Loading...
Wednesday, December 11, 2013

Kaka bila berlakon

WALAUPUN baru dua tahun menjejak kaki ke dalam industri muzik tempatan, namun Kaka tidak mahu membataskan dirinya hanya dalam satu bidang sahaja.
Ternyata, wanita berusia 24 tahun ini sentiasa memberi peluang kepada diri untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu.
Buktinya, Kaka atau nama yang diberi, Nor Atiqa Noor Azraff bakal terlibat dalam teater lakonan sulungnya berjudul Bukan 404.
Menariknya di dalam teater tersebut, biar ia kemunculan perdananya, Kaka diberi peluang memegang watak utama bernama Mira.
Selain teruja ingin mempertontonkan bakatnya dalam bidang yang pertama kali diceburinya ini, Kaka juga seronok melakukan latihan dan menganggap ia sebagai satu tawaran yang serius.
"Apa yang boleh saya katakan, pertama kali berlakon teater, ia merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan.
"Sebenarnya pada masa yang sama, saya sendiri menimba banyak pengetahuan daripada semua yang terlibat kerana saya memang tidak mempunyai asas lakonan dan berlakon.
"Lebih daripada itu, apabila dapat bekerja dengan pengarah yang sangat disegani dalam industri teater ini, saya rasa berbesar hati.
"Justeru, saya anggap tawaran yang diberikan ini sebagai sesuatu yang serius kerana mungkin Raja Azrey nampak 'sesuatu' dalam diri saya dan apa kemampuan saya," bicara Kaka menjawab soalan pertama tentang keberaniannya menerima tawaran bermain di gelanggang teater.
Tambahnya, banyak perkara yang mampu dipelajari daripada latihan teater yang dilakukan.
Antaranya ialah teknik mengawal pernafasan serta pergerakan di atas pentas yang menurut gadis ini boleh diguna pakai untuk bidang nyanyian.
Tidak sukar
Setelah melalui latihan hampir sebulan cerita Kaka, permulaan bagi dirinya dalam bidang yang masih hijau ini tidaklah terlalu rumit kerana pengarahnya, Raja Azrey mengamalkan sikap keterbukaan.
"Mungkin kerana saya masih baharu dalam bidang ini, cara pengajaran daripada pengarah tidak terlalu berat. Ia membuatkan saya dapat memperoleh pembelajaran itu dengan mudah.
"Justeru, saya rasakan ia tidak sukar, cuma apa yang saya saya pelajari, pelakon perlu ada dalam situasi penceritaan tersebut iaitu bagi saya, penghayatan merupakan satu elemen penting dalam teater," jelas Kaka berkongsi pengalaman.
Kongsinya lagi, untuk bersetuju menerima tawaran ini, dia mengambil masa beberapa hari sebelum memberi jawapan muktamad.
Namun, setelah meminta pendapat daripada rakan-rakan seperjuangan dan pengurusnya, akhirnya Kaka akur dengan peluang yang diberi kepadanya.
"Bila abang Raja beritahu dia nampak 'sesuatu' dalam diri saya, ketika itu saya fikir mungkin saya tidak nampak perkara itu dan saya harus cuba beri peluang kepada diri.
"Saya perlu cuba untuk lakukan perkara ini kerana jika tidak, saya tidak tahu apa kemampuan saya.
"Memang saya fikir panjang dan pengurus saya beritahu saya supaya mencuba kerana banyak perkara yang boleh dipelajari ketika sesi pembelajaran teater.
"Alhamdulillah, setelah hampir sebulan membuat latihan, minat saya terhadap bidang ini mula timbul.
"Saya rasa, pada masa akan datang jika ada peluang lain yang datang, dengan besar hati saya menerimanya" tuturnya.
KARYAWAN teater Bukan 404 (dari kiri), Raja Azrey, Khaty Azean, Kaka dan Boy Iman.


Cabaran
Ditebak persoalan mengenai cabaran bagi dirinya, jelas Kaka, menambah dialog (ad-lib) merupakan cabaran terbesar yang dilaluinya semasa sesi latihan.
Bicaranya, perkara ini menjadi kesukaran buat diri kerana dia tidak mempunyai pengalaman dalam lakonan. Justeru, dia perlu bijak menyesuaikan diri dengan pantas terhadap situasi dalam setiap babak.
Bagaimanapun, untuk mengeluarkan air mata bukan perkara mustahil dan sukar buat wanita kelahiran Klang, Selangor ini.
"Memang ada babak menangis yang perlu saya lakonkan, dan bagi saya ia agak mudah untuk dilakukan. Ini kerana, sewaktu kecil saya punya tabiat yang mana saya gemar duduk di hadapan cermin dan berlakon menangis.
"Jadi, tidak sangka pula, tabiat itu dapat saya guna pakai dalam teater. Ya, tiada masalah untuk saya mengalirkan air mata, cuma saya perlu lebih menghayati babak tersebut supaya penonton juga dapat rasa apa yang saya cuba sampaikan," ungkap Kaka tentang rahsia sewaktu kecilnya.
Perkembangan
Walaupun sibuk dengan bidang baharunya itu, tutur Kaka, nyanyian tetap menjadi keutamaan buat dirinya.
Bercerita mengenai perkembangannya, dia kini sedang sibuk menguruskan single solonya yang diberi judul Terpulanglah.
Tambahnya, jika tiada halangan, single tersebut bakal menemui peminat pada hujung Disember ini.
Bagaimanapun, bukan bidang lakonan dan nyanyian sahaja yang memenuhi jadual karier Kaka, wanita ini juga melibatkan diri dalam bidang pengacaraan.
"Sebenarnya, saya sedang mencuba semua bidang. Walaupun begitu, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan saya.
"Pengacaraan memang minat saya sejak kecil terutama untuk program bercorak travelog atau makan-makan kerana saya rasa ia sesuatu yang menyeronokkan," bicara Kaka yang tidak lokek dengan senyuman sepanjang temu bual berlangsung.
Akhirinya mengenai bidang lakonan pula, perasaan ingin mencuba muncul dalam diri kerana ingin melihat sejauh mana bakatnya mampu pergi.
Jika bagus, mungkin dia akan mencuba lagi dan jika tidak, dia akan berhenti.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP