Loading...
Wednesday, December 11, 2013

Aaron kumpul sumbangan

BANJIR yang melanda kawasan Pantai Timur telah menarik pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia untuk terpanggil menghulurkan bantuan.
Begitu juga dengan golongan artis yang mengambil inisiatif untuk sama-sama meringankan beban mangsa.
Ini termasuklah aktor Aaron Aziz bersama kelab peminatnya, Aaronataors FC. Atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan, kelab peminat Aaronators FC telah mengadakan acara amal untuk memberi sumbangan kepada mangsa banjir.
Acara amal yang mengumpulkan hampir 300 ahli kelab tersebut telah mendapat kerjasama pihak pasar raya besar Giant, Kota Damansara selain ahli kelab mereka.
Pelbagai barangan harian seperti pakaian, makanan serta barang dapur berjaya dikumpulkan dalam misi tersebut.
Ketika acara amal berlangsung, Aaron juga tidak ketinggalan untuk berbelanja bagi memberi sokongan terhadap program yang dijalankan kelab peminatnya.
"Tiada kos yang besar diperlukan kerana kami semua guna wang sendiri. Acara ini sebenarnya ialah kami menjemput ahli untuk membeli-belah bersama Aaron. Justeru, hasil beli-belah tersebut akan disumbangkan kepada yang memerlukan.
"Namun, ia terpulang kepada kemampuan masing-masing berapa banyak yang ingin mereka sumbangkan.
"Ini merupakan inisiatif kami untuk membantu mereka yang memerlukan sumbangan," jelas Aaron tentang program yang digelar 'acara troli' ini yang dinama- kan Projek Banjir Aaronators ini.
Tambahnya, ini merupakan hasil idea bersama dia dan kelab peminatnya yang sangat menyokong bukan sahaja karier, malah prihatin dengan kejadian semasa.
Bicara aktor tersebut, mereka memang sering melakukan aktiviti amal seumpama ini, malah ini merupakan projek amal ketiga yang diadakan oleh mereka.
"Pertama kali melakukan aktiviti seumpama ini ialah pada bulan Ramadan tahun ini.
"Pada waktu itu, kami telah membantu seorang wanita daif dan uzur. Jadi, kami beri sumbangan kepadanya dalam bentuk sampul raya dan barangan rumah.
"Selepas itu, kami buat acara amal troli iaitu kami berbelanja dan sumbangkan kepada dua buah yayasan anak-anak yatim," jelasnya yang agak terkejut dengan kehadiran pihak media.
Mengenai barangan yang diderma, tutur pengurusnya, Diyana Halik, yang juga merupakan isteri kepada pelakon tersebut berkata, ia akan dihantar ke peja- bat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).
"Kami akan hantar barang ke sana dan terpulang kepada PBSMM ingin agihkan barangan tersebut. Namun, apa yang kami dapat tahu bahawa ia akan di hantar di beberapa daerah di Pahang seperti Kuantan, Pekan serta Temerloh," jelas Diyana.
Selain pihak pasar raya besar Giant, Kota Damansara, Aaronators FC juga menggembleng tenaga bersama stesen radio Era FM dan juga kumpulan duo, Sleeq juga turut kelihatan memberi sumbangan dan sokongan terhadap program tersebut. - NOOR ASHREEN ISMAIL


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP