Loading...
Thursday, February 27, 2014

Shiera nasihatkan Sakinah


SHIERA akui sudah beberapa kali menolak tawaran berlakon ekoran kesibukan dirinya sebagai penyampai radio.



SEBAGAI kakak kepada pelakon sensasi, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar atau popular disapa Shiera tetap memerhatikan perkembangan karier adiknya, Sharifah Sakinah.
Shiera mengakui adakalanya dia risau apabila pelbagai tohmahan negatif dilemparkan kepada Sakinah yang sering terbabit dengan pelbagai isu sensasi itu.
Hal yang maksudkan melibatkan keterbukaan personaliti dan luahan pandangan Sakinah menerusi media sosial terutamanya Instagram miliknya sendiri.
Shiera yang ditemui pada majlis tayangan filem Pompeii bersama pendengar stesen radio Ultra FM di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur baru-baru ini turut mengulas mengenai naik turun kerjayanya.
Ikuti temu bual Shiera bersama Kosmo! selanjutnya.
Kosmo!: Sharifah Sakinah sebelum ini pernah memuat naik foto bahagian abdomen badannya menerusi Instagram yang mengundang reaksi negatif para pelayar laman sosial itu. Sebagai kakak Sakinah, apakah pandangan Shiera tentang perkara itu?
SHARIFAH SHAHIRAH: Itu cuma luaran. Saya tahu personaliti sebenar adik saya. Di rumah, dia anak kesayangan dan dia paling baik antara adik-beradik kami. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu dan kita tidak layak untuk mengadili perbuatan seseorang. Cuma, kalau ada orang menghentam, saya pun ada menasihatkan Sakinah. Kadang-kadang tertekan menjadi seorang artis. Selagi orang bercakap, selagi itu kita akan sakit hati. Cuma kalau berdiam diri, dia pun akan baik-baik sahaja.
Sakinah juga kini menganjurkan program kesihatan Fitness Sakinah pada setiap petang. Apakah bentuk sokongan Shiera terhadap program Sakinah itu?
Saya pernah beberapa kali menyertai aktiviti riadah tersebut tapi dia selalu marahkan saya sebab saya banyak main-main. Biasanya Fitness Sakinah akan berlangsung pada pukul 5 petang dan pada waktu itu, saya perlu ke udara di radio. Saya sokong apa yang dia lakukan memandangkan saya pun suka bersenam.

MENURUT Shiera, dalam kalangan adik-beradik, Sakinah merupakan anak yang paling baik di rumah.



Bercerita mengenai kerjaya Shiera sendiri, adakah kini fokus anda tertumpu semata-mata untuk menjadi penyampai radio sahaja?
Bulan Mac ini, genap setahun saya menjadi penyampai radio Ultra FM. Buat masa sekarang, saya teringin menerima tawaran lain tetapi saya rasa tidak perlu tamak. Mungkin saya akan kembali berlakon walaupun di luar sana ramai pesaing yang lebih handal daripada saya. Cuma, jadual saya sekarang tidak mengizinkan. Ultra FM pun hanya dapat didengari di Kuala Lumpur sahaja, tetapi saya tidak mengejar populariti. Saya buat selagi orang menghargai dan mahukan khidmat saya.
Pernahkah Shiera menolak tawaran berlakon sepanjang menjadi penyampai radio di Ultra FM?
Ada beberapa kali termasuk tawaran daripada pengarah tersohor, Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Namun, kerja sampingan contohnya, menjadi pengacara pada hari Sabtu dan Ahad serta acara korporat saya masih buat. Saya buat selagi saya mampu buat.
Perbezaan menjadi penyampai radio di Ultra FM dan Sinar FM sebelum ini?
Di radio Ultra FM saya perlu mengendalikan semua peralatan yang belum pernah saya sentuh sebelum ini. Secara tidak langsung, kerjaya ini mendidik saya untuk berdikari dan bermula daripada bawah balik.
Kalau di Suria FM dulu, saya cuma melawak. Perkara penting saya belajar, susah sebenarnya untuk hiburkan orang dan risau kadang-kadang pendengar tidak puas hati. Saya pula bukan seorang pandai berbahasa, selalu pakai bahasa pasar saja. Sekarang ini, saya perlu mantapkan pengetahuan bahasa, berita dan pengetahuan am saya.
Selepas populariti jatuh baru terima tawaran menjadi penyampai radio. Apakah komen Shiera?
Sekurang-kurangnya apabila jatuh saya tidak hilang arah, ada juga tawaran untuk menjadi penyampai radio. Memang setiap kerjaya ada peringkat tertentu dan mungkin menjadi penyampai radio pun tidak kekal lama tapi sekurang-kurangnya ada pengalaman.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP