|
MENJADI raja sehari merupakan impian bagi setiap wanita. Lebih-lebih lagi, apabila pasangan yang bakal bergelar suami itu adalah insan yang telah bertapak di dalam jiwa sejak bertahun-tahun lamanya.
Bagi penyanyi bersuara lantang, Farawahida Razali, perkahwinannya dengan seorang usahawan, Abdul Shukur Mohd. Zain merupakan satu permulaan dalam menerokai kehidupan baharu.
Namun, keengganannya sebelum ini untuk berkongsi dengan pihak media berkaitan hal percintaannya kerap menimbulkan tanda tanya.
Ada yang melabelkan penyanyi berkulit hitam manis itu sebagai sombong atas sikap menyembunyikan kekasih daripada pengetahuan khalayak.
Mengakui kurang mendedahkan tentang kisah peribadi bakal suaminya, pelantun lagu Tanpamu itu mempunyai sebab mengapa dia berbuat demikian.
Ikuti temu bual antara Kosmo! dengan Farawahida mengenai bakal suaminya, persiapan untuk majlis perkahwinan serta perancangan masa hadapan.
Kosmo!: Mengapa anda begitu berahsia mengenai bakal suami?
FARAWAHIDA: Saya bukan tidak mahu menceritakan hal peribadi dan perhubungan saya dengan Shukur, tetapi dia seorang yang pemalu. Dia kurang gemar gambarnya diambil dan disiarkan. Jadi, sebagai bakal isteri, saya harus menghormati keputusannya itu.
Sepanjang perkenalan, Shukur sudah mengetahui anda merupakan seorang penyanyi. Adakah dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan individu yang dikenali ramai?
Dia sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Sepanjang lapan tahun mengenali antara satu sama lain, dia sudah faham dengan status saya sebagai seorang selebriti.
Bagaimana anda menjalinkan hubungan cinta sebegitu lama tanpa disedari oleh orang ramai?
Tipulah jika saya mengatakan tiada sesiapa yang perasan. Ketika keluar bersama, ada juga orang yang melihat tetapi setakat ini, tidak pernah pula gambar kami berdua tersebar. Mungkin saya kurang popular? (ujarnya sambil ketawa).
|
Bagaimana anda dan Shukur berhadapan dengan pihak media sebelum ini?
Alhamdulillah, kawan-kawan media sangat memahami. Jika saya membawanya ke majlis-majlis tertentu, mereka tidak akan mendesak untuk mengambil gambar. Mereka sangat menghormati permintaan Syukur.
Boleh ceritakan sedikit mengenai persiapan perkahwinan anda berdua?
Saya memberikan kepercayaan kepada perancang majlis, Empayar Che Det untuk menguruskan majlis perkahwinan saya nanti. Untuk majlis pernikahan, saya akan mengenakan busana daripada Syarakim manakala bagi majlis bersanding pula, saya akan menyarungkan rekaan Wan Azlan & Zainurin Couture dan Jimmy Moschino. Majlis resepsi akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak.
Apakah tema majlis perkahwinan anda nanti?
Menurut Che Det, majlis pernikahan saya nanti akan diserikan dengan batu-batu karang dan mutiara. Pada sebelah malam pula, majlis persandingan bertemakan Glamour Extravaganza.
Setelah bergelar seorang isteri, adakah suami akan mengenakan syarat dan mengehadkan aktiviti seni anda?
Sepanjang menjalinkan hubungan dengannya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktiviti nyanyian saya. Dia faham yang saya sangat cintakan bidang nyanyian. Mungkin tiada masalah untuk saya meneruskan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi.
Harapan anda setelah bergelar seorang isteri?
Saya sangat bersyukur kerana dijodohkan dengannya. Sebagai seorang isteri, saya akan menggalas tanggungjawab yang lebih berat. Kami akan memberikan sokongan antara satu sama lain. Justeru itu, saya berharap agar persefahaman ini akan memberikan impak yang positif terhadap hubungan kami sebagai suami isteri.
0 comments:
Post a Comment