Loading...
Tuesday, December 10, 2013

Lefthanded di melaka

Sudah 15 tahun kumpulan Lefthanded tidak menghiburkan peminat di negeri bersejarah Melaka. Justeru, kumpulan yang kembali bergabung ini menjanjikan satu persembahan hebat pada konsert mereka yang berlangsung di Hard Rock Cafe (HRC) Melaka pada 22 Disember ini.
Penyanyinya, Nash berkata, Hard Rock Cafe masih baru dan mereka berbangga apabila diberi penghormatan beraksi di lokasi yang menjadi tumpuan ramai pelancong di negeri bersejarah itu. 
“Lefthanded menjanjikan sebuah persembahan yang dapat menghiburkan peminat setia kami. Konsert ini akan berlangsung dalam dua segmen dan saya akan menyampaikan 16 lagu. Kami tak menjanjikan gimik kepada peminat tapi saya pasti akan menyampaikan lagu-lagu yang pernah menjadi siulan mereka suatu ketika dulu,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Menurut Nash, dia berterima kasih kepada pemain gitar Lefthanded, Man Kidal yang bekerjasama dengan isterinya, Nurlaila Yusof menerusi syarikat Keedal Entertainment kerana mencetuskan idea bagi menganjurkan konsert ini.
“Ia bermula dengan per­sembahan di beberapa lokasi lain dan kini kami akan beraksi di Hard Rock Cafe Melaka. Lebih menarik, konsert kali ini akan menampilkan artis undangan iaitu Mus May dan Silah (Silahuddin Ali) yang dikenali menerusi program Kilauan Emas.

“Saya tak rasa kekok untuk beraksi bersama mereka kerana hubungan dengan Mus sudah lama terjalin manakala Silah sudah dikenali sejak zaman sekolah. Apabila Man beritahu nak menjemput mereka, saya berasa ini satu peluang untuk menunjukkan persembahan hebat kepada peminat. 

“Istimewanya, selain saya dan Man Kidal, konsert ini turut menampilkan ang­gota asal Lefthanded lain iaitu Yan (bass) dan Man Dayak (dram). Cuma tempat Allahyarham Samad Mian sebagai pemain gitar diambil alih anak Man Kidal iaitu Elly. Persembahan akan dimantapkan dengan pemuzik undangan iaitu Tom yang bermain dram,” katanya. 

Seperti Nash, Man Kidal turut menjanjikan satu persembahan hebat buat peminat yang tidak jemu-jemu menyokong perjuangan mereka dalam seni. Apatah lagi, Lefthanded sudah lama tidak mengadakan konsert dalam skala besar seperti dulu. 

“Konsert ini bermula di Hard Rock Cafe Pulau Pinang dan seterusnya ke Singapura. Sambutan yang diterima di setiap lokasi amat bagus membuatkan kami terfikir untuk mengadakannya di Melaka pula. Untuk konsert di sini, kami dapat kerjasama daripada Cathill Studio yang akan merakamkan persembahan kami dan menghasilkannya dalam bentuk DVD. 

“Sekurang-kurangnya peminat yang tak berpeluang menyaksikan konsert ini dapat menikmatinya menerusi DVD ini. Mengenai pembabitan Silah, saya pernah mencuba menggunakan khidmatnya di beberapa lokasi sebelum ini dan mendapati persembahannya bagus. 

“Selain persembahan, kami turut mengadakan beberapa aktiviti sampingan seperti konvoi motosikal berkuasa besar dari Kuala Lumpur ke Melaka serta jualan lelong gitar bagi membantu mangsa banjir di Malaysia. Saya harap peminat hadir beramai-ramai nanti,” katanya. 

Dalam pada itu, Man Kidal tanpa berselindung me­ngakui berhasrat me­ngadakan konsert lebih besar seperti di Istana Budaya. 

“Konsert sekarang adalah pengenalan sebelum kami ke arah itu. Konsert di Hard Rock Cafe Melaka diibarat­kan seperti isyarat buat peminat yang sudah lama menanti untuk menyaksikan persembahan Lefthanded. Kami sedar untuk mengadakan konsert bersama orkestra memerlukan kos yang tinggi dan mengharapkan penajaan. 

“Lefthanded juga belum mempunyai pengurusan yang betul seperti kumpulan Wings. Kami menuju ke arah itu dan saya harap isteri saya dan rakan kongsi daripada Cathill Studio dapat membantu untuk merealisasikan impian ini. Kami akan cuba cari jalan untuk persembahan besar kerana Lefthanded mempunyai banyak lagu yang ‘evergreen’ dan disukai ramai,” katanya. 

Selain aktif bermain muzik, Man Kidal juga mengusahakan bisnes jualan minyak wangi jenama MK dan gitar jenama Man Kidal yang dihasilkan mengikut teknologi Amerika Syarikat (AS), Jepun atau Jerman. 

Tiket untuk menyaksikan konsert Lefthanded berharga RM70 dan RM80 boleh dibeli di kaunter Hard Rock Cafe Melaka atau boleh menghubungi talian 06-2925188 untuk pertanyaan.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP