KEmanisan bercinta sebelum berkahwin dan selepas bergelar suami isteri begitu berbeza apatah lagi apabila masing-masing mempunyai tanggungjawab besar dalam kerjaya.
Berbual dengan pasangan Fizo Omar dan Mawar Abd. Karim membuatkan hati tertanya-tanya, bagaimana dimaksudkan dengan kemanisan berumahtangga dalam keadaan hidup mereka yang sentiasa sibuk ke hulu dan ke hilir?
Sepanjang berbual-bual, boleh disimpulkan, kedua-dua mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan. Daripada 24 jam, hanya beberapa jam sahaja masa yang boleh diperuntukkan bersama-sama.
Kerjaya nampaknya telah menghalang mereka untuk terus bercinta seperti pasangan pengantin baharu yang lain. Bagaimanapun, pasangan ini memahami tugasan masing-masing dan itu penting sesudah melayari bahtera rumah tangga.
"Memang tidak dinafikan, kebanyakan masa saya dan isteri berlegar dalam ruang lingkup perniagaan. Tetapi kami tidak kisah, kerana kerjaya kami adalah sebagai ahli perniagaan.
"Jadi, jika kami banyak bertemu di waktu kerja dan jarang berada di rumah ia tidak bermaksud kami tidak bahagia dalam erti kata sebenarnya," jelas Fizo.
Bagi Fizo, erti kebahagiaan itu sebenarnya luas dan masing-masing mempunyai pengertian dan cara untuk mereka mencari kebahagiaan.
"Kami masing-masing sibuk dengan kerjaya dan perniagaan jadi kami perlu mencari satu memori dan masa untuk diluangkan bersama.
"Sebab itu kami selalu melancong ke luar negara bersama-sama. Ini merupakan peluang untuk saya dan isteri merapatkan lagi hubungan kami dan lebih mengenali antara satu sama lain.
"Memang betul di ibu kota pun kami selalui berjumpa sebagai suami isteri tapi disebabkan kesibukan, adakalanya di sebelah malam baru kami dapat berjumpa," jelasnya.
Disebabkan itu, Fizo memilih untuk melancong bagi melarikan diri seketika untuk bersama dengan isteri sebagai menghargai usaha keras yang dilakukan oleh diri masing-masing.
"Kami bekerja penat-penat sampai ke tengah malam setiap hari. Jadi, tidak salah kiranya kami berbelanja untuk menghargai diri masing-masing dan mencuri masa untuk bercinta semula.
"Kadang-kadang ada juga yang cakap kami asyik melancong sahaja. Kononnya mentang-mentanglah kami banyak duit. Tetapi sebenarnya bukan itu tujuan utama kami.
"Itu cara untuk kami mengintimkan lagi hubungan dan lebih privasi. Sebagai pasangan yang berniaga, rasanya, selagi kami ada di negara, selagi itu kami akan fikir pasal perniagaan, masalah itu dan ini. Hanya dengan bercuti kami betul-betul dapat berehat," ujar Fizo.
Baharu meniti usia perkahwinan selama empat bulan, segalanya masih manis lagi, namun semakin lama semakin banyak cabaran yang bakal ditempuhi.
Malah, sejak akhir-akhir ini, banyak pasangan selebriti terutamanya mempunyai pergolakan dan akhirnya memilih keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Sibuk dengan kerja menjadi alasan sesetengah pasangan untuk mereka mengabaikan rumah tangga tetapi bagi Fizo, itu bukan masalah besar bagi mereka.
"Disebabkan sibuk dengan kerja membuatkan rumah tangga bergolak, itu sebenarnya sesuatu yang subjektif.
"Apa yang penting ialah sifat memahami antara satu sama lain. Macam kami, kedua-dua merupakan usahawan dan kami faham kerja masing-masing. Bagaimana penatnya menguruskan perniagaan, bila balik ke rumah hilang semua penat melihat pasangan kita," ujarnya.
Mawar sebagai isteri
Fizo sedar, dia dan isteri tidak melalui tempoh percintaan yang lama sebelum berkahwin. Hanya beberapa bulan berkenalan, mereka bersetuju untuk diijabkabulkan pada 10 November 2013.
Justeru, banyak perkara yang dilakukan bersama hanya setelah mereka sah bergelar suami isteri. Fizo sedar bahawa bukan mudah tugas yang digalas di bahu isterinya sebagai seorang usahawan dan itu membuatkan dia hormat kepada Mawar.
"Sepanjang bersama dengannya, Mawar tidak pernah melupakan tanggungjawab asasnya sebagai isteri terutamanya dari segi pemakaian dan makanan saya.
"Kedua-dua perkara itu sangat dititikberatkan oleh Mawar dan memang saya bersyukur kerana dia mampu melakukan dua kerja dalam satu masa," jelasnya.
Bagi Fizo, tidak hanya melihat Mawar sebagai seorang isteri, wanita itu juga pelengkap dalam hidupnya sebagai sahabat mahupun sebagai rakan perniagaan.
"Banyak benda yang kami kongsi bersama dan dia tidak pernah letih dengan luahan saya. Dia memahami segenap hidup saya dan kerja saya.
"Itu yang buat kita seronok kerana ada teman yang memahami kerja dan perasaan kita," katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment