APALAH makna sebuah konsert tanpa kehadiran lagu-lagu 'berhantu' yang boleh dinyanyikan bersama oleh si penyanyi dengan peminat yang datang menonton persembahannya.
Penganjur Konsert Teaterikal Suara Kita, Awie Entertainment, memastikan pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Mac ini merupakan lagu paling popular dan mesra di telinga penoton. Sasarannya sangat mudah, ia mestilah lagu yang menjadi siulan peminat muzik tempatan sekitar era 1990-an dahulu. Itu janji mereka.
Pengarah Muzik konsert berkenaan, Edrie Hashim berkata, tiga bintang konsert teaterikal itu telah berbincang dan membuat kata putus untuk mempersembahkan sebanyak 28 lagu secara keseluruhannya.
"Apa yang pasti, kesemua lagu tersebut adalah lagu yang menjadi tema kepada kelima-lima filem iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah yang digabungkan menerusi pementasan ini.
"Sebenarnya, terdapat hampir 40 lagu semuanya, namun berdasarkan durasi persembahan kira-kira dua jam, hanya 28 lagu sahaja yang sempat dinyanyikan.
"Kalau bukan disebabkan kekangan masa, memang kita nak tambahkan lagi bilangan lagu kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan lagu yang ada pernah hit suatu ketika dahulu," katanya kepada Hits.
Menurut Edrie lagi, antara lagu yang bakal didendangkan ialah Tragedi Oktober, Senja Nan Merah, Di Ambang Wati, Pasrah, Cinta Abadi, Putus Terpaksa, Bujang Senang, dan Ratuku, selain sebuah lagu duet terbaharu nyanyian Awie dan Erra iaitu Cinta Makrifat.
"Beberapa lagu diubah suai dengan susunan muzik baharu bagi mewujudkan mood yang sesuai dengan babak lakonan yang mereka lakonkan.
"Setiap lagu pasti ada kaitan dengan babak-babak cinta dan airmata yang melatari persembahan," jelasnya mengenai konsert yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu.
Ketiga-tiga penyanyi sedang fokus untuk kedua-dua bahagian tersebut memandangkan terdapat persembahan istimewa yang bakal memberi kejutan kepada penonton kelak.
"Masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan agar ia nampak kemas dan lancar. Range vokal mereka telah diselaraskan dan kini hanya tinggal latihan berterusan serta penuh komitmen berdasarkan konsep persembahan yang telah ditetapkan," cerita Edrie mengenai tahap persiapan yang sedang dilakukan pihaknya.
Pada masa yang sama, sesi latihan tarian juga sedang dijalankan bersama muzik iringan dan segalanya berjalan mengikut perancangan.
Konsert teaterikal ini buat pertama kalinya bakal mengembalikan semula kegemilangan tiga bintang senisuara yang beralih ke dunia filem pada era 1990-an, Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain.
0 comments:
Post a Comment