Kecoh baru-baru ini berita mengatakan pelakon cantik ini sudah bersiap-sedia untuk mengadakan majlis perkahwinan tidak lama lagi. Antara bukti yang di keluarkan adalah kononya Nora Danish sudah membeli barang hantaran untuk hari bahagianya itu. Tentunya semua sudah tahu siapa yang bakal menjadi pengantin lelakinya. Menjawab soalan ini, Nora dengan jelas memberitahu, jika benar dia akan berkahwin, barang hantaran perkahwinan bukan satu keperluan buat dirinya. Tidak menolak untuk bercerita majlis perkahwinan impiannya, Nora bagaimanapun tidak melihat 2014 sebagai tahun untuk dia bersatu dengan kekasih hati, Nedim Nazri.
"Kalau berkahwin lagi, saya tidak perlukan barang hantaran. Memandangkan saya sudah ada pengalaman, jadi perkahwinan kali kedua ini akan berlangsung dalam suasana yang sangat sederhana sahaja," katanya jujur.
Mengimpikan perkahwinan di tepi pantai, menurut Nora perancangan utama untuk majlisnya itu nanti hanya akan dihadiri mereka yang terdekat sahaja.
"Mungkin saya akan bernikah dahulu di dalam majlis yang kecil. Selepas itu mahu bawa keluarga saya keluar negara untuk acara makan-makan.
"Sebenarnya memang sudah jadi impian saya untuk mengadakan majlis di tepi pantai. Maldives? Tidaklah jauh sangat, mungkin dekat-dekat sahaja, kita fikir juga mereka yang akan turut serta," katanya yang ditemui pada majlis kesyukuran anjuran MIG untuk filem terbaru Hantu Bungkus Ikat Tepi, lakonannya bersama ahli kumpulan Jambu iaitu Yus dan Tauke.
Dengan baik menolak untuk terus diasak soalan tentang perkahwinan, Nora menjelaskan kepastian hanya akan diberitahu sekiranya dia benar-benar sudah bersedia berkahwin. Melihat aksi mesra bersama Nedim yang terus dikongsi di laman Instagram miliknya, Nora percaya ada sudut di dalam hatinya yang mahu kebebasan tersebut.
"Memang dari dahulu lagi saya sudah cakap, jika semuanya sudah pasti baru saya akan berkongsi. Perkahwinan merupakan perkara yang baik jadi saya tidak akan rahsiakan.
"Saya tidak takut jika keterbukaan ini akan menyebabkan hubungan saya terjejas atau apa. Jujurnya, keinginan saya untuk berkongsi setiap momen itu mengatasi kata-kata orang tentang saya," katanya jujur.
Baru sahaja pulang bercuti, Nora menjelaskan ada sebab bulan ini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
"Sepatutnya bulan Februari dan Mac ini, tiga jadual saya sudah penuh, tetapi kedua-dua syarikat produksi tersebut tiba-tiba memilih untuk menangguhkan penggambaran. Ini memang merugikan saya kerana untuk dua bulan ini saya sudah tidak terima tawaran lain.
"Memandangkan untuk bulan dua ini saya tidak buat apa-apa, saya bercuti bersama keluarga ke Bali, Indonesia dan Sabah. Mujur MIG menawarkan saya untuk berlakon dalam filem Hantu Bungkus Ikat Tepi, " katanya sambil ketawa.
Belajar daripada kesilapan, menurut Nora kini dia merasai apa yang pernah dirasa pelakon lain yang pernah melalui pengalaman yang sama. Bagaimanapun untuk bersikap professional dia tidak akan menolak untuk bekerjasama dengan kedua-dua produksi itu di masa hadapan.
"Sebelum ini saya hanya tengok artis lain mengalami perkara ini, sekarang baru saya tahu apa yang mereka rasa.
"Memang rugi, ialah berlakon merupakan sumber pendapatan saya.Buat masa ini mereka hanya mengangguhnya, saya akan bekerjasama tetapi akan lebih berhati-hati," katanya.
0 comments:
Post a Comment