Loading...
Wednesday, December 11, 2013

Dafi boring tak dak keje

SEBAGAI artis, jika tidak kena dengan cara mempromosikan diri, lambat laun akan tertinggal di belakang dalam persaingan populariti. Maka tidak hairanlah, ramai di antara artis kita cuba untuk mencetuskan kontroversi sendiri demi menaikkan nama dan kekal popular.
Seorang daripadanya ialah Dafi, yang mengakui bahawa kontroversi itu penting bagi perjalanan karier seseorang artis.
Penyanyi berusia 25 ini, terus membina kerjayanya sebagai seorang penyanyi walaupun perjalanan seninya diakui agak membosankan kerana kurang kontroversi.
"Ya, memang betul, perjalanan karier saya sepi daripada cerita panas. Selama enam tahun dalam industri, saya merasakan karier nyanyian saya agak membosankan. Namun, apa saya boleh buat sebab memang saya tidak ada sebarang kontroversi pun. Apapun keadaannya, saya tetap bersyukur dengan apa yang saya miliki ini, seadanya," kata Dafi.
Menurut Dafi, faktor kering dari kontroversi menyebabkan kerjaya nyanyiannya tidak begitu ke depan. Malah, dia juga jarang muncul di media sementelah tidak ada kisah 'panas' mahu diceritakan.
"Saya tahu kontroversi itu adakalanya menyakitkan namun pada masa yang sama tidak boleh dinafikan ia mampu mencetuskan perhatian khalayak terhadap seseorang artis.
"Saya kata begini bukan kerana saya mahukan kontroversi. Sejujurnya dalam masa sekarang, saya sudah tidak kisah lagi dengan populariti. Saya banyak belajar daripada orang yang berpengalaman dan menerima nasihat daripada mereka. Saya tidak mahu orang mengenali saya kerana gosip tetapi saya mahu orang kenal melalui produk atau lagu yang baik, sebab itu saya tak kisah tanpa kontroversi sekalipun," kata duta S.Liner ini lagi.
Apapun, menceburi dunia glamor, Dafi tidak menafikan banyak perubahan telah berlaku dalam hidupnya. Perubahan itu adalah dari segi sifatnya yang pemalu yang telah berjaya ditangani.
"Kalau dahulu, dia seorang yang takut dan malu untuk berhadapan dengan wartawan serta peminat tetapi kini saya lebih kepada menjadi diri sendiri dan matang.
"Saya tidak suka berselindung kerana setiap pergerakan akan sentiasa diperhatikan dan lambat-laun masyarakat akan mengetahuinya. Saya mahu selesa dan lebih rileks," katanya yang kini akan tampil dengan single kedua bertajuk Dalam Hati Ini.
Lagu tersebut yang mengetengahkan konsep pop balada adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ajai dan akan lebih mempamerkan sisi kematangannya seiring dengan usia berbanding lagunya yang terdahulu.
"Jika dahulu lagu yang saya bawakan sesuai dengan umur saya 19 tahun tetapi kini saya mahukan sesuatu yang lebih mencabar dan memilih genre lagu yang matang.
"Peminat saya membesar dengan muzik saya dan harap mereka akan menyokong konsep lagu yang saya tampilkan kali ini," ujarnya yang baru-baru ini mencipta nama di Indonesia sebagai pengacara dan pelakon.
Indonesia lagi
Strategi terus disusun dan dirangka demi mengembangkan sayapnya sebagai penyanyi. Jika sebelum ini, dia pernah mencipta nama sebagai pengacara di Indonesia, kini Dafi mengakui akan terus meneroka negara berkenaan pada tahun hadapan sebagai satu jalan mencari peluang dan menapak di sana.
"Saya tahu agak sukar untuk saya menembusi pasaran di Indonesia, tetapi saya akan cuba sedaya upaya dengan mencari bahan-bahan terbaik untuk lagu terbaharu yang akan dipertaruhkan di sana.
"Tahun ini saya banyak menghabiskan masa untuk merakamkan album baharu saya di sini (Malaysia). Saya juga mahu terbang semula ke Indonesia pada tahun hadapan untuk mencari lagu baharu dan mengembangkan karier di sana.
"Setakat ini sudah ada beberapa syarikat rakaman yang mempelawa untuk menjadi artis naungan mereka serta menawarkan lagu baharu.
"Kenalan sewaktu menjadi pengacara dan teman duet, Gita Gutawa juga bersedia menawarkan peluang untuk saya ke sana lagi," ujarnya yang baru sahaja memenangi tempat ketiga di Festival Muzik Iasi di Romania baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP