Loading...
Tuesday, December 10, 2013

Akui watak drama ini sama dengan hidup shaznaz

"CINTA itu hadir kerana perkenalan, bersemi kerana perhatian, bertahan kerana kesetiaan," begitulah antara bait indah yang dipetik daripada novel karya E-Man Sufi, Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang kini diadaptasi menjadi sebuah drama bersiri.
Drama terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. itu diarahkan oleh Jamal Khan dan bersiaran sebanyak 60 episod.
Bukan Kerana Aku Tak Cinta mengisahkan kehidupan Jebat (Sharnaaz Ahmad) seorang lelaki berdarah campuran Melayu dan Cina yang berubah menjadi individu baik selepas keluar daripada 'jalan hitam'.
Sifatnya yang tenang, rajin dan baik hati telah menarik perhatian Mastura (Nelydia Senrose) dan pelbagai cara dilakukan gadis itu untuk mencuri perhatian Jebat tanpa berputus asa.
Drama bersiri hebat itu turut dibantu Iqram Dinzly, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Tony Eusoff dan Alex Yanz.
Ujar penerbit drama itu, Ziela Jalil, pihaknya cuba untuk tidak mengubah jalan cerita asal yang diadaptasi daripada novel itu untuk menjamin kepuasan penonton.
"Drama saduran pertama Jodoh Itu Milik Kita telah mendapat sambutan luar jangkaan daripada penonton dan atas alasan itu kami melanjutkan dengan drama kedua iaitu Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
"Seboleh-bolehnya kami akan mengikut jalan cerita asal sehampir mungkin kerana bimbang pengikut setia novel itu akan mempertikaikan intipati drama ini sekiranya diubah-ubah," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Best Western Premier, Dua Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BARISAN karyawan drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta bergambar kenangan selepas majlis pelancaran drama tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Sementara itu, untuk menjayakan watak Jebat dalam drama itu kata Sharnaaz Ahmad, dia terpaksa membotakkan kepalanya dan menambah berat badan untuk membawakan watak yang diinginkan.
"Dengan rela hati saya membotakkan kepala untuk menjayakan watak Jebat dan menaikkan berat badan kerana saya juga perlu menayangkan badan dalam beberapa babak drama ini.
"Sejujurnya, karakter Jebat sangat dekat dengan saya dan sedikit sebanyak mencerminkan diri saya yang sebenar. Selepas membaca novel ini, saya dapati perjalanan kehidupan Jebat hampir sama dengan saya," jelasnya.
Sementara itu, kata Nelydia yang baru pertama kali digandingkan bersama Sharnaaz, dia harus meningkatkan prestasi lakonannya demi meletakkan dirinya dan karakter yang dibawa setaraf dengan Sharnaaz.
"Watak Mastura berbeza daripada karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Dia tidak mengenal erti putus asa untuk memikat hati seorang lelaki yang disukainya.
"Apabila berlakon dengan Sharnaaz, dia memang seorang pelakon yang akan menjiwai watak sampai terbawa-bawa ke luar set penggambaran. Oleh itu, saya sendiri perlu memperbaiki diri dan kualiti lakonan saya untuk membentuk karakter setanding dengannya," kata Nelydia.
Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta menjalani penggambaran di lokasi asal dalam novel itu iaitu di Mentakab, Pahang.
Lebih menarik, lagu runut bunyi utama drama itu dinyanyikan khas oleh paduan suara Rossa dan Hafiz Suip untuk lagu berjudul Salahkah.
Bukan Kerana Aku Tak Cinta kini sudah menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10 malam sejak 9 Disember lalu di saluran Mustika HD (saluran 134 Astro) - KHAIRUL AMRI HASSAN.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP