Loading...
Sunday, February 23, 2014

Jamal rimas di kejar wanita gatal

SEPANJANG menjalani kehidupan solo kira-kira 10 tahun yang lalu, Jamal Abdillah pernah ‘dihimpit’ oleh lapan wanita yang cuba menawan hatinya.
Bagaimanapun kata penyanyi berusia 54 tahun ini, dia tidak pernah melayan malah turut meragui niat sebenar mereka menghampirinya.
Bimbang ada yang berniat tidak baik kata Jamal, dia juga risau jika cinta yang dihulurkan itu bersandarkan kejayaan kariernya sebagai penyanyi.
Kata orang sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya, Raja Pop ini juga dapat ‘menghidu’ niat yang tidak betul di peringkat awal perkenalan.
"Saya kena berhati-hati kerana tak mahu kehidupan saya kecundang. Saya tak mahu hati saya disakiti lagi. Saya takut kalau hati saya disakiti buat sekian kalinya, saya akan jadi ‘manusia’ lain.
"Jadi lebih baik saya jaga hati sendiri. Jangan bagi disakiti lagi," katanya berhubung perancangan untuk mencari pasangan hidup baharu.
Jamal pernah tiga kali gagal di dalam perkahwinan. Perkahwinan pertama Jamal bersama Basariah Latif pada 1988 sebelum berkahwin dengan Intan Nur Aina dan mendapat seorang anak lelaki, Osama Yamani, 13.
Perkahwinan ketiga bersama Fatimatuzahra Samat dan dikurniakan seorang lagi anak lelaki diberi nama Ahmad Zaki Yamani, lapan tahun.
Menggunakan pengalaman kegagalan hidup berumah tangga sebagai panduan kata Jamal, dia lebih berhati-hati sebelum menerima cinta baharu.
"Saya mahu wanita yang ikhlas. Terima saya seadanya. Kalau dengan wanita gatal, minta maaf. Saya rimas," kata Jamal.
Elak silap sama
Menganggap tempoh sedekad sebagai perjalanan yang panjang untuk mencari pasangan hidup baharu tambah Jamal, dia mahu mengelak mengulangi kesilapan yang sama biarpun berasa cemburu melihat kebahagiaan rumah tangga teman-teman terdekat.
"Menjadi ketua keluarga itu adalah satu tanggungjawab besar. Dan tugas untuk menjadi pemimpin itu sebenarnya bukan kerja mudah.
"Saya mahu jadi khalifah yang dapat memimpin isteri, anak-anak dan hidup bahagia," azam Juara Bintang RTM 1979 itu lagi.
Malah katanya, ketika masih solo dia mempunyai masa untuk memperbaiki diri agar mampu menjadi pemimpin terbaik pada perkahwinan baharunya satu masa nanti.
Sengaja mengusik tentang gosip cintanya dengan penyanyi Nas Adila seperti yang heboh baru-baru ini, Jamal menegaskan:
"Mungkin sebab saya dah lama menduda, maka timbul gosip (bercinta). Tapi jangan percaya. Hati saya belum dimiliki sesiapa,.
Hari Ibu
Kehebatan Jamal setiap kali membuat persembahan tidak perlu dipertikaikan malah jadual seninya sentiasa diisi dengan jemputan nyanyian.
Terbaharu Jamal bakal membuat persembahan sempena Hari Ibu yang bakal berlangsung di N’Dah Mahligai di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada 11 Mei ini.
Majlis yang bakal bermula pada pukul 8 malam itu turut menampilkan Nas Adila sebagai penyanyi jemputan manakala Jihan Raja Lawak bertindak selaku pengacara.

Pada majlis itu, Jamal bakal mendendangkan lagu-lagu popularnya seperti Kekasih Awal Dan Akhir, Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Azura dan Penawar Kasih.
"Alhamdulillah... saya diberi kesempatan untuk menghiburkan tetamu bersempena Hari Ibu.
"Sudah pastilah saya akan jadikan persembahan hampir dua jam itu sebagai satu memori terindah kepada tetamu yang hadir," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP