TERKEJUT seketika apabila melihat perubahan diri pelakon Tiz Zaqyah ketika bertemu dengannya semasa majlis pelancaran program kesedaran mencegah kanser, May Cares For You 2 yang berlangsung di Giant Hypermarket, USJ 1, Subang Jaya baru-baru ini.
Manakan tidak, ketika membuat kemunculan dalam majlis berkenaan sebaik sahaja namanya diumumkan oleh pengacara, kelihatan susuk tubuh badannya yang semakin berisi sekarang, tetapi masih kekal jelita.
Apabila ditanya mengenai perkara tersebut kepada empunya diri, pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak itu lantas tertawa dan tidak menafikan sedang melalui pertambahan berat badan.
"Memang ramai menegur perubahan fizikal saya yang kini semakin berisi, malah ada beberapa orang pengarah yang meminta supaya saya menurunkan berat badan supaya tidak menjejaskan kerjaya saya.
"Tidak dinafikan ia agak memberi tekanan apabila mendapat banyak teguran, tetapi saya enggan terlalu memikirkan sangat sehingga membuat fikiran saya menjadi bertambah kusut," ujarnya.
Mengakui tidak pernah mengambil berat tentang pengambilan makanan, Tiz beranggapan bahawa perkara yang lebih penting adalah mempunyai keyakinan yang tinggi apabila berada di depan kamera serta bersyukur dengan keadaannya sekarang.
Berkenaan dengan kisah dirinya yang kurang diperkatakan serta jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi sejak kebelakangan ini, pelakon itu merasakan ia merupakan satu petanda yang cukup positif.
Tidak kisah apabila cerita mengenai dirinya jarang dipaparkan di dada-dada akhbar atau majalah, dia melihat keadaan tersebut membuatkan dirinya dapat memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya.
"Saya berasa cukup tenang sekarang kerana tidak perlu menjawab pelbagai persoalan apabila timbul sesuatu cerita mengenai diri saya.
"Adakalanya berasa penat juga untuk melayan setiap pertanyaan yang diajukan, terutamanya yang membabitkan kisah peribadi.
"Apabila kisah peribadi saya lebih menjadi tumpuan, seolah-olah orang lupa terhadap pekerjaan saya sebagai pelakon. Saya lebih gemar kalau dikenali ramai kerana produk yang bermutu dan mendapat sambutan penonton," jelasnya.
Menurut Tiz, dia juga sangat berpuas hati dengan perjalanan kariernya sepanjang tahun ini memandangkan tawaran yang tidak henti-henti serta setiap drama bersiri lakonannya seperti Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Jodoh Itu Milik Kita begitu diminati ramai.
"Secara jujurnya, saya merasakan tahun ini adalah yang terbaik buat diri saya sepanjang bergelar pelakon. Selain karier yang semakin berkembang, saya jarang dikaitkan dengan gosip dan keadaan sedemikian cukup menyenangkan diri saya," ujarnya.
Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, pelakon yang baru pulang dari New York, Amerika Syarikat untuk menjalani penggambaran telemovie Oh! My English bulan lalu berkata, selepas ini dia akan terbabit dengan drama bersiri berjudul Chef.
Jelasnya, drama bersiri sepanjang 60 episod itu akan menampilkan dirinya bersama Aaron Aziz dan seorang pelakon terkenal dari Filipina iaitu Jericho Rosales dan akan memulakan penggambaran dalam tempoh terdekat.
Berlakon teater
Biarpun sudah tampil agak cemerlang di kaca televisyen dan layar perak, Tiz menyatakan dia menanam impian untuk tampil di pentas teater dan berharap ia bakal direalisasikan pada tahun 2014.
Menurut pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Nur Kasih itu, sebelum ini dia pernah menerima tawaran berlakon teater, tetapi terpaksa ditolak lantaran jadual kerja yang tidak mengizinkan.
"Sebagai seorang pelakon, saya merasakan ia adalah suatu langkah yang paling berkesan untuk mengasah lagi bakat lakonan yang sedia ada serta cabaran yang dilalui juga nyata jauh berbeza.
"Tidak kisah sama ada pementasan teater berskala kecil atau besar kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman yang dilalui itu pastinya lebih berharga untuk perkembangan karier saya," ulasnya mengenai impian yang sudah terpendam sejak sekian lama itu.
Selain berhasrat mahu berlakon teater, pelakon cantik itu juga menyatakan bahawa pada tahun hadapan dia mahu kembali berlakon filem setelah kali terakhir tampil di layar perak pada 2012 menerusi filem Cinta Kura-Kura.
"Pada tahun ini saya memang lebih banyak tampil dalam drama bersiri membabitkan episod yang panjang serta penggambaran yang dilakukan pula mengambil masa selama beberapa bulan.
"Itu adalah salah satu faktor yang menyebabkan saya tidak terlibat dalam penggambaran filem sekarang. Mungkin saya akan kurangkan berlakon drama bersiri yang panjang dan bersedia menerima sebarang tawaran lakonan untuk filem pula," ujarnya.
Enggan terburu-buru
Meskipun menyatakan keengganannya untuk bercerita tentang hal-hal yang bersifat peribadi, Tiz tetap terbuka dan sudi bercerita mengenai perkembangan terkini hubungannya dengan kekasih yang dikenali sebagai Daniel Haziq.
|
Menurut Tiz, buat masa ini hubungan mereka berdua masih lagi berjalan seperti biasa, namun masih belum ada lagi sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
"Dengan pelbagai cerita membabitkan masalah rumah tangga serta penceraian yang dialami banyak pasangan membuatkan saya seperti agak takut pula untuk berkahwin sekarang.
"Lagipun saya enggan terburu-buru melalui fasa alam perkahwinan dan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin dalam tempoh tertentu. Kalau sudah ditakdirkan jodoh saya dengan kekasih, pastinya kami akan tetap berumah tangga," ujar pelakon yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-25 pada 25 Oktober lalu.
Jelasnya, dengan kesibukan dirinya dan kekasih ketika ini membuatkan masing-masing mahu lebih fokus terlebih dahulu kepada kerjaya dan akan memberitahu kepada umum sekiranya mereka sudah bersedia untuk berkahwin.
0 comments:
Post a Comment