Loading...
Monday, December 9, 2013

Kaka ke teater pulok

Nama Kaka Azraff selama ini lebih dikenali sebagai seorang penyanyi. Tetapi, Kaka nampak tidak mahu namanya tersekat di peringkat itu sahaja.
Sebelum ini, tidak nampak pula kelibat Kaka di layar kaca menerusi drama mahupun filem, tetapi entah kenapa, tiba-tiba namanya muncul dalam pementasan teater Bukan 404.
Menerusi teater itu yang bakal diadakan di Auditorium MPAJ, Pandan Indah Kuala Lumpur bermula 13 hingga 15 Disember ini, Kaka bakal membawa teraju utama teater itu.
Kaka mengakui, agak sukar baginya untuk menerima tawaran tersebut memandangkan dia sendiri belum pernah mempunyai pengalaman dalam lakonan sebelum ini.
"Saya ambil masa hampir seminggu juga untuk berfikir sama ada mahu menerima tawaran untuk watak ini.
"Malah, sepanjang seminggu itu, saya bertanya kepada pelakon-pelakon lain termasuk Johan As̢۪ari dan Zizan.
"Mereka memberi sokongan kepada saya untuk menyertai bidang teater, malah, melalui teater, banyak yang saya belajar daripada teater yang boleh diguna pakai untuk persembahan pentas saya," katanya.
Jelas Kaka, menerusi teater, dia dapat belajar pelbagai aspek melibatkan penguasaan pentas, kawalan pernafasan dan lain-lain lagi.
"Ini adalah kali pertama saya berlakon teater dan pengalaman ini memang sesuatu yang sangat menyeronokkan.
"Saya tidak tahu berlakon, tetapi bila dapat tawaran daripada Raja Azrey, pengarah teater yang disegani memang satu penghargaan pada saya.
"Mungkin Raja Azrey nampak sesuatu pada diri saya yang saya sendiri tidak nampak," ujar anak saudara kepada Ratu Rock, Ella ini.
Tambah gadis ini lagi, apa yang mencabar pada dirinya sepanjang berlakon teater ini adalah ketika dia perlu mencipta situasi sendiri ketika di atas pentas.
"Cabaran yang paling berat ialah ketika saya kena ad-lib sesuatu situasi di atas pentas. Seperti menukar situasi sedih kepada seronok.
"Tetapi cabaran seperti ini yang buat saya sentiasa hendak lakukan sebagai salah satu cara untuk menguji diri sendiri," jelasnya.
Setelah hampir sebulan lebih berlatih, Kaka mengakui dirinya kini semakin tertarik dengan bidang pementasan teater.
"Saya semakin minat dengan teater, malah, selepas ini jika ada tawaran untuk berlakon teater, pasti saya tidak akan menolak," ujarnya.
Kongsi Kaka lagi, membawa teraju utama dalam pementasan teater ini juga dianggap sebagai satu cabaran buat dirinya untuk menguji kemampuan diri.
"Saya rasa puas bila dapat bawakan watak ini mengikut kehendak pengarah. Itu yang mendorong saya ambil cabaran ini dan lakukan sebaik mungkin.
"Lagipun Raja Azrey sebagai pengarah banyak memberi penekanan tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya pun masih baru.
"Bagi saya, jika pengarah sendiri sudah memberi kepercayaan kepada saya, maka saya sendiri perlu percaya kepada keupayaan diri.
"Jadi saya simpulkan pada diri untuk tidak takut dan cuba melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya.
Tidak mahu dibayangi
Semenjak memulakan kerjayanya sebagai penyanyi pada hujung 2011, belum nampak lagi hasil daripada Kaka yang menonjolkan dirinya sendiri.
Malah, Kaka yang mula dikenali dengan lagu Bawaku Pergi dibayangi dengan susuk Zizan dalam lagu itu.
Kemunculan lagu Infiniti Cinta juga menampilkan dia sekali lagi bersama dengan Zizan. Malah, Kaka juga mengakui dia dijemput oleh Sleeq untuk menyanyi bersama mereka.
Timbul persoalan yang membuatkan Kaka nampak seperti takut untuk berdikari dalam industri muzik.
Bagi Kaka, dia sedar mengenai perkara itu sebaliknya menggunakan pendekatan untuk tidak terburu-buru dalam menampilkan sisi sebenar dirinya dalam industri seni.
"Saya tidak peduli dengan gelaran menumpang populariti atau sebagainya kerana saya anggap ia sebagai satu rezeki buat saya.
"Ada orang kata Kaka menumpang Zizan dan Sleeq sebab mereka sudah dikenali ramai dan saya tidak menyangkal perkara tersebut.
"Mereka memang popular dan saya anggap ia satu rezeki bila mereka mahu berduet dengan saya. Jadi tidak ada masalah," jelasnya.
Tambah Kaka, dia akan menunjukkan sisi sebenar dirinya dalam industri tetapi mungkin secara perlahan-lahan.
Buktinya, single solo Kaka berjudul Terpulanglah sudah siap dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dikeluarkan.
"Sepatutnya hujung tahun ini tetapi ia semua bergantung kepada pihak pengurusan. Lagu semua sudah siap dan ia bergenrekan irama R & B," ujarnya.
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh QZ itu akan menunjukkan sisi diri Kaka yang berbeza daripada sebelum ini.
"Dia adalah sisi pada diri saya yang orang tidak pernah dengar dan itulah yang mahu saya tonjolkan kepada pendengar," ujarnya.
Ditanya bilakah peminatnya boleh mendapat album penuh daripada Kaka, jelasnya, dia lebih gemar mengeluarkan single dahulu.
"Saya rasa, bila keluarkan single, saya lebih dekat dengan peminat dan pendengar. Sebab, single boleh dikeluarkan tanpa menunggu masa yang lama.
"Mungkin lepas sudah banyak single daripada saya keluar, saya akan kumpul dan jadikan ia dalam bentuk album pula," jelasnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP