Loading...
Monday, February 24, 2014

Fulus bukan rancangan suka suka

Pengacara program Fulus musim kedua, Faizal Ismail, awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada masyarakat di luar sana jangan ada yang melabelnya ustaz atau alim ulama hanya kerana program itu diterbitkan stesen TV AlHijrah.
Menurut bekas penyampai radio Hot FM itu, dia sendiri tergamam dan terkejut apabila pihak penerbitan melamarnya untuk mengendalikan program sebanyak 13 episod itu kerana latar diri dan pengalamannya yang begitu sinonim dengan dunia hiburan.
"Saya sendiri tertanya-tanya apakah kriteria yang ada pada saya sehingga mereka berasakan yang saya layak untuk mengacarakan Fulus iaitu program bual bicara pengurusan kewangan Islam. Selepas mereka memberikan penjelasan, saya perlu sahut cabaran ini kerana jika saya menolaknya, kerjaya saya akan terus berada di takuk lama.

"Mengacarakan Fulus adalah anjakan paradigma kepada bidang pengacaraan yang saya ceburi selama ini. Tercapailah hasrat saya untuk mencuba bidang baru selepas mengambil keputusan berundur daripada Hot FM pada Oktober tahun lalu
BERSAMA panel jemputan dalam program Fulus.

"Mengacarakan Fulus adalah perkara yang tidak pernah saya jangka dan pada masa sama tidak boleh saya lepaskan sekali gus ia membuktikan yang saya berkemampuan mengacarakan program lain di samping hiburan. Biarpun saya bukanlah berstatus ustaz atau alim ulama, inilah sedikit amal jariah saya kepada masyarakat," katanya.

Faizal sendiri mengakui, dia banyak belajar sistem kewangan yang betul menurut garis panduan yang ditetapkan dalam Islam daripada perkara semudah menyimpan wang dalam institusi kewangan sehinggalah kepada urusan pinjaman dan pelaburan yang semuanya mesti berlandaskan hukum agama.

"Mengacarakan Fulus adalah peluang terbaik kepada saya untuk mendalami ilmu pengetahuan baru yang ada ketikanya kita ambil mudah. Inilah dakwah saya kepada masyarakat di luar sana," katanya.

Umum sedia maklum TV AlHijrah menetapkan garis panduan tertentu dalam setiap program terbitannya dan menyedari akan perkara itu Faizal berhati-hati meletakkan diri serta karakternya agar menepati perjuangan stesen TV itu.

"Meskipun pihak stesen tidak memberi panduan khusus kepada saya, tetapi saya sedia maklum arah perjuangan mereka lantas saya perlu meletakkan diri saya dalam posisi dan karakter selaras kehendak mereka. Tidak bolehlah saya mengacarakan Fulus sebagaimana saya mengendalikan program hiburan yang biasa saya buat.

"Namun begitu, mereka masih memberi kebebasan kepada saya untuk mengendalikan Fulus dalam bentuk santai kerana fokus utama program ini untuk tontonan golongan muda," katanya.

Program itu sudah siap dirakamkan dan mulai bersiaran pada 21 Febuari lalu, setiap Jumaat, jam 9 malam berdurasi selama setengah jam.

Menurut Penerbit Kanan TV AlHijrah yang juga produser program ini, Noor Harlida Abu Bakar, Fulus musim pertama diacarakan Afdlin Shauki.

"Pada musim pertama lagi kami mahukan Faizal, tetapi kerana kesibukannya kami menawarkannya kepada Afdlin. Untuk musim kedua ini, Fulus terus memperkatakan mengenai pengurusan kewangan dalam Islam dan pemilihan Faizal dibuat kerana kami mahu Fulus diacarakan dalam suasana yang lebih relaks.

"Kami mahu memberi pembaharuan kepada program bual bicara terbitan TV AlHijrah. Pemilihan Faizal menepati kehendak kami untuk mendekati golongan muda dan setanding pe­ngalaman yang ada padanya, dia berjaya mendekati panel Fulus yang terdiri daripada golongan korporat dan profesional agar mereka juga tampil relaks serta bersahaja," katanya.

Fulus adalah program terbitan bersama TV AlHijrah dengan Affin Islamic Bank Berhad.

Pada setiap episod Fulus membicarakan 13 topik berbeza iaitu, Hindari Riba, Indahnya Perbankan Islam, Pembangunan Perbankan Islam, Pendidikan Muamalat, Hutang Oh Hutang!, Aku Nak Kaya (Skim Cepat Kaya & MLM), Pelaburan Emas, Forex, Pinjaman Perumahan, Zakat, Pelaburan Hari Akhirat (Wakaf & Jariah), Wasiat dan Impian Haji.

Ia juga menampilkan panel jemputan berbeza setiap minggu dan diceriakan dengan tetamu undangan terdiri daripada artis/selebriti iaitu Johan As'ari, Salma Mentor, Sahri AF, Zalif Sidek, Adib Anas, Heliza Helmi, Shawal AF, Imam Muda Asyraf, Khai AF, Bob AF, Nora, Amanda Misbun, Amirizdwa, Taj dan Yatt Hamzah.

Jelas Noor Harlida, artis/selebriti akan berkongsi pengalaman dan tragedi yang mereka tempuhi se­perti Khai AF yang pernah terbabit dalam urus niaga Forex sehingga dia tertipu.

Faizal dan Noor Halida ditemui pada sidang media yang diadakan baru-baru ini di mana Affin Bank turut mengumumkan tiga pemenang hadiah utama Fulus musim pertama menerusi kuiz yang diadakan.

Untuk musim kedua, Fulus menawarkan kepada pemenang hadiah yang lebih menarik iaitu tiga hadiah utama Pakej Umrah Dan Ziarah Ke Istanbul, Turki Bersama Faizal Ismail.

Penonton perlu menjawab soalan kuiz mingguan dan terkumpul dengan melayari www.tvalhijrah.com/fulus/.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP