangan risau dan memberikan ucapan selamat berbuka puasa. Tidak dapat bayangkan situasi di sana,” tambahnya.

Kembali ke Gaza

Heliza tidak menolak kemungkinan jika diberikan peluang sekali lagi dia mahu kembali ke Palestin untuk menghulurkan bantuan sedaya mampu.

“Sejak dari hari pertama saya dengar pengemboman semula di Gaza saya sentiasa berdoa agar diberikan kesempatan untuk kembali ke sana dan terus bertanyakan Aman Palestin sekiranya mereka mahu menghantar pasukan bantuan ke sana.

“Cuma sekarang, semua pintu masuk ke Gaza ditutup kerana peperangan dan mereka lebih memerlukan bantuan daripada segi kepakaran.

“Takut atau tidak saya letak ketepi kerana perasaan berada di sana amat berbeza. Saya mahu ke sana kerana ingin membawa cerita kekuatan mereka untuk jihad saya di sini (Malaysia) dan berkongsi apakah yang mereka rasa,” katanya.

Sebelum ini, Heliza pernah mengikuti Misi Solidariti Gaza pada hujung tahun 2012 yang membabitkan seramai 111 orang sukarelawan.

Malah, pada awal tahun lalu, Heliza sekali lagi berangkat ke Gaza bersama empat rakan artis Usrah Fitrah iaitu Diana Amir, Zoey Rahman, Yatt Hamzah dan Siti Nordiana untuk menyampaikan sumbangan dana kepada mangsa kekejaman di Gaza, Palestin.




(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP