SEKITAR tahun 2011, Birdy pernah mengejutkan industri hiburan antarabangsa apabila muncul dengan sebuah album debut yang mengandungi rangkaian lagu-lagu saduran berentak pop Indie.
Walaupun percaturan kariernya tampak sedikit pelik, namun, pendengar mula jatuh hati dengan keunikan vokal tuan empunya nama Jasmine van den Bogaerde ini.
Tenyata, langkah bijak Birdy membuahkan hasil. Menerusi album keduanya yang berjudul Fire Within, penyanyi yang berasal dari England, Britain ini sekali lagi mampu berdiri dengan kekuatan vokalnya menerusi 15 buah lagu hasil garapan bersama dengan pemuzik-pemuzik terkenal yang lain.
Wings, single pertama yang ditulis oleh Birdy bersama vokalis kumpulan OneRepublic, Ryan Tedder kedengaran sedikit berbeza berbanding dengan lagu-lagunya yang lain. Elemen pop rancak yang lebih organik disuntik dalam lagu ini sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepadanya untuk dikenali oleh pendengar dan peminat lagu-lagu arus perdana.
Menerusi single keduanya berjudul No Angel, Birdy bekerjasama dengan salah seorang ahli kumpulan Mumford & Sons, Ben Lovett. Lagu berentak melankolik ini telus mencerminkan kekuatan sebenar vokal unik penyanyi berusia 18 tahun itu.
Secara keseluruhan, apa yang cuba ditampilkan oleh Birdy sejak kemunculan album sadurannya beberapa tahun yang lalu adalah kekuatan vokalnya serta keupayaannya untuk mengadaptasi elemen-elemen berbeza pada setiap lagu tulisannya. - IZWAN MOHD. ISA
0 comments:
Post a Comment